Apabila kita
mengalami kesusahan, ibu bapa kitalah orang pertama yang kita cari. Jika kita
berada dalam kesedihan, ibu bapa jugalah yang akan dicari. Begitulah
istimewanya hubungan anak dan ibu bapa dalam ikatan semulajadi yang
dianugerahkan oleh Allah SWT. Segala jasa
dan pengorbanan yang ibu bapa curahkan sejak kita kecil sehingga besar adalah
tidak ternilai. Malah, jika difikirkan, sebelum kita dilahirkan lagi ibu bapa
telah bertungkus lumus mencari rezeki untuk memastikan kita dapat membesar
dengan sihat dan selesa setelah dilahirkan. Bukan itu
sahaja, ibu dengan rela hati menggadaikan nyawa melahirkan kita. Setelah
dilahirkan, ayah dengan perasaan penuh syukur dan gembira mendukung kita.
Sewaktu kita
sedang membesar, ibu bapalah yang paling bahagia melihat kita mengecapi
kejayaan walau sekecil mana pun kejayaan kita itu. Contohnya, ketika kita
berjaya menuturkan perkataan pertama kita seperti, "Ma", mereka
dengan perasaan penuh gembira mengkhabarkan berita itu kepada sanak saudara dan
sahabat handai mereka.
Merekalah
juga yang memimpin kita dengan penuh sabar semasa kita mengatur langkah-langkah
pertama kita. Mereka yang mengangkat dan membasuh luka kita apabila kita
tersungkur. Mereka juga sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungi
pelbagai cabaran demi masa depan kita. Islam amat
menitikberatkan umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa.
Allah SWT telah menyatakan betapa pentingnya kita sebagai anak menjaga hubungan
baik dengan ibu bapa di dalam Al-Qur'an.... "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya;
ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah
melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya
beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.
Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan
sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata:
"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang
engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap
mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan
meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat
kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh
kepadamu)."
(Surah Al-Ahqaaf, ayat 15)
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak
menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik
kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali,
sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau
berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan
"Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi
katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan
hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih
sayangmu..."
(Surah Al-Israa', ayat 23 dan 24)
(Surah Al-Israa', ayat 23 dan 24)
Allah SWT
menegaskan kepentingan berbuat baik kepada ibu bapa dalam beberapa ayat
Al-Qur'an yang lain:
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang
akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta
benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua IBU BAPA,
dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang
yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari
jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan
membalas dengan sebaik-baiknya)."
(Surah Al-Baqarah, ayat 215)
(Surah Al-Baqarah, ayat 215)
"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah
kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik
kepada kedua IBU BAPA, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang
miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan
sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki.
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan
membangga-banggakan diri;"
(Surah An-Nisaa', ayat 36)
(Surah An-Nisaa', ayat 36)
Oleh sebab itu, seorang anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ia merupakan penghormatan tertinggi daripada anak dalam membalas jasa ibu bapa mereka. Tanggungjawab berbuat baik kepada ibu bapa juga tidak terhenti selepas mereka meninggal dunia. Anak masih boleh berdoa supaya ibu bapa mendapat keampunan daripada Allah. Allah SWT berfirman, maksudnya; "...dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(Surah Al-Israa', ayat 24)
Selain itu,
setelah ibu bapa meninggal dunia, anak perlu melaksanakan wasiat mereka seperti
membayar hutang (jika ada) dan berbuat baik kepada sahabat mereka. Ketika
ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai masih adakah
tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia, Rasulullah SAW
menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: "Ada, iaitu berdoa, beristighafar
untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan
kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh
kedua-duanya." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Kesimpulannya,
menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa merupakan amalan yang berterusan.
Kasihi, hormati dan bantulah mereka semasa mereka masih hidup serta doakan
mereka setelah mereka meninggal dunia. Tanpa redha mereka, kita tidak akan
mengecapi redha Allah. Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud, "Redha
Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka
kedua-dua ibu bapa." (Riwayat al-Hakim)
No comments:
Post a Comment