Kata Azimat

Kata Azimat
" Usaha itu Perlu, Doa itu Pembantu, Allah itu Penentu"... "Setiap Ilmu Yg Dipelajari perlu kepada Bimbingan Akal serta Panduan Iman Agar tidak tersasar dari Landasannya"... "Tiada tali yang paling erat selain tali silaturrahim, Tiada pintu yang pling kukuh selain pintu hati.., Tiada hutang yang pling berat selain hutang budi.., Tiada pemberian yang paling berharga selain memberi maaf"..."Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya selagi hamba- hambanyaNya mengingatinya"... "Setiap Ujian Yang Datang Daripada Allah.., Pasti akan ada hikmahnya..,Terpulang pada diri untuk menilainya"... "The More We Learn..., The More We Know that We Are So Stupid.."......"Ukhuwah yang dibina di antara kita biarlah seperti seutas tasbih..,, ada awal.., tiada penghujungnya,,,,, dicipta untuk mengingati-Nya...dibahagi untuk cinta-Nya..,, dan diratib demi keredhaan-Nya..Ukhuwah itu umpama ikatan tasbih.. Butir-butir tasbih mewakili roh-roh yang terjalin, manakala ikatan tali tasbih mewakili ukhuwah tersebut.. Sekiranya ikatan tersebut tidak diketahui dan terputus.., maka bercerailah roh-roh tersebut dan menjadi jauh..;')

Saturday, July 4, 2026

Kisah kewafatan Rasulullah S.A.W


Berikut adalah butiran lanjut mengenai peristiwa kewafatan Baginda:

·         Sakit yang dialami: Baginda mengalami demam panas yang berlarutan sejak pulang dari Haji Wada'. Sebahagian riwayat menyatakan ia berkait dengan kesan racun yang dimakan ketika peristiwa Perang Khaibar.

·         Peristiwa Bersiwak: Saat melihat abang Saidatina Aisyah membawa kayu sugi (siwak), baginda memberi isyarat ingin bersiwak. Saidatina Aisyah melunakkan siwak tersebut, menjadikannya amalan terakhir Baginda sebelum wafat.

·         Ucapan Terakhir: Saidatina Aisyah mendengar Baginda membisikkan doa: "Ya Allah, ampunilah dosaku, rahmatilah aku dan pertemukanlah aku dengan ar-Rafiq al-A'la (sahabat yang paling tinggi - para malaikat dan Allah SWT)."

·         Reaksi Para Sahabat: Saidina Umar bin al-Khattab pada awalnya tidak percaya dan menafikan berita kewafatan itu. Namun, Saidina Abu Bakar al-Siddiq tampil mententeramkan keadaan dan membaca ayat suci al-Quran, mengesahkan bahawa Nabi Muhammad SAW telah wafat..

 

Peristiwa kewafatan Rasulullah SAW yang sangat menyedihkan umat islam itu berlaku pada hari Isnin selepas tergelincirnya matahari. Mengikut sesetengah riwayat, ada yang mengatakan pada akhir waktu dhuha, tanggal 12 Rabi‘ul Awwal tahun ke-11 Hijrah dalam usia 63 tahun. Malah, ada kalangan ulama yang berpandangan bahawa Baginda SAW wafat pada usia 63 tahun empat hari, dengan menambahkan bilangan empat hari. Di dalam Sahih al-Bukhari, tanda awal akan saat kematian Rasulullah itu disebutkan oleh Baginda ketika menyampaikan khutbah.

Menurut riwayat Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW dikatakan sedang menyampaikan khutbah lalu Baginda Nabi menyebutkan: "Sesungguhnya Allah telah memberi pilihan kepada seorang hamba sama ada untuk memilih dunia atau memilih berada disisi-Nya. Lalu hamba itu memilih untuk berada di sisi Allah."

 

(Hadis Riwayat al-Bukhari)..

 

Sebaik mendengar ucapan ini, Abu Bakar tiba-tiba menangis. Abu Said al-Khudri yang meriwayatkan hadis ini tertanya-tanya, apa yang menyebabkan Abu Bakar menangis. Setelah beberapa ketika barulah mereka faham bahawa perkataan 'hamba' yang disebutkan Rasulullah SAW itu adalah mengenai dirinya sendiri. Iaitu Rasulullah sudah memilih untuk berada di sisi Allah… Ini adalah detik awal, tanda-tanda kedatangan saat kewafatan Rasulullah SAW. Sebahagian riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mula menerima kesan racun Yahudi Khaibar yang dikatakan menjadi punca kewafatan Rasulullah.

 

Menurut riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW mengadu kepada Aisyah bahawa kesan racun yang dikenakan kepada Baginda sudah mula memberikan kesakitan. Sabda Rasulullah SAW: "Wahai 'Aisyah, aku masih merasakan kesan dari makanan yang sudah aku makan pada saat di Khaibar. Inilah saatnya terputusnya nafasku disebabkan oleh racun itu."

(Hadis Riwayat al-Bukhari)


Untuk pengetahuan semua, setelah berlakunya kemenangan Khaibar, seorang perempuan Yahudi bernama Zainab binti al-Harith sudah memberikan daging kambing yang beracun kepada Rasulullah SAW. Rasulullah sempat meluahkan daging itu setelah dimaklumkan berkenaan racun tersebut. Namun seorang sahabat bernama Bisyr bin al-Barra tidak mengetahui mengenai perkara itu dan meninggal serta-merta selepas memakan daging itu. Rasulullah SAW memanggil perempuan Yahudi itu dan bertanya mengapa dia melakukan sedemikian. Perempuan Yahudi itu menjawab bahawa tujuan dia melakukan sedemikian adalah kerana ingin menguji Rasulullah

 

Malah, pada hakikatnya, bukan racun itu sahaja menjadi punca kewafatan Rasulullah. Menurut al-Imam Ibn Abd al-Barr, Rasulullah S.A.W sudah mula merasa sakit di rumah isterinya Saidatina Maimunah. Setelah itu Rasulullah mula mengadu sakit dan demam. Ini terjadi di rumah Saidatina Aisyah.

 

Riwayat-riwayat ini menunjukkan bahawa tanda sakit Rasulullah berlaku dari pelbagai keadaan. Bukan sekadar kambing beracun itu sahaja.


Kesakitan sakaratul maut

Bukan sekadar demam dan pening kepala, Saidatina Aisyah turut menceritakan perihal sakratul maut yang dihadapi Rasulullah SAW. Kata Aisyah: "Bahawa di hadapan Rasulullah (ketika saat kewafatan Baginda) terdapat sebuah bekas berisi air. Baginda memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam air dan mengusap-usapkannya ke wajah, dan berkata, "Laa ilaaha illallaah, sesungguhnya kematian itu diiringi sakarat."

Sakaratul maut dari aspek bahasa adalah gabungan dari dua perkataan iaitu sakarat yang membawa maksud kemabukan atau hilang sedar akibat kesakitan yang amat. Manakala perkataan maut membawa erti kematian.

Rasulullah sendiri melalui peristiwa ini sehingga pengsan membayangkan betapa dahsyat saat sakaratul maut ini. Peristiwa kewafatan Rasulullah diriwayatkan beberapa sarjana hadis. Ia menggambarkan beberapa peristiwa dan kesakitan dilalui Baginda sebagai manusia sebelum saat kewafatan Baginda


Penerimaan berita kewafatan Rasulullah oleh Para Sahabat:


Abu Bakar al-Siddiq RA yang mendapat berita kewafatan Rasulullah SAW, dengan segera bergegas datang. Setibanya di masjid, beliau tidak mempedulikan sikap ‘Umar bin al-Khattab RA yang mengancam dengan keras dan menafikan kewafatan Rasulullah SAW.

Lantas, Abu Bakar RA masuk ke dalam rumah Rasulullah SAW dan terus menarik selimut yang menutupi muka dan kepala Baginda. Beliau menatap dengan penuh kesedihan, lalu mengucup wajah yang mulia itu.


Lantas, Abu Bakar RA berkata:

بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي، أَمَّا الْمَوْتَةُ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ عَلَيْكَ فَقَدْ ذُقْتهَا، ثُمَّ لَنْ تُصِيبَكَ بَعْدَهَا مَوْتَةٌ أَبَدًا.


“Demi sesungguhnya aku kasihkanmu lebih daripada kasihku kepada ayah dan ibuku. Inilah kematian pertama yang Allah SWT wajibkan kepadamu yang kamu rasai. Kemudian selepas ini, kamu tidak akan merasai mati lagi untuk selama-lamanya.”


Kain selimut diangkat semula untuk menutupi wajah kekasih Allah SWT yang mulia itu. Kemudian, beliau terus keluar dan menuju ke masjid.

 

‘Umar RA terus mengucapkan dengan tegas bahawa Rasulullah SAW tidak wafat dan akan bertindak terhadap sesiapa yang mengatakan bahawa Baginda telah wafat.

 

Maka, Abu Bakar RA berkata:

 

عَلَى رِسْلِكَ يَا عُمَرُ، أَنْصِتْ!

 

“Berhenti! Wahai ‘Umar, diamlah kamu!”

 

Umar RA enggan mematuhi perintah tersebut. Abu Bakar RA terus berpaling kepada orang ramai dan menyampaikan ucapannya yang masyhur:

 

أَيُّهَا النَّاسُ، إنَّهُ ‌مَنْ ‌كَانَ ‌يَعْبُدُ ‌مُحَمَّدًا ‌فَإِنَّ ‌مُحَمَّدًا ‌قَدْ ‌مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لَا يَمُوتُ. قَالَ: ثُمَّ تَلَا هَذِهِ الْآيَةَ:

 

“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya sesiapa yang menyembah Muhammad, sebenarnya Muhammad sudah mati; dan sesiapa yang menyembah Allah, sebenarnya Allah itu Maha Hidup tidak mati sekali-kali (seterusnya menyebutkan firman Allah SWT):

 

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ١٤٤


“Tiadalah Muhammad itu melainkannya seorang Rasul. Sesungguhnya telah berlalu rasul-rasul sebelumnya. Adakah sekiranya Muhammad mati atau dirinya dibunuh, (patutkah) kalian berpaling tadah dengan menyelewengkan agamanya? Dan sesiapa yang berpaling tadah dengan menyelewengkan agamanya, maka dia tidak mendatangkan apa-apa mudarat terhadap Allah sedikit pun. Dan (sebaliknya) Allah akan memberikan balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan ni‘mat Islam yang tiada bandingannya itu).” (Surah Ali ‘Imran: 144) [Ibn Hisham, Sirah Nabawiyyah, jld. 2, ms. 656]


Setelah mendengar ucapan itu, mereka semua tercengang dan Umar RA jatuh terduduk kesedihan kerana kakinya sudah tidak dapat menanggung lagi jasadnya. Seolah-olah ayat yang dibacakan oleh Abu Bakar RA itu baharu sahaja diwahyukan.


Demikianlah kecintaan para sahabat terhadap Rasulullah SAW yang tiada tolok bandingnya. Begitu juga kecintaan Rasulullah SAW terhadap orang-orang yang beriman. Namun, Baginda tetap memilih kepada yang lebih dicintai, iaitu bertemu dengan Allah SWT di alam akhirat.


Rasulullah SAW wafat pada 12 Rabiul Awal tahun ke- 11 Hijrah (8 Jun 632 Masihi) di pangkuan isteri tercinta, Saidatina Aisyah RA di Madinah. Detik-detik akhir baginda diwarnai dengan peristiwa bersiwak, dan lafaz terakhir baginda adalah kalimah tauhid, sebelum diangkat ke rahmatullah pada usia 63 tahun...

No comments:

Post a Comment