Kata Azimat

Kata Azimat
" Usaha itu Perlu, Doa itu Pembantu, Allah itu Penentu"... "Setiap Ilmu Yg Dipelajari perlu kepada Bimbingan Akal serta Panduan Iman Agar tidak tersasar dari Landasannya"... "Tiada tali yang paling erat selain tali silaturrahim, Tiada pintu yang pling kukuh selain pintu hati.., Tiada hutang yang pling berat selain hutang budi.., Tiada pemberian yang paling berharga selain memberi maaf"..."Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya selagi hamba- hambanyaNya mengingatinya"... "Setiap Ujian Yang Datang Daripada Allah.., Pasti akan ada hikmahnya..,Terpulang pada diri untuk menilainya"... "The More We Learn..., The More We Know that We Are So Stupid.."......"Ukhuwah yang dibina di antara kita biarlah seperti seutas tasbih..,, ada awal.., tiada penghujungnya,,,,, dicipta untuk mengingati-Nya...dibahagi untuk cinta-Nya..,, dan diratib demi keredhaan-Nya..Ukhuwah itu umpama ikatan tasbih.. Butir-butir tasbih mewakili roh-roh yang terjalin, manakala ikatan tali tasbih mewakili ukhuwah tersebut.. Sekiranya ikatan tersebut tidak diketahui dan terputus.., maka bercerailah roh-roh tersebut dan menjadi jauh..;')

Saturday, November 29, 2025

 

Sedekah mebersihkan jiwa & mendekatkan hubungan  kepada Sang Pencipta



Hukum Bersedekah

Di antara hukum bersedekah adalah seperti berikut :

1-      Hendaklah harta yang disedekahkan adalah harta yang baik dan diperoleh dengan cara yang baik pula. Ini menuntut agar seseorang membiasakan diri mencari rezeki dengan cara yang halal dan makan makanan halal. Seseorang yang mendekatkan diri kepada Allah hendaklah memakai dan memakan hasil dari yang baik menurut Allah S.W.T. Jika tidak, maka apa yang dilakukannya hanya mendatangkan murka Allah S.W.T.

2-      Hendaklah sedekah yang disalurkan itu merupakan sesuatu di luar keperluan asas kita. Ini kerana tidak sepatutnya bagi seseorang menyedekahkan sesuatu yang diri sendiri masih memerlukannya supaya ini tidak menimbulkan perkara yang tidak diingini bagi dirinya. Kekayaan itu ada dua :

a.       Kekayaan terdapat lebihan harta yang tidak lagi menjadi keperluan asas bagi diri dan keluarganya. Jika harta itu telah melebihi keperluan asas, seseorang cenderung membiarkannya apabila dimakan orang lain. Demikian pula haiwan apabila sudah kenyang, ia cenderung tidak melarang makanan itu dimakan oleh haiwan yang lain. Sebaliknya jika lapar, ia bakal menghalau siapa pun yang memakan maknannya, meskipun itu dari haiwan jinak sekalipun

b.       Kekayaan tidak membutakan mata, iaitu kaya hati. Kekayaan jenis ini hanya dimiliki oleh orang tertentu, seperti kaum Ansar yang dipuji oleh Allah S.W.T kerana mereka mendahulukan orang lain berbanding diri mereka sendiri. Jenis kekayaan ini tidak ada batasannya. Ia bergantung kepada sejauh mana kekuatan hubungan seseorang hamba dengan Allah S.W.T di samping sentiasa mengharap kurnia Allah.

Sebaik- baik sedekah adalah menyedekahkan sesuatu yang paling dicintai. Ini dapat dilihat dengan sabda Rasulullah S.A.W tentang sedekah yang paling afdhal di sisi Allah S.W.T “adalah sesuatu yang paling berharga di sisi pemiliknya.”

Dalam satu riwayat daripada Umar disebutkan beliau pernah menghadiahkan seekor unta yang dihidungnya terdapat cincin perak. Unta itu termasuk  jenis unta paling mahal yang nilainya sama dengan 80 ekor unta. Ketika beliau ditanya, “Tuan hanya memadai memberi unta yang selainnya.” Beliau malah menjawab , “Aku ingin membuat kaum musyrikin marah,” . Dalam keadaan seperti itu, sedekah memberi kesan luar biasa di dalam jiwa, di samping menjadi bukti sejauh mana kebenaran iman seseorang kepada Allah S.W.T. “Keutamaan sedekah terletak kepada kerelaan hati dan kecintaannya kepada kebaikan bukan diukur dengan berapa banyak harta itu dikeluarkan’. Kadang-kala dengan sedekah yang sedikit, seseorang dapat meraih pahala yang setara dengan sedekah orang lain dalam jumlah yang banyak.

 Dalam satu hadis disebutkan bahawa :

Harta seseorang tidak berkurang lantaran bersedekah, sesiapa yang dizalimi oleh orang lain namun dia tabah menghadapinya maka Allah menambahkan kemuliaan baginya dan sesiapa pun yang meminta-minta pasti Allah membukakan baginya pintu kemiskinan”.

“Sesungguhnya dunia ini milik empat golongan. Pertama , seseorang yang dikurniakan harta dan ilmu oleh Allah. Dengan harta dan ilmunya itu, dia bertakwa kepada Allah dan menjalin tali silaturrahim. Dia tahu Allah mempunyai hak ke atas harta dan ilmunya itu. Inilah semulia-mulia kedudukan.

Kedua,  seseorang yang dikurniakan ilmu tetapi tidak dikurniakan harta, tetapi dia memiliki niat yang tulus. Dia berkata : “Seandainya aku memiliki harta nescaya aku beramal seperti si polan (orang pertama) dengan niatnya itu, kedua-dua pahala hamba ini sama.

Ketiga, seseorang yang dikurniakan oleh Allah harta tetapi tidak memiliki ilmu. Dia lalu membelanjakan hartanya tanpa ilmu dan tidak bertakwa kepada Allah S.W.T serta tidak menjalin tali silaturrahim. Dia juga tidak tahu Allah memiliki hak ke atas hartanya itu. Inilah seburuk-buruk kedudukan.

Keempat, seseorang yang tidak memiliki harta mahupun ilmu. Dia berkata andai kata aku memiliki harta nescaya aku akan menghamburkannya seperti yang dilakukan oleh si polan (orang ketiga). Dengan niat itu, kedua-duanya memperoleh dosa yang sama”

                                                                                                      (Hadis Riwayat Tirmizi)


Seseorang yang memiliki niat baik memperoleh kedudukan yang sama dengan orang yang memiliki harta dan mengetahui hak Allah ke atas hartanya untuk kemudian digunakan untuk menyambung silaturrahim dengan harta tersebut.

 

Orang yang berhak menerima sedekah

Orang yang berhak menerima sedekah tidak memiliki syarat-syarat tertentu. Sedekah boleh diberikan kepada orang yang berhak menerima zakat kerana hokum sedekah adalah sunatdan oleh kerananya, ia boleh diberikan kepada sesiapa sahaja. Cakupan orang yang berhak menerima sedekah lebih luas berbanding orang yang berhak menerima zakat sehingga meliputi seluruh pintu amal kebaikan seperti silaturrahim, menyantuni anak yatim, orang yang dilanda musibah, membangun masjid, sekolah, hospital, jambatan, sedekah jariahn untuk penyediaan makan dan minum, menerbitkan buku, menanam tanaman, membangun tempat tinggal bagi orang kurang upaya dan lain-lain lagi.

 


Kesan sedekah

Adapun kesan sedekah meliputi orang kaya dan miskin dengan harapan hati orang kaya menjadi besih dan suci. Firman Allah :

“Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari ahlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka , kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan ingatlah Allah Maha Mendengar , lagi Maha Mengetahui .”

                                                                                                                    (Surah al-Taubah :103)

 


Nas Al-Quran ini menckupi sedekah wajib dan sunat. Sedekah wajib hendaklah terlebih dahulu dikeluarkan dan disalurkan kepada yang berhak menerimanya. Ini mengisyaratkan sedekah memiliki kesan terhadap kejiwaan mahupun harta. Sedekah mampu membersihkan hati kedua-dua pihak. Pihak pemberi sedekah diselamatkan daripada sikap bakhil, keras hati, busuk hati di samping membangkitkan sifat rela berkorban, berjiwa dermawan dan berlemah -lembut kepada orang yang dalam kesulitan.

Sementara pihak penerima sedekah diselamatkan daripada sifat dengki dan akibat yang ditimbulkannya. Sedangkan bagi harta itu sendiri, sedekah dapat membersihkannya, sehingga cepat berkembang dan bertambah banyak. Dengan demikian, sedekah merupakan satu kaedah yang berfungsi membersihkan jiwa sekaligus harta daripada kotoran noda dan mensucikan harta... Wallahua'lam.. 

Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :’)

Friday, November 28, 2025

Ahlak Yang Mulia - "Suri Tauladan Ummah"….

 


Ahlak merupakan perkataan Bahasa Arab yang bermaksud tingkahlaku, perangai atau keperibadian. Menurut Imam Al-Ghazali, ahlak adalah sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang yang dengannya lahir sesuatu perbuatan atau tingkahlaku. Perbuatan dan tingkahlaku tersebut terjadi dengan spontan hasil dari pancaran rohani.

Islam datang untuk membetulkan keadaan ahlak manusia. Rasulullah S.A.W diutuskan untuk menyeru manusia untuk membuang sifat kemungkaran yang berpunca daripada nafsu jahat dan godaan syaitan dengan beralih kepada sifat dan ahlak yang terpuji dan mulia.

Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud :

 “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan ahlak yang mulia”

                                                                         .............................               (Riwayat Imam Malik)

 


Islam datang untuk menyucikan hati-hati manusia, menanam benih-benih nur iman dan hidayah. Sebelum datangnya Islam, masyarakat hidup dalam keadaan porak peranda. Kekuatan fizikal dan kabilah menjadi asas kepada penguasaan terhadap kaum yang lain. Mereka hidup dalam kesesatan yang nyata sama dengan haiwan malah lebih teruk daripada haiwan ternakan. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T :

            Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang  beriman, setelah ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya) dan membersihkan mereka dari kepercayaan yang sesat, serta mengajar mereka kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat, dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan Nabi Muhammad S.A.W itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

                                                                                        .......................    (Surah Ali-Imran : 164)

 


Dalam hubungan sosial, Islam meletakkan asas-asas yang kukuh dalam pergaulan hidup manusia seharian. Batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan telah digariskan oleh Islam agar manusia tidak melakukan dosa dan melanggar hukum Allah S.W.T.

Pergaulan hidup yang dipengaruhi oleh budaya dan cara hidup yang bertentangan dengan islam akan menjerumuskan manusia ke dalam kancah masalah yang tidak dapat diselesaikan. Inilah sebabnya terjadi kepada generasi hari ini yang dipengaruhi oleh cara hidup barat yang liar yang tidak bersesuaian dengan ajaran islam. Gejala sosial seperti zina , bohisa, budaya lepak, anak luar nikah, dadah, arak, judi dan sebagainya adalah berpunca daripada sikap tidak menajdikan islam sebagai cara hidup serta tiada bimbingan menurut cara hidup islam.

 


Masyarakat Madinah yang diasaskan oleh baginda Rasulullah S.A.W menjadi contoh masyarakat yang tinggi dan mulia ahlaknya. Mereka hidup dalam lingkungan roh Islam dan menjadikan islam sebagai cara hidup yang syumul. Kehidupan mereka aman damai dan mendapat perlindungan Allah S.W.T. Tidak wujud perkara-perkara yang menyalahi peraturan islam. Sekiranya terdapat perkara yang mungkar terus ditegah dan dijatuhkan hukuman dengan tujuan mendapat keredhaan dan keampunan Allah S.W.T di akhirat kelak.

.................................                  Firman Allah yang bermaksud :

Dan di antara mereka ada yang berdoa dengan berkata : “ Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab api neraka”    (Surah Al-Baqarah : 201)

 


Masyarakat yang hidup tanpa panduan ahlak Islam tidak memiliki nilai-nilai murni, tiada kesejahteraan hidup, tiada jaminan untuk mengecapi kebahagiaan, hidup dalam ketakutan, huru-hara, maksiat berleluasa dan kacau-bilau. Golongan kaya berkuasa, yang miskin dijadikan hamba abdi, yang kuat menindas yang lemah, yang berkuasa bebas melakukan kejahatan dan dibiarkan sebaliknya yang miskin jika melakukan mereka akan diseksa dan diberi balasan. Tidak ada panduan hidup yang hakiki dan setiap puak ada undang-undang tersendiri yang boleh dipinda mengikut hawa nafsu.

Islam mengatur hidup manusia dengan penuh bijaksana dan penuh keadilan, mengajar manusia nilai-nilai mulia dan mengharamkan penindasan, menyarankan hidup bersatu-padu, tolong-menolong dan mewujudkan masyarakat madani yang murni serta mendapat hidayah Allah S.W.T.



Sabda Rasulullah S.A.W :

“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga  ia mengasihi saudaranya sebagaimana ia kasih terhadap dirinya”

Firman Allah S.W.T dan hadis Rasulullah S.A.W di atas, dapat difahami bahawa umat islam itu bersaudara dan terdapat hak dan tanggungjwab sesama sendiri. Ini kerana islam inginkan umatnya beriman kepada Allah S.W.T yang berhak disembah. Ini dibuktikan oleh Rasulullah S.A.W yang berusaha menyampaikan cara hidup islam kepada manusia agar manusia tidak berada dalam kekufuran dan kejahilan. Apabila seseorang itu beriman kepada Allah S.W.T pasti dia tidak ingin melihat saudaranya yang lain teraba-raba dalam kesesatan.

Semoga kita semua dapat berahlak dengan ahlak yang baik dan sempurna. Janganlah kita terpesong dari garis panduan yang telah diberikan oleh ajaran islam ."Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang , bukan terletak pada wajah dan pakaiannya"-Hamka...

Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :’)