Kata Azimat

Kata Azimat
" Usaha itu Perlu, Doa itu Pembantu, Allah itu Penentu"... "Setiap Ilmu Yg Dipelajari perlu kepada Bimbingan Akal serta Panduan Iman Agar tidak tersasar dari Landasannya"... "Tiada tali yang paling erat selain tali silaturrahim, Tiada pintu yang pling kukuh selain pintu hati.., Tiada hutang yang pling berat selain hutang budi.., Tiada pemberian yang paling berharga selain memberi maaf"..."Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya selagi hamba- hambanyaNya mengingatinya"... "Setiap Ujian Yang Datang Daripada Allah.., Pasti akan ada hikmahnya..,Terpulang pada diri untuk menilainya"... "The More We Learn..., The More We Know that We Are So Stupid.."......"Ukhuwah yang dibina di antara kita biarlah seperti seutas tasbih..,, ada awal.., tiada penghujungnya,,,,, dicipta untuk mengingati-Nya...dibahagi untuk cinta-Nya..,, dan diratib demi keredhaan-Nya..Ukhuwah itu umpama ikatan tasbih.. Butir-butir tasbih mewakili roh-roh yang terjalin, manakala ikatan tali tasbih mewakili ukhuwah tersebut.. Sekiranya ikatan tersebut tidak diketahui dan terputus.., maka bercerailah roh-roh tersebut dan menjadi jauh..;')

Wednesday, March 7, 2012

Iman Dan Takwa Mutiara Islam


Pengucapan Diri Ana (^_^) 


Assalamualaikum dan salam ukhuwah diucapkan kepada sidang pembaca sekalian. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya maka dapatlah saya berpeluang mengupdate blog saya yang sekian lama menyepi dalam hidup saya ini. Pada kali ini, saya ingin berkongsi bersama para pembaca sekalian mengenai peranan atau kepentingan iman dan takwa dalam kehidupan diri kita sebagai orang mukmin. Dalam menyelusuri gelombang kehidupan yang penuh dengan onak duri dugaan, cabaran dan rintangan pada zaman muasir ini, kita sebagai umat Islam haruslah mempunyai jati diri iman yang kukuh dan kental sebagai benteng kukuh bagi mengelakkan diri kita daripada terjerumus ke dalam lembah kehinaan atau kancah maksiat yang semakin menular dalam kalangan umat manusia di muka bumi ini termasuklah umat islam sendiri. Justeru itu, dalam entri saya pada kali ini, saya ingin menyentuh mengenai peranan iman dan takwa yang menjadi elemen penting dalam diri setiap individu. Dengan bersumberkan sebuah buku yang sempat saya pinjam di perpustakaan IPG Sultan Mizan, saya dengan izin Allah SWT akhirnya berpeluang menyiapkan entri ini. Buku yang saya maksudkan tersebut adalah karya daripada seorang penulis tersohor daripada Universiti sains Malaysia iaitu Profesor Madya Syamsul Bahri Andi Galigo berjudul “Beberapa Isu Dalam Pemikiran Umat Islam”. Semoga sidang pembaca dan diri ini sendirinya khususnya memperoleh ilmu-ilmu baru yang bermanfaat. Yang baik datangnya pada Allah dan yang buruk datangnya daripada kelemahan diri saya sendiri selaku hamba yang lemah lagi dhaif. Akhir kalam, selamat membaca dan selamat menimba ilmu diucapkan kepada semua (^_^) 

 Iman Dan Takwa Asas Pembangunan Modal Insan 


Keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT adalah asas dan syarat mutlak bagi pembangunan modal insan dan masyarakat, jika ia ingin memperolehi keberkatan hidup dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud :

 “Sekiranya Penduduk negeri itu, benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah, tentulah kami (Allah) akan membuka kepada mereka keberkatan hidup yang melimpah ruah, sama ada darpadai langit mahupun daripada yang ada di bumi” (Surah al-A’raf :96) 

Perkara yang sama juga ditegaskan dalam al-Quran yang bermaksud : “Ketahuilah bahawa wali-wali Allah yang sebenar mereka tiada ditimpa rasa takut dan kesusahan hati, mereka itu adalah orang-orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah, mereka itulah yang memperolehi kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat” (Surah Yunus : 62). Negeri yang ahlinya beriman adalah negeri yang memberi penekanan kepada lima perkara penting iaitu : 


Pertama; Memelihara agama (ad-din), dengan menjadikan nilai-nilai Islam sebagai tunjang pentadbiran dan pembangunan negara. Agama-agama lain yang diamalkan jua tetap mendapat perlindungan sewajarnya dengan menjunjung tinggi kebebasan beragama bagi setiap individu, asalkan tidak mengganggu kestabilan, dan senstiviti umat majoriti. 

Kedua; Memelihara jiwa (al-nafs), dengan menghormati hak-hak asasi umat manusia tanpa membezakan kedudukan agama dan etnik. Menjunjung tinggi martabat kemanusiaan sebagai mahluk ciptaan Allah SWT yang mulia dan juga menjaga maruah bagi setiap individu. 

Ketiga; Memelihara akal (al-aql), dengan memberi pendidikan yang bertujuan memartabatkan ilmu pengetahuan tanpa membezakan antara ilmu agama dan ilmu dunia, atau ilmu fardhu ‘ain dan ilmu fardhu kifayah. Di samping mencegah semua perkara yang boleh merosakkan akal, seperti khamar, dadah dan seumpamanya. 

Keempat; Memelihara keturunan (al-nasl), dengan mempertahankan norma dan institusi keluarga sebagai tunjang pembangunan yang bersih dan bermoral. Termasuk juga berpegang teguh kepada nilai-nilai murni kemasyarakatan yang berlandaskan kepada ahlak-ahlak mulia. Pencegahan kepada perkara yang boleh merosakkan keturunan turut mendapat perhatian, seperti salah-laku seks, merendahkan maruah perempuan dan lain-lain. 

Kelima; memelihara harta (al-mal), dengan mengukuhkan ekonomi umat melalui peningkatan kemahiran (skill) dan pemuliharaan alam sekitar. Pembangunan ekonomi yang dimaksudkan mestilah diasaskan kepada sumber manusia dan sumber alam yang dimiliki. Perkara-perkara yang boleh membantutkan pembangunan ekonomi hendaklah diatasi dengan cara yang berkesan, seperti rompakan, kecurian, pencemaran alam sekitar dan sebagainya. 

Berdasarkan kepada pemahaman tersebut, jelaslah bahawa prinsip iman dan takwa adalah faktor utama bagi pembangunan masyarakat cemerlang menuju kepada kewujudan peradaban gemilang dan tamadun terbilang. Tanpa prinsip ini, kemajuan tamadun yang dicapai oleh manusia hanyalah fatamorgana tanpa nilai dan hakikat peradaban yang sebenar. Tamadun yang tidak diasaskan kepada prinsip iman dan takwa ianya bukan sahaja tidak akan berkekalan, malahan tidak akan mendatangkan apa-apa kebahagiaan kepada umat manusia. Oleh sebab itulah, pendekatan Islam Hadhari yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang ke-5, Datuk Seri Haji Abdullah, yang sedang dipraktikkan oleh masyarakat di Malaysia hari ini yang menetapkan prinsip keimanan dan ketakwaan kepada Allah sebagai prinsip pertama dan utama. Prinsip ini seharusnya menjadi landasan (starting point) kepada prinsip-prinsip Islam hadhari yang lain



Iman, Takwa dan nilai-nilai murni 

Iman dan takwa bertujuan untuk melahirkan modal insan sejati yang boleh diertikan sebagai modal insan berminda kelas pertama, bukan sahaja taat dan patuh kepada Allah SWT sebagai pencipta manusia, malah ia dapat mentadbir dan memelihara keseimbangan dan keharmonian kejadian serta persekitarannya. Mereka mampu menjalani kehidupan mengikut sunnatullah dalam memberi sumbangan dalam membangunkan dunia ini. Manusia yang beriman dan bertakwa akan memiliki persepsi dan pandangan yang seimbang, bukan hanya tertumpu kepada dirinya sahaja sebagai individu, malah ia turut merangkumi pelbagai peringkat kejadian, seperti berikut : 

- Hubungannya dengan Allah sebagai pencipta 


- Hubungannya dengan masyarakat sekeliling 


- Hubungannya dengan alam sekitar         
                             

- Hubungannya dengan dirinya sendiri 


Dalam al-Quran al-Karim, Allah SWT menegaskan kepentingan manusia berpegang kepada iman dan takwa, di samping melakukan perkara-perkara yang ma’ruf (baik) dan mencegah kemungkaran sebagai salah satu ciri penting umat yang berjaya dan terbaik (Surah Ali Imran : 110). Ia bukan sahaja tertentu kepada perkara-perkara berkaitan agama sahaja, bahkan meliputi keseluruhan aspek kehidupan dan pergaulan sesama manusia tanpa mengira batasan agama, bangsa, dan negara.

Antara Implikasi Iman dan Takwa dalam kehidupan manusia ialah : 


1- Menjana sifat-sifat terpuji. 

 Seseorang yang beriman dan bertakwa akan menyedari bahawa terdapat satu kuas agung yang sentiasa memerhatikan segala gerak-geri dan perbuatannya untuk dinilai dan dipersoalkan kelak. Oleh itu, setiap perbuatan, dilakukan dengan penuh hati-hati dan kejujuran. Seseorang yang memiliki iman dan takwa sentiasa berwaspada dan sedar akan tanggungjawab dan peranan yang harus dilakukannya. Inilah intipati dan kesan daripada penghayatan tentang konsep “Ihsan” yang merupakan antara peringkat iman yang tertinggi. Ia diibaratkan seperti seorang pekerja yang sentiasa diperhatikan oleh majikannya dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan segala tugas dan tanggungjawab yang diberi dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.Jika terdapat sebarang kesalahan atau kesilapan, maka ia akan disusuli dengan perjanjian untuk tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian lagi pada masa akan datang.

 2- Menjana Kekuatan Rohani serta memberikan hala tujuan kehidupan. 

Iman dan takwa memberikan hala tuju yang jelas terhadap tujuan kehidupan manusia di dunia ini. Agama mengajar bahawa manusia sebenarnya adalah mahluk kejadian Allah yang telah memartabatkannya sebagai sebaik-baik kejadian di dunia ini. Ia dilahirkan ke dunia ini khusus sebagai hamba dan khalifah Allah SWT di muka bumi ini yang berfungsi sebagai medan ujian untuk menilai kebolehan dan keupayaan manusia mengenali dan beribadah kepada Allah menerusi interaksi sesama manusia dan persekitarannya. Dan setelah itu, segala amalan dan perlakuan manusia akan dinilai dan diberikan balasan yang setimpal di akhirat kelak. Seorang insan yang memahami tujuan dan konsep kehidupan ini akan mendapatkan satu kekuatan, yang memberikan motivasi untuk beramal dan berusaha dengan gigih di dunia ini sebagai landasan ke satu sama lain yang abadi. Semua amalan dan perbuatan yang dilakukan akan disesuaikan dengan matlamat mendapatkan keredhaan Allah. Dan sekiranya berlaku suatu ujian atau cubaaan yang memerlukan pengorbanan, baik dalam bentuk harta, nyawa dan emosi, ia akan sentiasa melaksanakannya dan menerimanya dengan sikap yang terbuka dan positif. 

3- Menjana sifat-sifat positif dan meruntuhkan rasa ego dan nilai-nilai negatif. 

Orang yang beriman dan bertakwa akan merasakan bahawa dirinya hanyalah satu bahagian kecil sahaja daripada kejadian dan kewujudan di alam semesta ini yang berkait rapat dan saling memerlukan antara satu sama lain. Tanpa pertolongan daripada individu lain dan persekitaranya, dirinya tidak kan mampu menjalani kehidupannya dengan teratur dan lebih selesa. Dengan demikian orang beriman dan bertakwa merasakan dirinya amat kerdil sekali jika dibandingkan dengan kejadian-kejadian yang lain. Manusia yang memilki iman dan takwa sentiasa terdorong untuk berusaha dengan gigih bagi mencapai keredhaan Allah SWT daripada segenap aspek perbuatan dan perlakuannya sehingga terbentuk di dalam dirinya satu disiplin moral dan pegangan positif yang selalunya mengajak ke arah nilai-nilai yang mulia dan terpuji. Oleh itu, orang beriman dan bertakwa akan dikenali sebagai orang yang berbudi pekerti mulia dan dihormati. Penghayatan yang sebenar terhadap konsep iman dan takwa ini mmampu mengurangkan masalah ahlak dan keruntuhan moral masyarakat akibat tidak berpegang teguh kepada agama dan hanya berlandaskan hidup kepada pertimbangan fizikal dan material semata-mata. 

4- Menjana sikap bertolak ansur, hormat menghormati serta toleransi.

 Implikasi iman dan takwa juga dapat dilihat dari aspek hubungan antara seseorang individu dengan individu lain dan persekitarannya. Orang yang beriman dan bertakwa pastinya akan mengamalkan sikap toleransi, bekerjasama dan tolong menolong sesama insan tanpa mengira batasan agama, bangsa dan sebagainya. Di samping membantu memastikan keseimbangan dan keharmonian hubungan dengan persekitarannya. Antara ciri orang beriman dan bertakwa ialah mereka yang bergaul dengan manusia dengan sebaik-baik pergaaulan tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan bahasa. Apatah lagi, jika mereka tinggal bersama-sama di dalaam sebuah negara yang memerlukan mereka bekerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain. 

5- Menjana kesedaran yang tinggi terhadap penguasaan ilmu pengetahuan. 

 Iman dan takwa mendorong masyarakat kepada aspek penguasaan ilmu pengetahuan sebagai salah satu medium untuk mencari dan mendapatkan kebenaran dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Orang yang beriman dan bertakwa pastinya akan berusaha mencari dan menguasai ilmu pengetahuan, sama ada yang berbentuk keagamaan mahupun keduniaan kerana mereka menyedari bahawa faktor yang menentukan kejayaan hidup dunia dan akhirat adalah ilmu pengetahuan. Allah SWT mengangkat darjat orang yang beriman dan berilmu pengetahuan, kerana berkemampuan memiliki ilmu secara bersepadu boleh menjadikan sesebuah masyarakat memiliki kekuatan pengetahuan yang pelbagai dan semasa. Ini bertujuan untuk kecemerlangan intelektual dikembangkan, kekuatan peribadi dapat ditampilkan dan kecergasan jasmani dapat dibangunkan. Ini merupakan perkara yang penting bagi mlahirkan modal insan seimbang dan harmonis seperti yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Malaysia. 

6- Menjana persaudaraan dan rasa solidarity kemanusiaan yang tinggi  

Iman dan takwa sama sekali tidak menghalang kewujudan bersama (co-existence) orang-orang bukan islam di kalangan masyarakat Islam. Al-Quran dengan jelas mengiktiraf hakikat kewujudan masyarakat majmuk dalam sesebuah masyarakat. Malah, konsep kongsi kuasa sepertimana amalan Malaysia adalah tidak bercanggah dengan nilai iman dan takwa yang menjadi pegangan kepercayaan umat islam. Justeu, ianya memberi impak yang cukup besar di mana tidak wujudnya kekacauan mahupun, pertelingkahan yang timbul akibat daaripada salah fahaman agama. Seseorang yang memiliki iman dan takwa akan melihat sesama manusia sebagai kejadian Allah yang mulia, tanpa memberi justifikaasi darjat seseorang mengikut agama dan bangsanya. Ia memberi pertolongan dan pergaulan yang baik kepada semua, tanpa mengira bangsa, agama, dan budaya. Malah orang yang beriman dan bertakwa sentiasa menjadikan dirinya sebagaai contoh terbaik dalam pergaulan dan muamalah di dalam masyarakat. Rasulullah SAW menegaskan bahawa, bukan orang yang beriman dan bertakwa jika seseorang itu memiliki sifat suka menuduh yang bukan-bukan, suka melaknat orang, lidahnya kotor dan hatinya busuk. (maksud hadis riwayat Ibn Hibban). 


 Kesimpulan 

Iman dan takwa mmpunyai peranan penting dalam melahirkan modal insan yang unggul, berahlak dan bermoral (kelas pertama). Ia merupakan satu kekuatan yang tercetus dalam diri seseorang yang memiliki budi pekerti yang mulia dan seluruh peribadinya telah dikuasai sepenuhnya oleh nilai-nilai murni keagamaan sehingga segala tindakannya berpandukan kepada kepercayaan iman yang meresap dalam hati sanubarinya. Maka di sanalah terpancar sinar takwa yang membangkitkan semangat jati diri untuk beramal dan berusaha bagi membangunkan diri, masyarakat dan Negara. 

Manusia yang beriman dan bertakwa adalah manusia yang mudah menerima kebenaran dan mampu mempertahankannya dan menyebarkannya kepada orang lain, sama ada melalui pengajaran dan pendidikan yang menjadi teladan kepada orang lain melalui amalan hariannya. Oleh itu, iman dan takwa merupakan nadi penggerak pembangunan Insan yang dapat menghasilkan sumber manusia yang berkebolehan dalam melaksanakan pembangunan tamadun yang di impi-impikan. 

Dengan demikian, jelaslah akan kepentingan iman dan takwa dalam rangka pendidikan dan pembangunan modal insan. Ini kerana pembangunan modal insan adalah satu asas utama dalam usaha membangunkan tamadun dan peradaban dunia pada masa silam, kini, dan di masa hadapan. Oleh itu, merupakan agenda utama umat islam jika ingin bangkit semula memberi saham dalam pembangunan dunia moden, ialah memberi tumpuan terhadap usaha pembangunan modal insan yang seimbang dan menyeluruh berlandaskan prinsip iman dan takwa,

 Semoga kita dapat meningkatkan tahap keimanan kita terhadap Allah SWT serta mempertingkatkan ahlak diri sendiri dari semasa ke semasa bagi memperoleh keredhaan-Nya di dunia dan di akhirat.. (^_^)

2 comments:

  1. kene sentiasa aplikasikan didalam kehidupan harian kita.=)

    jom tambah ilmu.=)
    http://lolz-l.blogspot.com/2012/03/turunnya-nabi-isa.html

    ReplyDelete
  2. erm.. sohih ya akhi.. moge2 kita semua d kurniakan halawatul iman yang amat2 berharga dan berguna dlm khdpn yg serba moden dan mencabar ini.. amin.. (^_^)

    ReplyDelete