Berikut adalah butiran lanjut mengenai peristiwa kewafatan Baginda Nabi Muhammad S.A.W :
·Sakit yang dialami: Baginda mengalami demam panas yang berlarutan sejak pulang dari Haji Wada'. Sebahagian riwayat menyatakan ia berkait dengan kesan racun yang dimakan ketika peristiwa Perang Khaibar.
·Peristiwa Bersiwak: Saat melihat abang Saidatina Aisyah membawa kayu sugi (siwak), baginda memberi isyarat ingin bersiwak. Saidatina Aisyah melunakkan siwak tersebut, menjadikannya amalan terakhir Baginda sebelum wafat.
·Ucapan Terakhir: Saidatina Aisyah mendengar Baginda membisikkan doa: "Ya Allah, ampunilah dosaku, rahmatilah aku dan pertemukanlah aku dengan ar-Rafiq al-A'la (sahabat yang paling tinggi - para malaikat dan Allah S.W.T)."
·Reaksi Para Sahabat: Saidina Umar Al-Khattab pada awalnya tidak percaya dan menafikan berita kewafatan itu. Namun, Saidina Abu Bakar al-Siddiq tampil mententeramkan keadaan dan membaca ayat suci al-Quran, mengesahkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah wafat..
Peristiwa kewafatan Rasulullah S.A.W yang sangat menyedihkan umat islam itu berlaku pada hari Isnin selepas tergelincirnya matahari. Mengikut sesetengah riwayat, ada yang mengatakan pada akhir waktu dhuha, tanggal 12 Rabi‘ul Awwal tahun ke-11 Hijrah dalam usia 63 tahun.
Malah, ada kalangan ulama' yang berpandangan bahawa Baginda S.A.W wafat pada usia 63 tahun empat hari, dengan menambahkan bilangan empat hari. Di dalam Sahih al-Bukhari, tanda awal akan saat kematian Rasulullah itu disebutkan oleh Baginda ketika menyampaikan khutbah.
Menurut riwayat Abu Said al-Khudri, Rasulullah S.A.W dikatakan sedang menyampaikan khutbah lalu Baginda Nabi menyebutkan: "Sesungguhnya Allah telah memberi pilihan kepada seorang hamba sama ada untuk memilih dunia atau memilih berada disisi-Nya. Lalu hamba itu memilih untuk berada di sisi Allah."
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Sebaik mendengar ucapan ini, Abu Bakar tiba-tiba menangis. Abu Said al-Khudri yang meriwayatkan hadis ini tertanya-tanya, apa yang menyebabkan Saidina Abu Bakar menangis. Setelah beberapa ketika barulah beliau faham bahawa perkataan 'hamba' yang disebutkan Rasulullah S.A.W itu adalah mengenai dirinya sendiri. Iaitu Rasulullah sudah memilih untuk berada di sisi Allah…
Ini adalah detik awal, tanda-tanda kedatangan saat kewafatan Rasulullah S.A.W. Sebahagian riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W mula menerima kesan racun Yahudi Khaibar yang dikatakan menjadi punca kewafatan Rasulullah.
Menurut riwayat Al-Bukhari, Rasulullah S.A.W mengadu kepada Aisyah bahawa kesan racun yang dikenakan kepada Baginda sudah mula memberikan kesakitan. Sabda Rasulullah S.A.W: "Wahai 'Aisyah, aku masih merasakan kesan dari makanan yang sudah aku makan pada saat di Khaibar. Inilah saatnya terputusnya nafasku disebabkan oleh racun itu."
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Untuk pengetahuan semua, setelah berlakunya kemenangan Khaibar, seorang perempuan Yahudi bernama Zainab binti al-Harith sudah memberikan daging kambing yang beracun kepada Rasulullah S.A.W. Rasulullah sempat meluahkan daging itu setelah dimaklumkan berkenaan racun tersebut.
Namun seorang sahabat bernama Bisyr bin al-Barra tidak mengetahui mengenai perkara itu dan meninggal dunia serta-merta selepas memakan daging itu. Rasulullah S.A.W memanggil perempuan Yahudi itu dan bertanya mengapa dia melakukan sedemikian. Perempuan Yahudi itu menjawab bahawa tujuan dia melakukan sedemikian adalah kerana ingin menguji Rasulullah.
Malah, pada hakikatnya, bukan racun itu sahaja menjadi punca kewafatan Rasulullah. Menurut al-Imam Ibn Abd al-Barr, Rasulullah S.A.W sudah mula merasa sakit di rumah isterinya Saidatina Maimunah. Setelah itu Rasulullah mula mengadu sakit dan demam. Ini terjadi di rumah Saidatina Aisyah.
Riwayat-riwayat ini menunjukkan bahawa tanda sakit Rasulullah berlaku dari pelbagai keadaan. Bukan sekadar kambing beracun itu sahaja.
Kesakitan sakaratul maut
Bukan sekadar demam dan pening kepala, Saidatina Aisyah turut menceritakan perihal sakaratul maut yang dihadapi Rasulullah S.A.W. Kata Aisyah: "Bahawa di hadapan Rasulullah (ketika saat kewafatan Baginda) terdapat sebuah bekas berisi air. Baginda memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam air dan mengusap-usapkannya ke wajah, dan berkata, "Laa ilaaha illallaah, sesungguhnya kematian itu diiringi sakarat."
Rasulullah S.A.W sendiri melalui peristiwa ini sehingga pengsan membayangkan betapa dahsyat saat sakaratul maut ini. Peristiwa kewafatan Rasulullah S.A.W diriwayatkan beberapa sarjana hadis. Ia menggambarkan beberapa peristiwa dan kesakitan dilalui Baginda sebagai manusia sebelum saat kewafatan Baginda.
Nabi Muhammad S.A.W tetap menyebut umatnya pada ketika Malaikat Maut mencabut nyawa.
Malaikat Maut meminta izin masuk di depan pintu. Lalu, Malaikat Jibril berkata, "Wahai Muhammad, itu adalah Malaikat Maut. Ia meminta izin masuk menemuimu. Ia tidak pernah meminta izin masuk kepada manusia sebelumnya. Dan, ia tidak akan meminta izin masuk kepada seorang manusia pun setelah ini."
Baginda nabi bersabda, "Izinkanlah ia masuk”
Maka, Malaikat Maut pun masuk dan duduk di hadapan Nabi Muhammad S.A.W, lalu berkata, "Sesungguhnya, Allah mengutusku untuk menemuimu dan memerintahkanku untuk mematuhimu. Jika engkau memerintahkanku mencabut nyawamu maka akan kucabut. Jika engkau tidak suka maka akan kutinggalkan."
Beliau bertanya, "Engkau akan melakukannya, wahai Malaikat Maut?"
Malaikat Maut menjawab, "Ya, itulah yang diperintahkan kepadaku."
Jibril kemudian mengatakan kepada Nabi Muhammad S.A.W, "Sesungguhnya, Allah telah rindu bertemu denganmu."
Rasulullah S.A.W pun bersabda, "Segera lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu."
Sementara itu, dalam riwayat yang lainnya, kisah ini dapat diketahui saat apabila ada yang bertamu ke kediaman Rasulullah S.A.W tetapi Fatimah, puteri nabi, tidak mengetahui siapa tetamu tersebut..
"Aku mohon maaf, tapi aku tidak bisa membiarkanmu masuk kerana ayahku sedang sakit," kata Fatimah sambil menutup pintu.
Fatimah segera mendekati ayahnya, dan Rasulullah S.A.W bertanya, "Wahai anakku, siapakah tetamu itu?"
Fatimah menjawab dengan lembut, "Aku tidak tahu, Ayah. Tapi sepertinya ini pertama kalinya aku bertemu dengannya."
Rasulullah S.A.W menatap puteri tercintanya dengan tatapan yang menggetarkan. Baginda berkata, "Wahai anakku, ketahuilah bahawa tetamu yang kamu lihat adalah yang mengakhiri kenikmatan sesaat. Dia yang memisahkan pertemuan di dunia. Dia adalah Malaikat Maut." Mendengar itu, Fatimah tidak bisa menahan tangisnya.
Kemudian, Malaikat Maut mendekati Rasulullah S.A.W. Kerana Rasulullah S.A.W menanyakan keberadaan Malaikat Jibril, Malaikat Maut memanggil Malaikat Jibril untuk menemani Rasulullah S.A.W.
Rasulullah S.A.W bertanya, "Wahai Jibril, katakan padaku apa hakku di hadapan Allah Subhanahu Wa Ta'ala?"
Malaikat Jibril menjawab, "Wahai Rasulullah, pintu-pintu langit akan terbuka dan para malaikat sudah menantikanmu di sana. Semua pintu syurga telah terbuka lebar menantikan kedatanganmu."
Meskipun mendengar khabar gembira dari Malaikat Jibril, Rasulullah S.A.W masih terlihat tetap bersedih.
Melihat kesedihan Rasulullah S.A.W, Malaikat Jibril bertanya, "Mengapa engkau masih sedih seperti itu? Apakah engkau tidak bahagia mendengar khabar ini, ya Rasulullah?"
Rasulullah S.A.W kembali bertanya, "Beritahukanlah kepadaku, bagaimana nasib umatku kelak?"
Malaikat Jibril menjawab, "Jangan khawatirkan nasib umatmu, ya Rasulullah. Aku mendengar Allah S.W.T berfirman kepadaku: 'Aku telah mengharamkan syurga bagi selain umat Muhammad, hanya umatmu yang berhak memasukinya terlebih dahulu'"
Rasulullah S.A.W merasa sedikit tenang. Tak terasa, saat-saat kepergian sang rasul semakin dekat. Malaikat Izrail terlihat sedang menjalankan tugasnya. Perlahan-lahan, roh Nabi Muhammad S.A.W diambil. Tubuh Rasulullah S.A.W basah karana keringat.
Urat-uratnya tampak tegang. Sambil merasakan rasa sakit, Rasulullah S.A.W berkata, "Wahai Jibril, betapa sakitnya sakaratul maut ini."
Melihat Rasulullah S.A.W dalam kesakitan, Malaikat Jibril hanya bisa memalingkan wajahnya. Ia tidak mampu melihat Rasulullah S.A.W dalam penderitaan seperti itu.
"Wahai Jibril, apakah engkau merasa jijik melihatku sehingga kau memalingkan wajahmu?" tanya Rasulullah S.A.W.
Malaikat Jibril menjawab, "Siapakah yang akan tergamak melihat kekasih Allah menghadapi ajalnya?"
Bahkan ketika merasakan dahsyatnya rasa sakit sakaratul maut, Rasulullah masih sempat berdoa untuk keselamatan umatnya. "Ya Allah, dahsyat sekali maut ini. Timpakan saja semua seksa maut ini kepadaku. Jangan (timpakan) kepada umatku," doa Nabi Muhammad S.A.W.
Tubuh Rasulullah S.A.W semakin dingin. Bibirnya bergetar seolah ingin mengucapkan sesuatu. Saidina Ali bin Abi Thalib mendekati beliau, dan Rasulullah S.A.W berbisik, "Jagalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antara kalian."
Tangisan terdengar di sekeliling dan Fatimah menutup wajahnya dengan tangannya. Saidina Ali bin Abi Thalib mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah S.A.W, dan baginda nabi berbisik, "Ummatii, ummatii, ummatii... (Umatku, umatku, umatku...)."
Rasulullah S.A.W pun wafat pada hari Isnin, 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijriah. Duka itu menyelimuti umat Islam di Madinah hingga kesedihan mendalam bagi para sahabat seperti Umar Al- Khattab dan Abu Bakar Al-Siddiq serta semua para sahabat yang lain.
Reaksi Para Sahabat:
Abu Bakar al-Siddiq R.A yang mendapat berita kewafatan Rasulullah S.A.W, dengan segera bergegas datang. Setibanya di masjid, beliau tidak mempedulikan sikap ‘Umar Al-Khattab R.A yang mengancam dengan keras dan menafikan kewafatan Rasulullah S.A.W.
Lantas, Abu Bakar R.A masuk ke dalam rumah Rasulullah SAW dan terus menarik selimut yang menutupi muka dan kepala Baginda. Beliau menatap dengan penuh kesedihan, lalu mengucup wajah yang mulia itu.
Lantas, Abu Bakar R.A berkata:
بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي، أَمَّا الْمَوْتَةُ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ عَلَيْكَ فَقَدْ ذُقْتهَا، ثُمَّ لَنْ تُصِيبَكَ بَعْدَهَا مَوْتَةٌ أَبَدًا.
“Demi sesungguhnya aku kasihkanmu lebih daripada kasihku kepada ayah dan ibuku. Inilah kematian pertama yang Allah S.W.T wajibkan kepadamu yang kamu rasai. Kemudian selepas ini, kamu tidak akan merasai mati lagi untuk selama-lamanya.”
Kain selimut diangkat semula untuk menutupi wajah kekasih Allah S.W.T yang mulia itu. Kemudian, beliau terus keluar dan menuju ke masjid.
‘Umar R.A terus mengucapkan dengan tegas bahawa Rasulullah S.A.W tidak wafat dan akan bertindak terhadap sesiapa yang mengatakan bahawa Baginda telah wafat.
Maka, Abu Bakar R.A berkata:
عَلَى رِسْلِكَ يَا عُمَرُ، أَنْصِتْ!
“Berhenti! Wahai ‘Umar, diamlah kamu!”
Umar R.A enggan mematuhi perintah tersebut. Abu Bakar R.A terus berpaling kepada orang ramai dan menyampaikan ucapannya yang masyhur:
أَيُّهَا النَّاسُ، إنَّهُ مَنْ كَانَ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لَا يَمُوتُ. قَالَ: ثُمَّ تَلَا هَذِهِ الْآيَةَ:
“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya sesiapa yang menyembah Muhammad, sebenarnya Muhammad sudah mati; dan sesiapa yang menyembah Allah, sebenarnya Allah itu Maha Hidup tidak mati sekali-kali (seterusnya menyebutkan firman Allah S.W.T):
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ١٤٤
“Tiadalah Muhammad itu melainkannya seorang Rasul. Sesungguhnya telah berlalu rasul-rasul sebelumnya. Adakah sekiranya Muhammad mati atau dirinya dibunuh, (patutkah) kalian berpaling tadah dengan menyelewengkan agamanya? Dan sesiapa yang berpaling tadah dengan menyelewengkan agamanya, maka dia tidak mendatangkan apa-apa mudarat terhadap Allah sedikit pun. Dan (sebaliknya) Allah akan memberikan balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan ni‘mat Islam yang tiada bandingannya itu).” (Surah Ali ‘Imran: 144) [Ibn Hisham, Sirah Nabawiyyah, jld. 2, ms. 656]
Setelah mendengar ucapan itu, mereka semua tercengang dan Umar R.A jatuh terduduk kesedihan kerana kakinya sudah tidak dapat menanggung lagi jasadnya. Seolah-olah ayat yang dibacakan oleh Abu Bakar R.A itu baharu sahaja diwahyukan.
Demikianlah kecintaan para sahabat terhadap Rasulullah S.A.W yang tiada tolok bandingnya. Begitu juga kecintaan Rasulullah S.A.W terhadap orang-orang yang beriman. Namun, Baginda tetap memilih kepada yang lebih dicintai, iaitu bertemu dengan Allah S.W.T di alam akhirat.
Rasulullah S.A.W wafat pada 12 Rabiul Awal tahun ke-11 Hijrah (8 Jun 632 Masihi) di pangkuan isteri tercinta, Saidatina Aisyah R.A di Madinah. Detik-detik akhir baginda diwarnai dengan peristiwa bersiwak, dan lafaz terakhir baginda adalah kalimah tauhid, sebelum diangkat ke rahmatullah pada usia 63 tahun.
Kisah Sedih Bilal bin Rabah selepas kewafatan Rasulullah S.A.W.
Setelah Rasulullah wafat , semua sahabat Rasulullah betul betul terasa kehilangan dan sangat bersedih. Salah seorang sahabat Rasulullah yang berasa demikian ialah Bilal Bin Rabah R.A. Selepas kewafatan Baginda, Bilal terus berhijrah ke Syam (sekarang dikenali sebagai Syria).
Ini gara-gara kerana perasaan beliau yang sangat sedih . Pernah ada suatu hari tu, waktu Saidina Umar Al-Khatab jadi pemerintah, bertanya kepada para sahabat. "Di mana Bilal?" dan sahabat menjawab, "Ya Amirul mukminin, Bilal ada di Syam"
Pada suatu hari, Bilal telah bermimpi Rasulullah S.A.W yang seolah-olah memberi petanda untuk Bilal menziarahi Baginda di Madinah. Kemudian, Bilal pun berangkat ke Madinah semula. Sampai sahaja di Madinah, Bilal berjumpa para sahabat. Saidina Abu Bakar Al-Siddiq dengan Saidina Umar Al-Khattab ni pun menyuruh Bilal melaungkan azan memandangkan bumi Madinah sudah lama tidak dihujani suara azan Bilal.
Tetapi, apakan daya, Bilal menolak permintaan mereka . Para sahabat mengerti akan perasaan Bilal yang tidak mampu melaungkan azan sepertimana yang pernah beliau laungkan azan untuk Rasulullah S.A.W pada waktu dahulu. Setiap sudut, setiap ketika, kenangan bersama Rasulullah S.A.W sentiasa bermain di fikiran Bilal.
(Ada satu sumber menyatakan, ketika zaman Rasulullah S.A.W masih ada, sebelum Bilal naik ke menara masjid untuk laungkan azan, Bilal tak pernah lupa untuk mengetuk sebuah bilik kecil di bahagian bawah tangga itu dimana itu ialah bilik Rasulullah. Sebab itulah, selepas wafatnya Baginda, Bilal berasa tersangatlah sayu untuk melaungkan azan di Madinah kerana sebelum ke atas menara tersebut, pasti akan melalui bilik kecil tersebut.)
Kemudian setelah permintaan sahabat ditolak, datanglah dua orang cucu kesayangan Rasulullah SAW, iaitu Hasan dan Husin. Mereka berlari lari anak kepada Bilal dan betapa Bilal berasa senang hati dan sejuknya pandangan sehingga Bilal memeluk permata Rasulullah tu erat erat. Diciumnya mereka seperti mana Bilal mencium Rasulullah S.A.W ketika hidup.
Tiba-tiba Hassan dan Husin meminta Bilal untuk melaungkan azan sepertimana beliau pernah laungkan sewaktu Rasulullah S.A.W hidup dahulu. Oleh sebabnya kasihnya Bilal kepada Baginda, dan mengenangkan bahawa Hasan dan Husin itu keturunan Baginda, Bilal bersetuju untuk melaungkan azan.
Setelah sekian lama , kini Bilal bin Rabah membuat kemunculan dengan melaungkan azan buat pertama kalinya setelah kewafatan Rasulullah S.A.W di Madinah. Apabila azan dilaungkan, seluruh pelusuk penduduk Madinah terkejut, semangat dan terus keluar daripada rumah masing masing dan menyangka bahawa Rasulullah S.A.W telah hidup kembali kerana kerinduan mereka kepada baginda apabila terdengar azan yang dilaungkan Bilal, memang mereka ingat yang Baginda seolah olah hidup kembali.
Bilal bin Rabah pun memulakan azan dengan menyebut الله أكبر الله أكبر , seluruh penduduk terdiam . Kali kedua Bilal sebut الله أكبر الله أكبر , bercucuran air mata para sahabat. Mereka merasakan seperti Rasulullah S.A.W ada bersama mereka ketika tu . Bilal kemudiannya menyebut أشهد أن لا إ له إلا الله , dan apabila Bilal menyebut أشهد أن محمدا رسول الله ,
Beliau terus terduduk dan menangis teresak esak . Para sahabat datang kepada Bilal ,bertanyakan kenapa dangan beliau . Beliau berkata "aku amat merindui Rasulullah S.A.W .Dan sewaktu aku menyebut أشهد أن محمدا رسول الله aku seperti ternampak nampak Rasulullah S.A.W sedang datang untuk solat bersama sama kita" .
Setelah penduduk mengetahui perkara sebenar (dan jangkaan mereka mengenai Rasulullah kembali itu tidak betul) mereka terus menangis kerana perasan RINDU YANG TERAMAT SANGAT terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.
Laungan azan Bilal bin Rabah yang begitu indah mengembalikan setiap detik dan saat bersama Rasulullah S.A.W ketika dahulu. Dan diriwayatkan juga, tidak pernah ada kedengaran suara tangisan yang kuat di Madinah melainkan pada hari tersebut.
Adakah kita semua mempunyai perasaan sedemikian seperti Bilal Bin Rabah R.A terhadap Rasulullah S.A.W? …Sekalipun tidak sempat hidup mahupun bersua dengan Baginda, namun sebagai umatnya, menjadi tuntutan ke atas kita untuk sentiasa mengekar rasa kasih dan sayang itu dalam diri...
Marilah kita sama-sama menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh ikutan yang utama dalam kehidupan seharian. Ayuhlah sama-sama kita tanamkan sifat sentiasa cinta kepada Nabi S.A.W.
Semoga kita menjadi umat Islam yang sentiasa bersungguh-sungguh untuk mencontohi keperibadian Nabi kita dalam setiap aspek kehidupan... Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :”)









Rasulullah S.A.W. dikurniakan oleh Allah S.W.T sebagai seorang insan yang memiliki cinta agung yang tulus dan sejati terhadap umatnya. Baginda S.A.W mengungkapkan cintanya dengan ungkapan-ungkapan cinta yang paling murni dan sejati.
ReplyDeleteTanda cinta Nabi S.A.W kepada umatnya dapat dihayati dari sikap prihatinnya ketika mana, umat manusia berada di padang Mahsyar sedang bersedia untuk dihakimi oleh Allah S.W.T ke atas setiap amalannya.
Maka ketika itulah Baginda nabi S.A.W merayu kepada Allah S.W.T supaya umatnya diringankan beban dan dilepaskan dari seksa api neraka. Semoga kita termasuk dalam kalangan yang diberi syafaat olehnya..
Allahumma solli 'ala saidina Muhammad :')