Kata Azimat

Kata Azimat
" Usaha itu Perlu, Doa itu Pembantu, Allah itu Penentu"... "Setiap Ilmu Yg Dipelajari perlu kepada Bimbingan Akal serta Panduan Iman Agar tidak tersasar dari Landasannya"... "Tiada tali yang paling erat selain tali silaturrahim, Tiada pintu yang pling kukuh selain pintu hati.., Tiada hutang yang pling berat selain hutang budi.., Tiada pemberian yang paling berharga selain memberi maaf"..."Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya selagi hamba- hambanyaNya mengingatinya"... "Setiap Ujian Yang Datang Daripada Allah.., Pasti akan ada hikmahnya..,Terpulang pada diri untuk menilainya"... "The More We Learn..., The More We Know that We Are So Stupid.."......"Ukhuwah yang dibina di antara kita biarlah seperti seutas tasbih..,, ada awal.., tiada penghujungnya,,,,, dicipta untuk mengingati-Nya...dibahagi untuk cinta-Nya..,, dan diratib demi keredhaan-Nya..Ukhuwah itu umpama ikatan tasbih.. Butir-butir tasbih mewakili roh-roh yang terjalin, manakala ikatan tali tasbih mewakili ukhuwah tersebut.. Sekiranya ikatan tersebut tidak diketahui dan terputus.., maka bercerailah roh-roh tersebut dan menjadi jauh..;')

Monday, October 8, 2012

KELEBIHAN SOLAT SUNAT TAHAJUD....




Satu cara paling berkesan untuk berhubung dengan Allah ialah dengan bangun mengerjakan ibadah, khususnya sembahyang tahajud atau sembahyang di tengah malam. Tetapi, satu persoalan boleh ditimbulkan berhubung perkara ini ialah kenapa Allah meletakkan masa untuk sembahyang tahajud pada tengah malam ketika suasana sunyi, sejuk dan penuh keheningan. Jawapannya ialah kerana Allah mahu menguji sejauh mana taatnya seseorang mahluk yang mengaku bertuhankan Allah SWT. "Sesungguhnya, bukan satu perkara mudah untuk bangun daripada tidur nyenyak pada waktu dinihari ketika orang lain sedang dibuai mimpi". Juga bukan satu perkara mudah untuk berwudhu’ dalam suasana dingin malam yang mencengkam dan juga bukan perkara mudah untuk mengangkat takbir menghadap Allah dalam keadaan mata yang masih terkebil-kebil kepedihan menahan nikmat tidur yang masih belum dipenuhi.


Dengan kata lain, amalan bangun bertahajud adalah perbuatan amat berat untuk dikerjakan. Keadaan tubuh yang letih dan lesu kerana sehari suntuk bekerja pada siang hari, ditambah pula sekiranya seseorang itu masih belajar seperti seorang mahasiswa IPG, maka sudah tentu banyak tenaga telah digunakan pada waktu pagi dan petang dek kerana riadahnya dan mentelaah ilmu pelajaran. Justeru, keadaan tubuh yang letih dan lesu sememangnya memerlukan rehat yang mencukupi dan hal ini menyebabkan ramai yang mengalami kesukaran untuk bangun seketika daripada tidurnya lantaran kerana lenanya diulit mimpi yang indah serta fikiran yang bebas daripada belenggu masalah kerana nikmatnya tidur kurniaan Allah SWT. Mata akan bertambah mengantuk dan tubuhnya akan menjadi bertambah penat apabila seseorang tidur lewat malam kerana asyik menonton tayangan gambar khususnya bagi pihak muslimin yang gemarkan menonton sukan bola sepak pada larut malam di kaca komputer riba atau televisyen serta melakukan kerja tambahan-tambahan yang lain. Keadaan sejuk dan suasana sunyi sepi di tengah malam juga menjadi faktor untuk membuatkan seseorang nyenyak tidur dan berasa ‘keberatan’ untuk berhubung dengan Allah SWT di tengah malam. Namun, pada kesukaran inilah tersembunyi suatu rahsia Allah yang hanya sedikit sekali diketahui oleh hamba-hamba-Nya. Sekalipun sembahyang tahajud sekadar sunat, tetapi kelebihannya amat besar di sisi Allah dan tinggi niainya. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’  : 79 :

Maksudnya : “Dan pada sebahagian malam, lakukanlah solat tahajud (sebagai satu ibadah) tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke suatu darjat yang terpuji)"


Ayat ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya sembahyang tahajud. Ia peluang keemasan yang ditawarkan Allah kepada manusia untuk mengukuhkan hubungan manusia dengan Penciptanya. Sesungguhnya segala kesusahan dan kepayahan itu hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya., namun bagi mereka yang biasa, ia akan menjadi satu kenikmatan pula. Bagi yang dapat menghayatinya, mereka akan berasa satu kerugian besar jika meninggalkan sembahyang tahajud. Pada waktu sepertiga malam inilah, pintu langit akan terbuka luas untuk menerima taubat hamba Allah dan Malaikat akan membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti mahu membakar tubuh manusia di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah S.A.W  yang bermaksud :
“Allah SWT sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan akan membangunkan isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan Allah sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan membangunkan suaminta dan jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya “ (Hadis riwayat Abu Daud)                                                                                     


        Sesungguhnya untuk mendapat kasih sayang daripada Allah bukan sesuatu yang mudah. Allah mengasihi orang yang beriman dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangannya. Sembahyang tahajud satu suruhan Allah dan oleh ituAllah menyanyangi mereka yang mengerjakan sembahyang ini. Bagi manusia yang benar-benar yakin dan patuh kepada Allah tidak akan keberatan untuk bangun melakukan tahajud di tengah malam. Sesungguhnya, sembahyang tahajud ialah satu daripada sembahyang sunat yang mempunyai nilai dan kedudukan tinggi berbanding sembahyang sunat yang lain. Sembahyang tahajud adalah amalan orang soleh yang sentiasa mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT. Amalan sembahyang tahajud bukannya hanya diamalkan umat Nabi Muhammad S.A.W sahaja malah turut diamalkan oleh umat nabi sebelumnya. Ini bererti perintah tahajud bukan dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W sahaja. 


Saidina Umar Al-Khatab menyatakan fadhilat atau kelebihan sembahyang malam dengan berkata : “Sesiapa yang mengerjakan sembahyang malam (tahajud) dengan khusyu’ nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat.

Kurniaan di dunia ialah :

1)      Jauh daripada segala penyakit
2)      Lahir kesan takwa pada wajahnya
3)      Dikasihi sekalian mukmin dan seluruh manusia
4)      Percakapannya mengandungi hikmah
5)      Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)

Sementara empat kurniaan di akhirat ialah : 

1)      Dibangkitkan dari kubur dengan wajah yang berseri-seri
2)      Dipermudahkan hisab
3)      Cepat melalui Sirat al-Mustaqim- seperti kilat
4)      Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat dengan tangan kanan

 
        Walaupun manusia sedar ketinggian kedudukan sembahyang tahajud, namun sedikit sekali manusia yang mengakui beragama islam sanggup dan bersedia melakukan sembahyang ini. Bagi mereka, tidur lebih seronok dan lebih utama daripada sembahyang ini. Sesungguhnya manusia akan berlumba-lumba untuk bersembahyang tahajud sekiranya mereka dapat merasai betapa nikmatnya melakukan amalan ini.
Keheningan dan kedinginan malam seolah-olah memberi kesempatan kepada seseorang untuk merapatkan lagi jurang hubungan antara mahluk dan pencipta-Nya. Apa yang dibaca seseorang ketika bersembahyang itu seolah-olah didengar dan mendapat layanan daripada Allah Yang Maha Berkuasa


       Orang yang khusyu’ dalam sembahyang akan merasa hubungannya dengan Allah begitu hampir. Biasanya, permohonan seseorang untuk mendapat sesuatu itu cepat mendapat layanan apabila tidak ramai orang memohonnya. Anologinya cukup mudah, sebagai contohnya di IPG saya ada sebuah kedai burger yang menjadi tumpuan pelajar-pelajar di sini. Justeru itu, sekiranya pada ketika itu bilangan orang yang ingin membeli burger teramat kecil bilangannya, maka sudah tentu permintaannya akan menjadi mudah, cepat dan senang diperolehi. 


      Oleh itu, mohonlah keampunan dan limpahan rahmat ketika orang lain sedang tidur nyenyak. Berhubunglah dengan Allah ketika peluang masih ada, umur masih muda dan pintu taubat masih terbuka. Insya-Allah kita akan mendapat limpahan rahmat dan nikmat daripada-Nya Sebaik-baik permohonan dan masa untuk berhubung denganAllah ialah pada waktu malam. Sebab itu kurangkanlah tidur dan perbanyakkanlah bersembahyang dan beribadah bagi menambahkan saham atau bekalan di akhirat pada waktu malam hari. Insya-Allah pesanan buat rakan serta diri ini khususnya selaku hamba yang sering tidak terlepas daripada elakukan dosa terhadap Allah dan sesama mahluk.

Monday, August 6, 2012

Berbakti kepada Ibu & Bapa



Apabila kita mengalami kesusahan, ibu bapa kitalah orang pertama yang kita cari. Jika kita berada dalam kesedihan, ibu bapa jugalah yang akan dicari. 


Begitulah istimewanya hubungan anak dan ibu bapa dalam ikatan semulajadi yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T.  Segala jasa dan pengorbanan yang ibu bapa curahkan sejak kita kecil sehingga besar adalah tidak ternilai. 


Malah, jika difikirkan, sebelum kita dilahirkan lagi ibu bapa telah bertungkus lumus mencari rezeki untuk memastikan kita dapat membesar dengan sihat dan selesa setelah dilahirkan. 


Bukan itu sahaja, ibu dengan rela hati menggadaikan nyawa melahirkan kita. Setelah dilahirkan, ayah dengan perasaan penuh syukur dan gembira mendukung kita.



Sewaktu kita sedang membesar, ibu bapalah yang paling bahagia melihat kita mengecapi kejayaan walau sekecil mana pun kejayaan kita itu. 


Contohnya, ketika kita berjaya menuturkan perkataan pertama kita seperti, "Ma", mereka dengan perasaan penuh gembira mengkhabarkan berita itu kepada sanak saudara dan sahabat handai mereka.


Merekalah juga yang memimpin kita dengan penuh sabar semasa kita mengatur langkah-langkah pertama kita. Mereka yang mengangkat dan membasuh luka kita apabila kita tersungkur. 


Mereka juga sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan kita. Islam amat menitikberatkan umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. 

Allah S.W.T telah menyatakan betapa pentingnya kita sebagai anak menjaga hubungan baik dengan ibu bapa di dalam Al-Quran....   

 

 "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. 


Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: 

 


"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan......


jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)."

(Surah Al-Ahqaaf, ayat 15)

 


"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. 


Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "AH", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). 


Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu..."


(Surah Al-Israa', ayat 23 dan 24)



Allah S.W.T menegaskan kepentingan berbuat baik kepada ibu bapa dalam beberapa ayat Al-Qur'an yang lain:

 

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: 


Kedua Ibu Bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya)."


(Surah Al-Baqarah, ayat 215)



"Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua IBU BAPA, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan.............


jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;"


(Surah An-Nisaa', ayat 36)



Oleh sebab itu, seorang anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ia merupakan penghormatan tertinggi daripada anak dalam membalas jasa ibu bapa mereka.


Tanggungjawab berbuat baik kepada ibu bapa juga tidak terhenti selepas mereka meninggal dunia. Anak masih boleh berdoa supaya ibu bapa mendapat keampunan daripada Allah. Allah S.W.T berfirman, maksudnya; 

 

 "...dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

(Surah Al-Israa', ayat 24)


Selain itu, setelah ibu bapa meninggal dunia, anak perlu melaksanakan wasiat mereka seperti membayar hutang (jika ada) dan berbuat baik kepada sahabat mereka. 


Ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia, Rasulullah S.A.W menjawab dengan sabdanya yang bermaksud:


 "Ada, iaitu berdoa, beristighfar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya." 

(Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

 


Kesimpulannya, menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa merupakan amalan yang berterusan. Kasihi, hormati dan bantulah mereka semasa mereka masih hidup serta doakan mereka setelah mereka meninggal dunia. 



Tanpa redha mereka, kita tidak akan mengecapi redha Allah. Rasulullah S.A.W bersabda, yang bermaksud, "Redha Allah S.W.T bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah S.W.T bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa." 

(Riwayat al-Hakim)

Allahumma solli 'ala saidina Muhammad :")

Monday, July 23, 2012

Alunan azan Bilal bin Rabah membelah langit


Kisah cinta dan perjuangan lelaki kulit hitam ini terlalu agung. Tidak terbayar dengan segala isi dunia. Malah kerana cinta itulah dia diangkat darjatnya daripada seorang hamba yang sering dihina, dicemuh, dan diseksa kepada insan yang mulia di sisi Allah dan Rasul.

 

Kisah Bilal bin Rabah si tukang azan cukup meruntun jiwa sesiapa sahaja yang mengetahuinya. Dia dikagumi dek ketabahannya.  Lelaki ini dilahirkan di daerah al-Sarah di pinggir Kota Mekah kira-kira tahun 43 sebelum Hijrah sebagai seorang hamba. Ada riwayat menyatakan dia lahir di Habsyah (kini dikenali sebagai Ethiopia).

 

Ayahnya bernama Rabah dan ibunya Hamamah, seorang wanita berkulit hitam. Bilal mempunyai seorang abang bernama Sahib. Sejak kecil, anak malang itu sering diejek oleh penduduk setempat dengan panggilan Ibnul Sauda bermaksud putera wanita hitam.

 

Perjalanan hidupnya cukup pahit. Menurut cerita, kedua-dua ibu bapanya dikatakan berasal dari Habsyah berpindah ke Kota Mekah untuk membina kehidupan baru. Bagaimanapun setibanya dipertengahan jalan mereka dirompak, kemudian ditangkap dan ditawan, sebelum dijual di pasar Ukaz.

 


Pasangan ini dibeli keluarga Bani Abdul Dar. Mereka dipaksa bekerja siang dan malam tanpa diberi makanan yang mencukupi, serta dilayan dengan kejam.  Pernah suatu ketika Sahib menangis kelaparan lalu si ibu mengambil sekeping roti sisa makanan tuannya. Melihat keadaan itu, wanita malang tersebut diherdik dan dipukul. Roti itu dicampak kepada anjing. Bagi mereka seluruh keluarga Bilal lebih hina daripada anjing.

 

Setelah meningkat remaja, dia terpaksa berpisah dengan satu-satunya saudara kandung. Sahib dijual kepada pasangan suami isteri yang kaya di Yaman. Abangnya itu beruntung kerana pasangan tersebut tidak mempunyai anak. Dia dilayan seperti anak sendiri. Sementara si ibu menderita kerinduan, tambahan pula sering diseksa oleh tuannya sehingga meninggal dunia. Tidak lama selepas itu ayahnya pula menyusul kerana sakit tenat.

 


Keimanan tidak dapat ditukar ganti

 

Tinggallah si Bilal sebatang kara. Dalam usia yang masih muda, Bilal kehilangan semua orang yang disayangi. Setelah ayahnya meninggal, Bilal diserahkan pada tuan yang baru iaitu Umayyah bin Khalaf.  


Pada mulanya dia dilayan dengan baik, lebih-lebih lagi dia seorang hamba yang setia dan patuh terhadap tuannya. Malah dia dikenali sebagai seorang yang rajin, bertanggungjawab, ikhlas, amanah, berani, tabah dan sanggup menghadapi risiko demi mempertahankan kebenaran.

 

Setelah Muhammad S.A.W dipilih menjadi nabi dan rasul, Bilal adalah antara orang yang terawal memeluk Islam bersama Khadijah binti Khuwailid, Abu Bakar as-Siddiq, Ali bin Abi Thalib, Amar ibnu Yasir, Sumayyah, Suhaib ar-Rumi dan Miqdad Aswad.  Dia begitu bersungguh-sungguh mendalami agama yang baru dianuti itu sehingga sanggup berulang-alik ke rumah Arqam bin Abi al-Arqam secara bersembunyi kerana bimbang diketahui oleh tuannya. 


Bagaimanapun berita pengislaman Bilal sampai ke pengetahuan Umayyah. Dia memujuk Bilal agar meninggalkan Islam dan kembali kepada agama asal, tetapi Bilal tetap berkeras mempertahankan Islam sebagai anutannya dunia dan akhirat.

 


Dengan nada marah, Umayyah berkata,

 

“Aku berkuasa ke atas seluruh tubuhmu” namun dengan tenang hamba itu menjawab,

 

“Walaupun seluruh jasadku milikmu, tetapi bukan fikiranku, imanku dan kepercayaanku”

 

Setelah gagal memujuk Bilal, Umaiyyah mula bertindak kejam. Bilal bukan hanya dipukul dan diarak mengelilingi Kota Mekah, tetapi dia diikat dengan batu besar di atasnya badan dalam keadaan tanpa pakaian. Kemudian Bilal diheret ke tengah padang pasir.

 

Bukan setakat itu, malah Bilal juga dipukul, diseksa, dipakaikan baju besi dan dijemur di tengah panas pembahang tanpa diberi makanan dan minuman walau seteguk air. Badannya kelihatan berselirat dengan kesan sebatan cemeti.

 


Walau begitu teruk seksaan yang dikenakan pada Bilal, namun semua itu bukan sahaja tidak dapat melemahkan keimanannya kepada Allah, malah menguatkan lagi ketakwaannya. 


Sikap dan tindakan Bilal itu menghairankan Umayyah. Puas dipaksa agar mengaku berhala al-Latta, al-Uzza sebagai tuhan tetapi Bilal tetap enggan. Mulutnya hanya menyebut “Ahad, Ahad” (nama Allah) dan dia menerima seksaan itu dengan tenang dan reda.

 

Merdekanya seorang hamba

 


Kisah kekejaman itu sampai ke pengetahuan Abu Bakar as-Siddiq, lalu beliau menemui Umayyah untuk menebusnya dengan harga 9 uqiyah emas, tanpa tawar menawar. Sementara Umayyah berkata,

 

“Andai diminta kurang sehingga satu uqiyah emas pun aku sanggup menjualnya”

 

Lalu sahabat Rasulullah S.A.W itu menjawab,

 

“Andai harga Bilal setinggi 100 uqiyah emas pun aku sanggup bayar”

 

Kemudian lelaki budiman yang teguh imannya itu dimerdekakan. Abu Bakar r.a. menceritakan kisah Bilal itu kepada Rasulullah. Baginda ingin berkongsi wang tebusan tetapi Abu Bakar enggan.

 


Setelah memeluk Islam, apa sahaja yang dilakukan semata-mata kerana Allah. Dia mula mengenal betapa manisnya iman. 


Nasibnya berubah daripada seorang anak yatim piatu dan hamba sejak kecil kepada tukang azan yang menyeru umat Islam mengerjakan solat sebaik sahaja masuk waktunya. Namanya cukup dikenali di kalangan para sahabat dan umat Islam.

 

Darjatnya begitu mulia sisi Allah. Suaranya yang penuh keikhlasan bergema di Kota Mekah dan Madinah tika mengalunkan azan. 


Ada riwayat yang menyatakan bahawa suara itu melepasi langit ketujuh sehingga ke Arasy. Para malaikat dikatakan sentiasa menanti alunan suara lelaki berkulit hitam itu berkumandang.

 

Bagaimanapun masih ada yang dengki dan menghasut Rasulullah S.A.W untuk menggantikan Bilal. Namun laungan itu tidak semerdu dan seikhlas Bilal sehingga malaikat bertanya tentang hal tersebut. 


Selain tugas rutin itu, dia turut menyertai tentera Muslimin dalam beberapa siri peperangan memerangi musuh Islam.

 


Kerinduan seorang kekasih

 

Justeru kewafatan Nabi merupakan kehilangan yang besar baginya dan memberi kesan yang mendalam kepada Bilal. Kasihnya dia kepada Baginda S.A.W tiada bandingan, sehingga dia tidak mampu untuk mengalunkan azan seperti sebelumnya. 


Tiap kali menyebut kalimah Muhammad di dalam azan, hatinya tiba-tiba sebak dan air mata terus mengalir laju.

 

Lalu dia tidak mahu lagi meneruskan tugas seperti biasa biarpun puas dipujuk oleh para sahabat sewaktu pemerintahan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq. 


Bilal meminta izin untuk mengikut tentera Muslimin berperang tetapi tidak dibenarkan dengan alasan khalifah masih memerlukannya di Madinah.

 

Abu Bakar tahu lelaki itu ingin syahid di medan juang kerana mahu berjumpa dengan insan yang dikasihinya (Nabi Muhammad S.A.W). Ketika zaman Khalifah Umar al-Khattab, permintaannya dipenuhi. 


Dia pergi bersama isteri yang juga seorang wanita yang kuat pegangannya terhadap Islam.

 


Tentera Islam berjaya menakluki Baitulmaqdis, tetapi impian Bilal untuk syahid tidak kesampaian. 


Ketika peristiwa itulah suara Bilal melaungkan azan dikatakan kembali bergema sehingga membuatkan semua para sahabat menangis mengenangkan Rasulullah S.A.W yang telah pergi menemui Ilahi.

 

Saidina Umar pernah berkata bahawa bukan Bilal sahaja yang sedih dengan kematian Baginda, beliau juga serupa. Bilal menjawab sambil membendung kesedihan yang tidak terhingga,

 

“Kesedihanku tidak sama dengan kesedihan tuan. Tuan dilahirkan sebagai insan yang merdeka, sedangkan aku pula sebagai hamba. Tuan tidak pernah merasai bagaimana gembiranya apabila seorang hamba dimerdekakan, namun Rasulullah S.A.W telah membebaskanku.

 

“Bukan setakat itu, malah Baginda nabi S.A.W juga memuliakanku di saat orang lain menghina. Kemudian aku dilantik sebagai tukang azan. Bahkan Baginda pernah berkata yang Baginda mendengar bunyi sepatuku di dalam syurga”

 


Bilal dan keluarga kemudian berpindah ke Damsyik, Syria. Dia meninggal dunia pada tahun 23 hijrah dan ada yang mengatakan tahun 20 hijrah bersamaan 641 Masihi dalam usia 63 tahun iaitu sama dengan usia kekasihnya, Rasulullah S.A.W ketika wafat...Wallahu a’lam.. 

Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :”)