Pengucapan Diri Ana (^_^)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah
lagi Maha Penyanyang, Segala puji bagi Allah yang mentadbir alam ini dengan
penuh aturan yang maha agung. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad S.A.W penghulu
segala nabi dan rasul serta para sahabat dan ahli keluarga baginda. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan
sekalung terima kasih kepada seorang sahabat saya yang banyak berjasa dalam
penulisan entri blog saya pada kali ini. Pada kali ini, saya ingin memberi
peringatan kepada semua khususnya diri ini sendiri yang sering terleka dengan
kehidupan dunia masa kini yang serba moden dan amat mencabar. Entri saya pada
kali ini lebih berkisarkan kepada musuh utama para rasul, nabi, dan umat
Islam ya’ni kita sendiri iaitu syaitan
Laknatullah. Seperti yang kita semua sedia maklum, nabi kita Muhammad S.A.W telah
banyak memberikan garis peringatan serta panduan kepada umatnya akan peranan
syaitan sebagai musuh yang nyata bagi kita semua. Baginda juga turut
memberi panduan tentang cara-cara menghindarkan diri daripada hasutan syaitan
laknatullah ini. Antara contoh yang mudah mampu saya beri ialah bacaan ta’awuz
pada setiap kali memulakan sesuatu ibadah. Namun, pada masa kini, umat
Islam semakin lupa akan peranan utama syaitan dalam menyesatkan umat manusia di
muka bumi ini. Pengalaman saya sendiri yang menyaksikan ramai
anak muda masa kini yang lebih cenderung mengikut amalan-amalan syaitan secara
terang-terangan. Contohnya seperti golongan pemuda-pemudi Islam yang
melibatkan diri dalam kegiatan lumba-haram, berzina, minum arak dan sebagainya.
Justeru itu, bagi saya hanya Ilmu, Iman dan amalan kebajikan sahaja yang mampu
menghalang kita daripada termakan dek hasutan syaitan laknatullah ini. Akhir
kalam, segala yang baik yang dicoretkan dalam blog saya ini datangnya daripada
Allah SWT dan segala yang buruk datangnya daripada kelemahan saya sendiri
selaku hamba-Nya yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Sekian,
selamat membaca buat sauadara dan saudari semua. (^_^)
Kekuatan iman dan amal benteng hadapi
godaan syaitan
KITA sering terbaca berita yang
dipaparkan mengenai peperangan dan pertelingkahan yang berlaku di segenap
pelosok dunia. Namun, semua pertelingkahan ini tidak sehebat apa yang berlaku
terhadap peperangan melawan godaan syaitan. Ia terpaksa dihadapi lebih daripada
tujuh bilion umat manusia dalam melawan musuhnya yang satu dalam pelbagai
watak. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu,
maka jadikanlah ia musuh yang sebenar kerana dia mengajak golongannya supaya
menjadi ahli neraka.”
Nabi Adam selaku makhluk yang istimewa
ciptaan Allah adalah orang yang pertama menghadapi godaan ini. Keistimewaan
inilah yang mengundang dendam daripada syaitan atau iblis yang juga sebelum ini
penghulu kepada malaikat. Penderhakaan yang dilakukan iblis terhadap Allah SWT
menyebabkan ia dilaknat dan diusir dari syurga. Di sinilah bermulanya
permusuhan iblis terhadap umat manusia yang membawa kepada sumpahan untuk
menyesatkan umat manusia.
Firman Allah SWT bermaksud: “Syaitan memujuk mereka dengan tipu daya. Maka jelaslah pengaruh syaitan itu dan Allah mengingatkan mereka mengenai larangan itu dan permusuhan bagi mereka berdua. (Adam dan Hawa). (al-A’raf ayat 22). Firman Allah SWT: “Iblis berkata: “Tuhanku, oleh kerana Engkau memutuskan bahawa aku tersesat, maka aku akan memastikan bahawa kesesatan ini akan menjadi perhiasan umat manusia seluruhnya.” (Surah Hijr ayat 39).
Firman Allah SWT bermaksud: “Syaitan memujuk mereka dengan tipu daya. Maka jelaslah pengaruh syaitan itu dan Allah mengingatkan mereka mengenai larangan itu dan permusuhan bagi mereka berdua. (Adam dan Hawa). (al-A’raf ayat 22). Firman Allah SWT: “Iblis berkata: “Tuhanku, oleh kerana Engkau memutuskan bahawa aku tersesat, maka aku akan memastikan bahawa kesesatan ini akan menjadi perhiasan umat manusia seluruhnya.” (Surah Hijr ayat 39).
Oleh yang demikian, sifat dendam ini perlu dikikis daripada minda dan hati manusia kerana ia adalah hasutan syaitan yang hanya merugikan umat dan akan memusnahkan harta benda, malah nyawa yang tidak berdosa. Syaitan juga berupaya menyuntik perasaan dendam, iri hati, angkuh, bongkak, tamak haloba, pentingkan diri sendiri dan semua sifat mazmumah (keji) yang lain bagi merealisasikan tugasnya menyesatkan umat manusia. Benteng yang kukuh perlu dibina dan dibentuk bagi menghalang pengaruh dan godaan syaitan kerana semangat tipu daya yang dimilikinya tidak pernah luntur sehingga hari kiamat.
Kita mestilah menjadikan syaitan
sebagai musuh yang sebenar dan perlu diperangi. Permusuhan ini perlu
diterjemahkan dengan meninggalkan perkara yang keji dan mungkar. Ilmu dan
amalan perlu dipersiapkan di samping sentiasa berwaspada terhadap kelemahan diri
kita sendiri. Manusia mukmin juga perlu sentiasa beristiqamah dengan jalan yang
lurus dan diredai juga benteng menghindarkan tipu daya syaitan. Hati kita
hendaklah tetap dengan jalan itu walaupun akan datang suara wakil dari syaitan
yang sentiasa memujuk agar kita terpesong daripada jalan yang lurus.Firman
Allah SWT: “Inilah jalan Tuhanmu yang lurus dan janganlah kamu menuruti jalan
lain yang akan menyesatkan kamu.” (Surah al-Ana’m ayat 153). Firman-Nya:
“Syaitan itu hanya akan mengajak golongannya menuju neraka yang menyala.”
(Surah al-Fatir ayat 6).
Di samping itu juga, doa yang bersifat
konsisten serta tahap tawakal yang tinggi kepada Allah SWT juga boleh membantu
menghindarkan gangguan. Jadikan Allah SWT sebagai tempat untuk kita menyerahkan
segala urusan berbekalkan usaha yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. Firman
Allah SWT bermaksud: “Mengapa kami tidak bertawakal kepada Allah sedangkan Dia
menunjukkan jalan kepada kami. Kami tetap bersabar terhadap ujian dan hanya
pada-Nya kami bertawakkal”. (Surah Ibrahim ayat 12).
Kita hendaklah sentiasa mengingati
Allah SWT yang menjadikan kita sebagai khalifah berpandukan kitab yang
diturunkan sebagai panduan dan pedoman. Firman Allah SWT: “Sesiapa
yang berpaling dari mengingati Allah, maka kami akan membiarkan syaitan untuk
menyesatkannya. Mereka akan terhalang dari jalan yang lurus dan menyangka
mereka adalah orang yang benar.” (Surah Zukhruf ayat 36 dan 37). Inilah
satu penyakit yang melanda umat kini yang mana semua pihak menyatakan bahawa
mereka berada pada landasan yang benar. Maka neraca yang sebenar ialah merujuk
kepada Allah dan Rasulnya. Kita juga mestilah menjauhi orang lalai dan leka
diulit keindahan serta kesibukan dunia sehingga lupa urusan kewajipan yang akan
menyelamatkan mereka pada hari kemudian.
Berdampingan dengan seseorang individu
atau kumpulan yang rosak juga dapat mempengaruhi diri terjebak sama dalam
godaan syaitan yang mana kita sentiasa melihat contoh dilakukan dan terkesan
daripada segala tidak tanduk mereka. Firman Allah SWT:“Ketika orang yang
kita ikut dulu berlepas diri ketika melihat azab Allah, barulah disedari bahawa
hubungan terputus dan semuanya akan dipersoalkan. Pengikut berkata : “Kalaulah
kami dapat kembali ke dunia, nescaya kami akan jauhi mereka seperti apa yang
mereka lakukan pada hari ini.” (Surah al-Baqarah ayat 155 dan 166).
Kesimpulannya, syaitan adalah musuh
kita yang sebenar yang perlu diperangi kerana ia mempunyai sekutu dalam
kalangan manusia dan jin yang berperanan untuk menyesatkan manusia. Kekuatan
benteng yang dibina untuk melindungi godaan syaitan dapat dinilai menerusi
sudut komitmen kita terhadap hukum Allah SWT. Kadar kekuatan kita dapat diukur
melalui kekuatan hubungan kita dengan Allah SWT.
Semoga kita dapat meningkatkan
keimanan kita dan ketakwaan terhadap Allah SWT kerana hanya iman, ilmu dan amal
kebajikan yang mampu menjadi benteng dalam diri daripada terjerumus ke dalam
hasutan Iblis dan Syaitan Laknatullah ini.