Sedekah mebersihkan jiwa & mendekatkan
hubungan kepada Sang Pencipta
Hukum Bersedekah
Di antara hukum bersedekah adalah
seperti berikut :
1- Hendaklah harta yang disedekahkan adalah harta yang baik dan diperoleh dengan cara yang baik pula. Ini menuntut agar seseorang membiasakan diri mencari rezeki dengan cara yang halal dan makan makanan halal. Seseorang yang mendekatkan diri kepada Allah hendaklah memakai dan memakan hasil dari yang baik menurut Allah S.W.T. Jika tidak, maka apa yang dilakukannya hanya mendatangkan murka Allah S.W.T.
2- Hendaklah sedekah yang disalurkan itu merupakan sesuatu di luar
keperluan asas kita. Ini kerana tidak sepatutnya bagi seseorang menyedekahkan
sesuatu yang diri sendiri masih memerlukannya supaya ini tidak menimbulkan
perkara yang tidak diingini bagi dirinya. Kekayaan itu ada dua :
a.
Kekayaan terdapat lebihan
harta yang tidak lagi menjadi keperluan asas bagi diri dan keluarganya. Jika
harta itu telah melebihi keperluan asas, seseorang cenderung membiarkannya
apabila dimakan orang lain. Demikian pula haiwan apabila sudah kenyang, ia cenderung
tidak melarang makanan itu dimakan oleh haiwan yang lain. Sebaliknya jika
lapar, ia bakal menghalau siapa pun yang memakan maknannya, meskipun itu dari
haiwan jinak sekalipun
b.
Kekayaan tidak membutakan
mata, iaitu kaya hati. Kekayaan jenis ini hanya dimiliki oleh orang tertentu,
seperti kaum Ansar yang dipuji oleh Allah S.W.T kerana mereka mendahulukan
orang lain berbanding diri mereka sendiri. Jenis kekayaan ini tidak ada
batasannya. Ia bergantung kepada sejauh mana kekuatan hubungan seseorang hamba
dengan Allah S.W.T di samping sentiasa mengharap kurnia Allah.
Sebaik- baik sedekah adalah
menyedekahkan sesuatu yang paling dicintai. Ini dapat dilihat dengan sabda
Rasulullah S.A.W tentang sedekah yang paling afdhal di sisi Allah S.W.T “adalah
sesuatu yang paling berharga di sisi pemiliknya.”
Dalam satu riwayat daripada Umar
disebutkan beliau pernah menghadiahkan seekor unta yang dihidungnya terdapat
cincin perak. Unta itu termasuk jenis
unta paling mahal yang nilainya sama dengan 80 ekor unta. Ketika beliau ditanya,
“Tuan hanya memadai memberi unta yang selainnya.” Beliau malah menjawab , “Aku
ingin membuat kaum musyrikin marah,” . Dalam keadaan seperti itu, sedekah
memberi kesan luar biasa di dalam jiwa, di samping menjadi bukti sejauh mana
kebenaran iman seseorang kepada Allah S.W.T. “Keutamaan sedekah terletak kepada
kerelaan hati dan kecintaannya kepada kebaikan bukan diukur dengan berapa
banyak harta itu dikeluarkan’. Kadang-kala dengan sedekah yang sedikit,
seseorang dapat meraih pahala yang setara dengan sedekah orang lain dalam
jumlah yang banyak.
Dalam satu hadis disebutkan bahawa :
“Harta seseorang tidak
berkurang lantaran bersedekah, sesiapa yang dizalimi oleh orang lain
namun dia tabah menghadapinya maka Allah menambahkan kemuliaan baginya dan
sesiapa pun yang meminta-minta pasti Allah membukakan baginya pintu kemiskinan”.
“Sesungguhnya dunia ini milik empat
golongan. Pertama , seseorang yang dikurniakan harta dan ilmu oleh
Allah. Dengan harta dan ilmunya itu, dia bertakwa kepada Allah dan
menjalin tali silaturrahim. Dia tahu Allah mempunyai hak ke atas harta dan
ilmunya itu. Inilah semulia-mulia kedudukan.
Kedua, seseorang yang dikurniakan ilmu tetapi tidak
dikurniakan harta, tetapi dia memiliki niat yang tulus. Dia berkata : “Seandainya
aku memiliki harta nescaya aku beramal seperti si polan (orang pertama) dengan
niatnya itu, kedua-dua pahala hamba ini sama.
Ketiga, seseorang yang dikurniakan
oleh Allah harta tetapi tidak memiliki ilmu. Dia lalu membelanjakan hartanya
tanpa ilmu dan tidak bertakwa kepada Allah S.W.T serta tidak menjalin tali silaturrahim.
Dia juga tidak tahu Allah memiliki hak ke atas hartanya itu. Inilah seburuk-buruk
kedudukan.
Keempat, seseorang yang tidak
memiliki harta mahupun ilmu. Dia berkata andai kata aku memiliki harta nescaya
aku akan menghamburkannya seperti yang dilakukan oleh si polan (orang ketiga). Dengan
niat itu, kedua-duanya memperoleh dosa yang sama”
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Seseorang yang memiliki niat baik
memperoleh kedudukan yang sama dengan orang yang memiliki harta dan mengetahui
hak Allah ke atas hartanya untuk kemudian digunakan untuk menyambung
silaturrahim dengan harta tersebut.
Orang yang berhak menerima
sedekah
Orang yang berhak menerima sedekah
tidak memiliki syarat-syarat tertentu. Sedekah boleh diberikan kepada orang
yang berhak menerima zakat kerana hokum sedekah adalah sunatdan oleh kerananya,
ia boleh diberikan kepada sesiapa sahaja. Cakupan orang yang berhak menerima
sedekah lebih luas berbanding orang yang berhak menerima zakat sehingga
meliputi seluruh pintu amal kebaikan seperti silaturrahim, menyantuni anak yatim,
orang yang dilanda musibah, membangun masjid, sekolah, hospital, jambatan,
sedekah jariahn untuk penyediaan makan dan minum, menerbitkan buku, menanam
tanaman, membangun tempat tinggal bagi orang kurang upaya dan lain-lain lagi.
Kesan sedekah
Adapun kesan sedekah meliputi orang
kaya dan miskin dengan harapan hati orang kaya menjadi besih dan suci. Firman
Allah :
“Ambillah sebahagian dari
harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan
mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari ahlak yang buruk), dan doakanlah
untuk mereka , kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan
ingatlah Allah Maha Mendengar , lagi Maha Mengetahui .”
(Surah al-Taubah :103)
Nas Al-Quran ini menckupi sedekah
wajib dan sunat. Sedekah wajib hendaklah terlebih dahulu dikeluarkan dan disalurkan
kepada yang berhak menerimanya. Ini mengisyaratkan sedekah memiliki kesan
terhadap kejiwaan mahupun harta. Sedekah mampu membersihkan hati kedua-dua
pihak. Pihak pemberi sedekah diselamatkan daripada sikap bakhil, keras hati,
busuk hati di samping membangkitkan sifat rela berkorban, berjiwa dermawan dan
berlemah -lembut kepada orang yang dalam kesulitan.
Sementara pihak penerima sedekah diselamatkan daripada sifat dengki dan akibat yang ditimbulkannya. Sedangkan bagi harta itu sendiri, sedekah dapat membersihkannya, sehingga cepat berkembang dan bertambah banyak. Dengan demikian, sedekah merupakan satu kaedah yang berfungsi membersihkan jiwa sekaligus harta daripada kotoran noda dan mensucikan harta... Wallahua'lam..








Adapun kesan sedekah meliputi orang kaya dan miskin dengan harapan hati orang kaya menjadi besih dan suci... Sementara pihak penerima sedekah diselamatkan daripada sifat dengki dan akibat yang ditimbulkannya... Sedangkan bagi harta itu sendiri, sedekah dapat membersihkannya, sehingga cepat berkembang dan bertambah banyak... Dengan demikian, sedekah merupakan satu kaedah yang berfungsi membersihkan jiwa dan mendekatkan hubungan dengan Allah S.W.T...
ReplyDelete