Kata Azimat

Kata Azimat
" Usaha itu Perlu, Doa itu Pembantu, Allah itu Penentu"... "Setiap Ilmu Yg Dipelajari perlu kepada Bimbingan Akal serta Panduan Iman Agar tidak tersasar dari Landasannya"... "Tiada tali yang paling erat selain tali silaturrahim, Tiada pintu yang pling kukuh selain pintu hati.., Tiada hutang yang pling berat selain hutang budi.., Tiada pemberian yang paling berharga selain memberi maaf"..."Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya selagi hamba- hambanyaNya mengingatinya"... "Setiap Ujian Yang Datang Daripada Allah.., Pasti akan ada hikmahnya..,Terpulang pada diri untuk menilainya"... "The More We Learn..., The More We Know that We Are So Stupid.."......"Ukhuwah yang dibina di antara kita biarlah seperti seutas tasbih..,, ada awal.., tiada penghujungnya,,,,, dicipta untuk mengingati-Nya...dibahagi untuk cinta-Nya..,, dan diratib demi keredhaan-Nya..Ukhuwah itu umpama ikatan tasbih.. Butir-butir tasbih mewakili roh-roh yang terjalin, manakala ikatan tali tasbih mewakili ukhuwah tersebut.. Sekiranya ikatan tersebut tidak diketahui dan terputus.., maka bercerailah roh-roh tersebut dan menjadi jauh..;')

Saturday, January 22, 2011

Sultan Muhammad Al Fateh

Sejenak kisah Sultan Muhammad Al Fateh 


Pengucapan Diri Ana

Pada kali ini saya akan membawa sidang kalian semua untuk mengimbas kembali sirah seorang tokoh pahlawan Islam yang paling digeruni oleh musuh Islam sewaktu ketika dahulu. Idea untuk menjadikan kisah tokoh ini sebagai new post dalam blog ini sememangnya adalah secara kebetulan sahaja kerana sewaktu saya ingin mengemas kini semula segala folder2 Islamic yang saya simpan di dalam computer riba ini, tiba-tiba saya terjumpa mengenai artikel yang memaparkan kisah tokoh ini yang telah saya simpan sejak beberapa tahun yang lepas lagi. Tokoh yang saya maksudkan ialah Sultan Muhammad Al-Fateh yang merupakan pemerintah terulung sewaktu ketika dahulu. “Beliau adalah seorang Sultan yang amat-amat menitikberatkan akan soal agama mengatasi segala-galanya. Beliau juga lebih mengutamakan urusan negara dan masyarakat mengatasi kepentingan diri. Pada masa yang sama, beliau sering mendampingi ulama-ulama dan ilmuwan”. Kedudukannya sebagai Sultan tidak menghalang minatnya untuk terus menimba ilmu dan pengalaman. Justeru itu, saya menyeru diri saya serta sidang pembaca semua umumnya agar dapat menjadikan beliau sebagai “role model” khususnya dari segi memperkukuhkan lagi hubungan dengan Allah SWT.

Dihormati rakyat, digeruni lawan...

Pagi 22 April 1452 bersamaan dengan 852 Hijrah, penduduk Constantinople dikejutkan dengan laungan takbir, paluan gendang, dan nasyid. Demikian gema kemenangan tentera Sultan Muhammad al-Fateh. Sekali gus gema itu seolah-olah satu serangan psikologi kepada penduduk kota berkenaan. Penduduk Constantinople seperti tidak percaya kekuatan tentara Muhammad al-Fateh. Tidak dapat dibayangkan, bagaimana tembok setebal 4 lapis, setinggi 25 kaki, dan sejauh 160 kaki itu berjaya ditembusi oleh tentera Muhammad al-Fateh?

Suatu yang menakjubkan, tentera Sultan Muhammad al-Fateh telah membawa kapal-kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas merentasi bukit melalui jalan darat! Taktik peperangan seperti ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana tentera sebelum ini. Tentera Uthmaniah dengan semangat dan kekuatan yang luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari Selat Bosphorus ke Tanjung Emas. Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku hanya pada satu malam. Sedangkan mereka terpaksa melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak yang melebihi tiga batu. Sebahagian mereka menyangka bahawa tentera al-Fateh mendapat bantuan jin dan syaitan!

Siapakah sebenarnya Sultan Muhammad al-Fateh ini? Beliau ialah sultan ketujuh Khilafah Islamiah Othmaniyah. Beliaulah pembuka kota Constantinople atau yang dikenali hari ini sebagai Istanbul. Ketika itu beliau baru menjangkau usia 26 tahun. Peperangan yang maha hebat itu memakan masa selama 54 hari. Keadaan inilah yang pernah dibayangkan oleh baginda s.a.w. ketika dalam perang Khandak. Antara lain baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Constantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik pemimpin ialah ketuanya dan sebaik-baik tentera ialah tenteranya.”

Sultan Muhammad al-Fateh ialah salah seorang daripada tokoh pemimpin kerajaan Islam yang masyhur tercatat dalam sejarah dunia. Beliau bukan sahaja hebat sebagai pemimpin malah nama beliau sebagai panglima perang, dikenali di benua Eropah. Mendengar namanya sahaja sudah mengundang gementar di hati musuh-musuhnya walaupun ketika itu beliau sudah 10 tahun meninggal dunia. Beliaulah pemerintah Islam pertama mendapat gelaran yang diberikan oleh Barat sebagai “Grand Seigneur” yang bermaksud pemimpin agung.

Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 26 Rejab 833 hijrah bersamaan 20 April 1429 Masihi dan dibesarkan di Adirnah. Ayahnya, Sultan Murad II merupakan salah seorang pemimpin yang hebat dan tokoh pemerintah kerajaan Othmaniyah yang masyhur. Ibunya dikatakan seorang puteri raja berketurunan Nasrani.

Ketika ayahnya menjadi sultan, beliau dilantik menjadi gabenor di Magnisa. Setelah kematian ayahnya, Sultan Muhammad al-Fateh dilantik menjadi pemimpin kerajaan Uthmaniah iaitu pada bulan Februari 1451. Dengan pelantikan ini bermakna beliau merupakan seorang pemimpin termuda yang pernah dilantik. Walaupun baru berusia 22 tahun, beliau berjaya membawa kecemerlangan dalam pemerintahannya. 



Kekuatan Sultan Muhammad al-Fateh banyak terletak pada ketinggian peribadinya. Hal ini demikian kerana ketika usianya kecil lagi sudah diajar menunggang kuda, memanah, dan menggunakan pedang. Namun didikan rohani mendapat perhatian serius dan dorongan penuh daripada ayahnya. Beliau telah ditarbiah secara intensif oleh para ulama terulung antaranya ialah al-Syeikh Muhammad bin Ismail al-Kurani. Beliau mengajar Sultan Muhammad al-Fateh ilmu-ilmu asas iaitu al-Quran, al-Hadith, fiqh, linguistik (bahasa Arab, Parsi, dan Turki), dan juga ilmu kemahiran yang lain. Melalui tarbiah yang teliti dan penuh terhormat, tidak hairanlah lahir peribadi yang unggul seperti Sultan Muhammad al-Fateh.

Sultan Muhammad al-Fateh banyak meneliti dan meninjau usaha ayahnya menawan Constantinople. Beliau sering mengikuti ayahnya ke medan peperangan. Sebab itu ketika menaiki takhta pada tahun 855H/1451M, beliau telah mula berfikir dan menyusun strategi untuk menawan kota berkenaan. Dalam hal ini, beliau banyak mengkaji sejarah Islam zaman Muawiyah bin Abi Sufian r.a. Waktu itu telah ada usaha-usaha yang dibuat ke arah menawan Constantinople. Usaha pertama yang pernah disusun adalah pada tahun 44 Hijrah, walau bagaimanapun usaha berkenaan gagal. Abu Ayyub al-Ansari yang merupakan salah seorang sahabat nabi, syahid di medan perjuangan itu.

Setelah kemenangan tentera Sultan Muhammad al-Fateh menawan Constantinople, beliau telah memerintahkan tenteranya mencari kawasan perkuburan Abu Ayyub al-Ansari. Padanya, Abu Ayyub perlu disempurnakan jenazahnya sebagai seorang sahabat nabi. Setelah ditemui, Sultan Muhammad al-Fateh meminta supaya kuburnya digali dan dipindahkan ke tempat yang lebih baik.

Setelah digali, akhirnya mereka menemui bahagian kakinya terlebih dahulu. Di sini Sultan Muhammad al-Fateh memerintahkan seluruh rakyatnya mencium kaki Abu Ayyub al-Ansari yang fizikalnya masih segar itu. Walau bagaimanapun, beliau gagal menciumnya kerana tatkala hendak mencium tiba-tiba sahaja kaki itu tertarik semula ke dalam tanah. Kejadian itu berlaku berturut-turut sebanyak tiga kali. Pada malam itu, Sultan Muhammad al-Fateh bermimpi bertemu dengan Abu Ayyub al-Ansari. Abu Ayyub al-Ansari menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku disebabkan rasa malu dan hormat kepada Sultan Muhammad al-Fateh. Padanya, tidak layak orang yang telah berjaya menawan Kota Constantinople mencium kakinya.

Selain itu, beliau banyak mengkaji dan mempelajari pengalaman Rasulullah s.a.w. dalam peperangan. Malah semangat kepahlawanan dan pengorbanan panglima perang Islam dahulu, banyak mempengaruhi jiwanya. Namun, Sultan Muhammad al-Fateh mewarisi sifat keberanian, kegagahan, kesabaran, dan semangat tidak putus asa ayahnya. Bahkan beliau juga mewarisi pengetahuan yang luas serta berkemahiran dalam menyusun strategi peperangan.

Di sini ternafilah tohmahan golongan orientalis Barat dan musuh-musuh Islam bahawa beliau menegakkan Islam dengan kekerasan. Walhal mata pedang digunakan sebagai jalan terakhir. Tujuan orientalis itu hanyalah untuk mengelirukan masyarakat terhadap Islam. Dr. Abd. Salam bin Abd Aziz dalam bukunya yang bertajuk Sultan Muhammad al-Fateh Pembuka Constantinople Menundukkan Rom, menjelaskan bahawa Sultan Muhammad al-Fateh memiliki keyakinan diri yang kuat. Selain itu, dia juga mempunyai pandangan jauh serta kepintaran yang tinggi. Malah Sultan Muhammad al-Fateh mampu menghadapi tekanan, keperitan, dan bebanan yang dihadapinya. Beliau seorang pemuda yang warak. Malah, jarang sekali beliau menunaikan solat, melainkan di masjid.

Sultan Muhammad al-Fateh digambarkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat. Beliau lebih mengutamakan urusan negara dan masyarakat mengatasi kepentingan diri. Pada masa yang sama, beliau sering mendampingi ulama-ulama dan ilmuwan. Kedudukannya sebagai Sultan tidak menghalang minatnya untuk terus menimba ilmu dan pengalaman. Kehidupan beliau sebagai pemimpin digambarkan cukup sederhana. Malah beliau sangat memusuhi pembaziran. Oleh sebab itu, hidangan makanan dan cara berpakaiannya tidak terikat dengan peraturan-peraturan istana.

Selain kejayaan dalam bidang ketenteraan dan penaklukan wilayah, Sultan Muhammad al-Fateh juga berjasa dalam mengembangkan dakwah Islam ke benua Eropah. Melalui akhlak dan keperibadian beliau, ramai yang tertarik dan memeluk Islam. Hal ini berlaku pada hari kemenangan tenteranya, iaitu apabila beliau telah mengampunkan penduduk Kristian Kota Constantinople. Dengan sikap toleransi yang ditunjukkan itu, menyebabkan ada dalam kalangan paderi terus menyatakan keislaman mereka.

Sepanjang pemerintahannya, beliau tidak lupa membangunkan aspek fizikal dan rohani rakyatnya. Beliau telah membina Masjid al-Fath yang terkenal dengan gelaran Blue Mosque. Selain itu, beliau juga telah memulihkan semula peranan Masjid Aya Sofia sebagai mercu dan syiar Islam di Turki. Sultan Muhammad al-Fath meninggal dunia pada bulan Mei 1481 dan jenazahnya dikebumikan di Kota Constantinople.


Kisah Sultan Muhammad al – Fateh yang membekas di jiwa

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda maksudnya; "Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik."

Sultan Muhammad Al Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 dan mangkat pada 3 Mei 1481. Detik kelahirannya pun sudah mengisyaratkan bahawa ia bakal menempa sejarah yang besar. Kejayaan yang bakal ditempanya sudah dapat dirasai apabila berita kelahirannya disampaikan kepada ayahandanya Sultan Murad, tepat ketika baginda sedang membaca Al Quran pada ayat yang bermaksud; "Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata"(Al Fath:1)

Semenjak dari kecil dia sudah diajar dan dididik dengan ilmu agama.Panglima-panglima tentera telah dijemput oleh ayahnya untuk mengajarnya ilmu peperangan.

Ayahanda baginda,Sultan Murad begitu menitikberatkan tarbiah kepada anaknya.Hati anaknya telah ditempa dengan jiwa jihad dan ilmu peperangan semenjak kecil lagi. Dia tidak dimanjakan, walaupun beliau hidup dalam istana. Jiwa mujahid dan abid berpadu sekali. Inilah merupakan ketua yang malamnya bagai rahib merintih pada ALLAH dan sangat kuat beribadah manakala siangnya bagaikan singa-kuat berjuang.

Dengan tujuan mendidik, sewaktu berumur 16 tahun pernah Sultan Muhammad Al Fateh diberi kepercayaan oleh ayahandanya untuk memangku jawatannya sebagai pemerintah Turki semasa Sultan Murad pergi ke Pulau Magnesia untuk bersuluk. Beliau mula menduduki takhta pada masa umurnya 19 tahun. Di kala itu baginda sudah begitu arif mengenai tipu helah musuh

Ketika Maharaja Kristian dari Konstantinopel telah mengirim guru-guru terbaik untuk mendidiknya tentang adab dan adat istiadat kehidupan raja-raja, beliau menyuruh guru-guru tersebut pulang sambil berkata "Haram hukumnya seorang Islam ditarbiah oleh orang kafir."

Sewaktu pemerintahannya juga, baginda membangunkan sebuah benteng yang dinamakan Rumeli Hisarri yang bermaksud benteng orang-orang Rom. Baginda sendiri membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga dengan itu ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut kerja juga.

Hati Maharaja Rom gementar melihat usaha Sultan Muhammad Al Fateh itu. Benteng yang dibina siap dalam masa tiga bulan. Dari benteng itu, dikawal dengan rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Dan dari situ juga beliau mempersiapkan kelengkapan untuk membebaskan Konstantinopel - cita-cita utamanya untuk merealisasikan hadith yang telah disabdakan Rasul tercinta 700 tahun sebelumnya.

Setelah persiapan taqwa dan kekuatan lahiriah telah mantap, peperangan dimulakan. Berbulan-bulan lamanya berlaku peperangan, namun belum tampak tanda-tanda kemenangan di pihak tentera Islam. Muhammad Al Fateh pun merujuk guru mursyidnya, Shamsudin Al Wali bilakah masanya benteng Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Gurunya melalui firasat memberitahu: pada hari yang ke 53, hari Selasa… pukul 11.00 pagi

Di sepanjang tempoh menunggu tersebut, kesemua tentera menghabiskan masa dengan perjuangan yang gigih di siang hari serta mempertingkatkan ibadah di malam hari.

Pada 29 Mei 1453, baginda berjaya menawan Konstantinopel. Beliau telah membuktikan kebenaran hadith Rasulullah. Konstantinopel telah ditukar nama kepada Islambol (Islam keseluruhan) yang mana kini dikenali dengan nama Istanbul.

Baginda menunjukkan sikap berlemah lembut dan bertoleransi yang sangat mengagumkan. Rakyat pada ketika itu diberi kebebasan untuk beragama. Semua gereja yang ada dikekalkan untuk Kaum Nasrani beribadah kecuali gereja Aya Sophia telah ditukarkan kepada masjid.


Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapakah selayaknya menjadi imam.

Muhammad Al Fateh memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya untuk bangun dan baginda lantas berkata. "Siapa di antara kamu sejak balighnya hingga ke saat ini pernah meninggalkan sembahyang fardhu sila duduk!" Tiada seorang pun yang duduk, melambangkan tidak ada seorang pun di antara mereka yang pernah meninggalkan sembahyang fardhu.

Muhammad Al Fateh berkata lagi, "Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan sembahyang sunat rawatib sila duduk!" sebahagian daripada tenteranya duduk.

Muhammad Al Fateh meneruskan lagi, "Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga ini pernah meninggalkan sembahyang tahajjud, sila duduk!" Kali ini seluruh tenteranya duduk, kecuali seorang. Dia itu tidak lain tidak bukan ialah Muhammad Al Fateh sendiri. Dialah orang yang tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat Rawatib dan solat Tahajjud sejak akil baligh. Inilah dia anak didikan Shamsuddin Al Wali dan dialah ketua yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w.

Begitulah kisah pemerintah yang begitu akrab hubungannya dengan Allah. Berbeza dengan kebanyakkan pemerintah hari ini yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada agenda yang diperintahkan oleh Allah.

Semoga Allah mencucuri rahmat terhadap Sultan Muhammad al-Fateh serta para pemerintah Islam lain yang telah banyak mendaulatkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.. Tidak lupa juga kepada semua para pengikutnya serta umat Islam yang masih ada pada hari ini.. InsyaAllah.. :)

No comments:

Post a Comment