Kisah Nabi
Hud a.s
"Aad"
adalah nama bapa suatu suku yang hidup di jazirah Arab di suatu tempat bernama
"Al-Ahqaf" terletak di utara Hadramaut antara Yaman dan Umman dan
termasuk suku yang tertua sesudah kaum Nabi Nuh a.s serta terkenal dengan
kekuatan jasmani dalam bentuk tubuh-tubuh yang besar dan sasa. Mereka dikurniakan
oleh Allah S.W.T. tanah yang subur dengan sumber-sumber airnya yang mengalir
dari segala penjuru sehinggakan memudahkan mereka bercucuk tanam untuk bahan
makanan mereka. Di samping itu, mereka juga memperindah tempat tinggal mereka
dengan kebun-kebun bunga yang indah-indah. Berkat kurniaan Allah S.W.T, kehidupan
mereka menjadi makmur, sejahtera dan bahagia serta dalam waktu yang singkat sahaja
mereka berkembang biak dan menjadi suku yang terbesar diantara suku-suku yang
hidup di sekelilingnya.
Sebagaimana
dengan kaum Nabi Nuh a.s kaum Nabi Hud a.s iaitu ‘suku Aad’ ini adalah
penghidupan rohaninya tidak mengenal Allah Yang Maha Kuasa Pencipta alam
semesta. Mereka membuat patung-patung yang diberi nama " Shamud" dan
" Alhattar" dan itu yang disembah sebagai tuhan mereka yang menurut
kepercayaan mereka dapat memberi kebahagiaan, kebaikan dan keuntungan serta
dapat menolak kejahatan, kerugian dan segala musibah. Ajaran dan agama Nabi
Idris dan Nabi Nuh sudah tidak berbekas dalam hati, jiwa serta cara hidup
mereka sehari-hari. Kenikmatan hidup yang mereka rasai telah menenggelamkan
mereka ke lembah syirik. Berkat tanah yang subur dan menghasilkan nikmat yang
melimpah ruah menurut anggapan mereka adalah kurniaan dan pemberian kedua
berhala mereka yang mereka sembah. Oleh sebab itu, mereka tidak putus-putus sujud kepada kedua
berhala itu dan mensyukurinya sambil memohon perlindungannya dari segala bahaya
dan musibah berupa penyakit atau kekeringan.
Sebagai
akibat dan buah dari aqidah yang sesat itu, pergaulan hidup mereka menjadi
dikuasai oleh tuntutan dan pimpinan Iblis laknatullah, di mana nilai-nilai
moral dan akhlak tidak menjadi dasar penimbangan atau kelakuan dan
tindak-tanduk seseorang tetapi kebendaan dan kekuatan lahiriahlah yang menonjol
sehingga timbul kerusuhan dan tindakan sewenang-wenang di dalam masyarakat di
mana yang kuat menindas yang lemah, yang besar memperkosa yang kecil dan yang
berkuasa memeras yang di bawahnya. Sifat-sifat sombong, congkak, iri-hati,
dengki, hasut dan benci-membenci yang didorong oleh hawa nafsu bermaharajalela
dan menguasai penghidupan mereka sehingga tidak memberi tempat kepada
sifat-sifat belas kasihan, sayang menyayang, jujur, amanat dan rendah hati.
Demikianlah gambaran masyarakat suku Aad tatkala Allah S.W.T mengutuskan Nabi
Hud a.s sebagai nabi dan rasul kepada mereka.
Sudah
menjadi sunnah Allah s.w.t. sejak diturunkannya Nabi Adam a.s ke bumi bahawa
dari masa ke semasa jika hamba-hamba-Nya sudah berada dalam kehidupan yang
sesat dan sudah jauh menyimpang dari ajaran-ajaran agama yang dibawa oleh
Nabi-nabi-Nya diutuslah seorang Nabi atau Rasul yang bertugas untuk menyegarkan
kembali ajaran-ajaran nabi-nabi yang sebelumnya mengembalikan masyarakat yang
sudah tersesat ke jalan lurus dan benar dan mencuci bersih jiwa manusia dari
segala tahayul dan syirik menggantinya dan mengisinya dengan iman tauhid dan
aqidah yang sesuai dengan fitrah.
Demikianlah,
maka kepada suku Aad yang telah dimabukkan oleh kesejahteraan hidup dan
kenikmatan duniawi sehingga tidak mengenal Tuhannya yang mengurniakan itu
semua. Di utuskan kepada mereka Nabi Hud a.s, seorang daripada suku mereka
sendiri dari keluarga yang terpandang dan berpengaruh terkenal sejak kecilnya
dengan kelakuan yang baik budi pekerti yang luhur dan sangat bijaksana dalam
pergaulan dengan kawan-kawannya. Nabi Hud a.s memulai dakwahnya dengan menarik
perhatian kaumnya suku Aad kepada tanda-tanda wujudnya Allah S.W.T yang berupa
alam sekeliling mereka dan bahawa Allah S.W.T lah yang menciptakan mereka semua
dan mengurniakan mereka dengan segala kenikmatan hidup yang berupa tanah yang
subur, air yang mengalir serta tumbuh-tumbuhan yang tegak dan kuat. Dialah yang
seharusnya mereka sembah dan bukan patung-patung yang mereka perbuat sendiri.
Mereka sebagai manusia adalah makhluk Tuhan paling mulia yang tidak sepatutnya
merendahkan diri sujud menyembah batu-batu dan sewaktunya yang dapat mereka
hancurkan sendiri dan memusnahkannya dari pandangan.
Di
terangkan oleh Nabi Hud a.s bahawa dia adalah pesuruh Allah S.W.T yang diberi
tugas untuk membawa mereka ke jalan yang benar, beriman kepada Allah S.W.T yang
menciptakan mereka, menghidupkan dan mematikan mereka serta memberi rezeki atau
mencabutnya daripada mereka. Nabi Hud a.s tidak mengharapkan upah dan menuntut
balas jasa atas usahanya memimpin dan menuntut mereka ke jalan yang benar. Ia
hanya menjalankan perintah Allah S.W.T dan memperingatkan mereka bahawa jika
mereka tetap menutup telinga dan mata mereka menghadapi ajakan dan dakwahnya,
maka mereka akan ditimpa azab dan dibinasakan oleh Allah S.W.T. sebagaimana
terjadinya atas kaum Nabi Nuh a.s yang mati binasa tenggelam dalam air bah/laut
akibat kecongkakan dan kesombongan mereka menolak ajaran dan dakwah Nabi Nuh a.s
seraya bertahan pada pendirian dan kepercayaan mereka kepada berhala dan
patung-patung yang mereka sembah dan puja itu.
Bagi
kaum Aad, seruan dan dakwah Nabi Hud a.s itu merupakan barang yang tidak pernah
mereka dengar ataupun menduga. Mereka melihat bahawa ajaran yang dibawa oleh
Nabi Hud a.s itu akan mengubah sama sekali cara hidup mereka dan membongkar
peraturan dan adat istiadat yang telah mereka kenal dan warisi dari nenek
moyang mereka. Mereka tercengang dan merasa hairan bahawa seorang dari suku
mereka sendiri telah berani berusaha merombak tatacara hidup mereka dan
menggantikan agama dan kepercayaan mereka dengan sesuatu yang baru yang mereka
tidak kenal dan tidak dapat dimengertikan dan diterima oleh akal fikiran
mereka. Dengan serta-merta ditolaklah oleh mereka dakwah Nabi Hud a.s itu
dengan berbagai alasan dan tuduhan kosong terhadap diri beliau serta
ejekan-ejekan dan hinaan yang diterimanya dengan kepala dingin dan penuh
kesabaran.
Berkatalah
kaum Aad kepada Nabi Hud: "Wahai Hud! Ajaran dan agama apakah yang engkau
hendak anjurkan kepada kami? Engkau ingin agar kami meninggalkan persembahan
kami kepada tuhan-tuhan kami yang berkuasa ini dan menyembah tuhan mu yang
tidak dapat kami jangkau dengan pancaindera kami dan tuhan yang menurut kata
kamu tidak bersekutu. Cara persembahan yang kami lakukan ini ialah yang telah
kami warisi dari nenek moyang kami dan tidak sesekali kami tidak akan
meninggalkannya bahkan sebaliknya engkaulah yang seharusnya kembali kepada
aturan nenek moyangmu dan jangan mencederai kepercayaan dan agama mereka dengan
memebawa suatu agama baru yang tidak kenal oleh mereka dan tentu tidak akan
direstuinya."
Wahai
kaumku! jawab Nabi Hud a.s, "Sesungguhnya Tuhan yang aku serukan ini
kepada kamu untuk menyembah-Nya walaupun kamu tidak dapat menjangkau-Nya dengan
pancainderamu namun kamu dapat melihat dan merasakan wujudnya dalam diri kamu
sendiri sebagai ciptaanNya dan dalam alam semesta yang mengelilingimu beberapa
langit dengan matahari bulan dan bintang-bintangnya bumi dengan gunung-ganangnya
sungai tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang yang kesemuanya dapat bermanfaat
bagi kamu sebagai manusia. Dan menjadilah kamu dapat menikmati kehidupan yang
sejahtera dan bahagia. Tuhan itulah yang harus kamu sembah dan menundukkan
kepala kamu kepada-Nya, Tuhan Yang Maha Esa tiada bersekutu tidak beranak dan
diperanakan yang walaupun kamu tidak dapat menjangkau-Nya dengan pancainderamu,
Dia dekat daripada kamu mengetahui segala gerak-geri dan tingkah lakumu,
mengetahui isi hati mu, denyut jantungmu dan jalan fikiranmu. Tuhan itulah yang
harus disembah oleh manusia dengan kepercayaan penuh kepada keesaan-Nya dan
kekuasaan-Nya dan bukan patung-patung yang kamu perbuat pahat dan ukir dengan
tangan kamu sendiri kemudian kamu sembah sebagai tuhan padahal ia suatu barang
yang tidak dapat berbuat sesuatu yang menguntungkan atau merugikan kamu.
Alangkah bodohnya dan dangkalnya fikiranmu jika kamu tetap mempertahankan
agamamu yang sesat itu dan menolak ajaran dan agama yang telah diwahyukan
kepadaku oleh Allah Tuhan Yang Maha Esa itu."
Wahai
Hud! jawab kaumnya, "Gerangan apakah yang menjadikan engkau berpandangan
dan berfikiran lain daripada yang sudah menjadi pegangan hidup kami sejak
dahulu kala dan menjadikan engkau meninggalkan agama nenek moyangmu sendiri
bahkan sehingga engkau menghina dan merendahkan martabat tuhan-tuhan kami dan
memperbodohkan kami dan menganggap kami berakal sempit dan berfikiran dangkal?
Engkau mengaku bahawa engkau terpilih menjadi rasul pesuruh oleh Tuhanmu untuk
membawa agama dan kepercayaan baru kepada kami dan mengajak kami keluar dari
jalan yang sesat menurut pengakuanmu ke jalan yang benar dan lurus. Kami merasa
hairan dan tidak dapat menerima oleh akal kami sendiri bahawa engkau telah
dipilih menjadi pesuruh Tuhan. Apakah kelebihan kamu di atas seseorang daripada
kami, engkau tidak lebih dan tidak kurang adalah seorang manusia biasa seperti
kami. Hidup, makan minum dan tidur tiada bezanya dengan kami, mengapa engkau
yang dipilih oleh Tuhanmu? Sungguh engkau menurut anggapan kami seorang
pendusta besar atau mungkin engkau berfikiran tidak sihat terkena kutukan
tuhan-tuhan kami yang selalu engkau ejek hina dan cemuhkan."
"Wahai
kaumku" jawab Nabi Hud, "Aku bukanlah seorang pendusta dan fikiran ku
tetap waras dan sihat, tidak kurang sesuatu pun dan ketahuilah bahawa
patung-patungmu yang kamu pertuhankan itu tidak dapat mendatangkan sesuatu
gangguan atau penyakit bagi badanku atau fikiranku. Kamu kenal aku, sejak lama
aku hidup di tengah-tengah kamu bahawa aku tidak pernah berdusta dan bercakap
bohong dan sepanjang pergaulanku dengan kamu dan tidak pernah terlihat pada
diriku tanda-tanda ketidak wajaran perlakuanku atau tanda-tanda yang meragukan
kewarasan fikiranku dan kesempurnaan akalku. Aku adalah benar pesuruh Allah S.W.T.
yang diberi amanat untuk menyampaikan wahyu-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang
sudah tersesat kemasukan pengaruh ajaran Iblis laknatullah dan sudah jauh
menyimpang dari jalan yang benar yang diajar oleh nabi-nabi yang terdahulu
kerana Allah S.W.T. tidak akan membiarkan hamba-hamba-Nya terlalu lama
terlantar dalam kesesatan dan hidup dalam kegelapan tanpa diutuskan seorang
rasul yang menuntun mereka ke jalan yang benar dan penghidupan yang
diredhai-Nya. Maka percayalah kamu kepada ku, gunakanlah akal fikiran kamu,
berimanlah dan bersujudlah kepada Allah S.W.T., Tuhan seru sekalian alam, Tuhan
yang menciptakan kamu menciptakan langit dan bumi menurunkan hujan bagi
menyuburkan tanah ladangmu, menumbuhkan tumbuhan bagi meneruskan hidupmu.
Bersembahlah kepada-Nya dan mohonlah ampun atas segala perbuatan salah dan
tindakan sesatmu, agar Dia menambah rezekimu dan kemakmuran hidupmu dan
terhindarlah kamu dari azab dunia sebagaimana yang telah dialami oleh kaum Nuh
dan kelak azab di akhirat. Ketahuilah bahawa kamu akan dibangkitkan kembali
kelak dari kubur kamu dan dimintai bertanggungjawab atas segala perbuatan kamu
didunia ini dan diberi ganjaran sesuai dengan amalanmu yang baik dan soleh
mendapat ganjaran baik dan yang hina dan buruk akan diganjarkan dengan api
neraka. Aku hanya menyampaikannya risalah Allah S.W.T kepada kamu dan dengan
ini telah memperingati kamu akan akibat yang akan menimpa kepada dirimu jika
kamu tetap mengingkari kebenaran dakwahku."
Kaum
Aad menjawab: "Kami bertambah yakin dan tidak ragu lagi bahawa engkau
telah mendapat kutukan tuhan-tuhan kami sehingga menyebabkan fikiran kamu kacau
dan akalmu berubah menjadi tidak siuman. Engkau telah mengucapkan kata-kata
yang tidak masuk akal bahawa jika kami mengikuti agamamu, akan bertambah rezeki
dan kemakmuran hidup kami dan bahawa kami akan dibangkitkan kembali dari kubur
kami dan menerima segala ganjaran atas segala amalan kami.Adakah mungkin kami
akan dibangkitkan kembali dari kubur kami setelah kami mati dan menjadi tulang.
Dan apakah azab dan seksaan yang engkau selalu menakutkan kami dan
mengancamkannya kepada kami? Semua ini kami anggap kosong dan ancaman kosong
belaka. Ketahuilah bahawa kami tidak akan menyerah kepadamu dan mengikuti
ajaranmu kerana bayangan azab dan seksa yang engkau bayangkannya kepada kami
bahkan kami menentang kepadamu datangkanlah apa yang engkau janjikan dan
ancaman itu jika engkau betul-betul benar dalam kata-katamu dan bukan seorang
pendusta."
"Baiklah"
jawab Nabi Hud," Jika kamu meragukan kebenaran kata-kataku dan tetap berkeras
kepala tidak menghiraukan dakwahku dan meninggalkan persembahanmu kepada
berhala-berhala itu maka tunggulah saat tibanya pembalasan Tuhan di mana kamu
tidak akan dapat melepaskan diri dari bencananya. Allah S.W.T menjadi saksiku
bahawa aku telah menyampaikan risalah-Nya dengan sepenuh tenagaku kepada mu dan
akan tetap berusaha sepanjang hayat kandung badanku memberi penerangan dan
tuntunan kepada jalan yang baik yang telah digariskan oleh Allah S.W.T bagi
hamba-hamba-Nya."
Pembalasan
Allah S.W.T terhadap kaum Aad yang kafir dan tetap membangkang itu diturunkan
dalam dua peringkat. Tahap pertama berupa kekeringan yang melanda ladang-ladang
dan kebun-kebun mereka, sehingga menimbulkan kecemasan dan kegelisahan,
kalau-kalau mereka tidak memperolehi hasil dari ladang-ladang dan
kebun-kebunnya seperti biasanya. Dalam keadaan demikian, Nabi Hud a.s masih
berusaha meyakinkan mereka bahawa kekeringan itu adalah suatu permulaan seksaan
dari Allah S.W.T yang dijanjikan dan bahawa Allah S.W.T masih lagi memberi
kesempatan kepada mereka untuk sedar akan kesesatan dan kekafiran mereka dan
kembali beriman kepada Allah S.W.T dengan meninggalkan persembahan mereka yang
bathil kemudian bertaubat dan memohon ampun kepada Allah S.W.T agar segera
hujan turun kembali dengan lebatnya dan terhindar mereka dari bahaya kelaparan
yang mengancam. Akan tetapi mereka tetap belum mahu percaya dan menganggap
janji Nabi Hud a.s itu adalah janji kosong belaka. Mereka bahkan pergi
menghadap berhala-berhala mereka memohon perlindungan dari musibah yang mereka
hadapi.
Tentangan
mereka terhadap janji Allah S.W.T yang diwahyukan kepada Nabi Hud a.s segera
mendapat jawapan dengan datangnya pembalasan tahap kedua yang dimulai dengan
terlihatnya gumpalan awan dan mega hitam yang tebal di atas mereka yang
disambutnya dengan sorak-sorai gembira, kerana dikiranya bahawa hujan akan
segera turun membasahi ladang-ladang dan menyirami kebun-kebun mereka yang
sedang mengalami kekeringan. Melihat sikap kaum Aad yang sedang bersuka ria itu
berkatalah Nabi Hud a.s, "Mega hitam itu bukanlah mega hitam dan awam
rahmat bagi kamu tetapi mega yang akan membawa kehancuran kamu sebagai
pembalasan Allah S.W.T yang telah ku janjikan dan kamu ternanti-nanti untuk
membuktikan kebenaran kata-kataku yang selalu kamu sangkal dan kamu
dusta."
Sejurus
kemudian menjadi kenyataanlah apa yang dikatakan oleh Nabi Hud a.s itu bahawa
bukan hujan yang turun dari awan yang tebal itu tetapi angin taufan yang
dahsyat dan kencang disertai bunyi gemuruh yang mencemaskan yang telah
merosakkan bangunan-bangunan rumah dari dasarnya membawa berterbangan semua
perabot-perabot dan milik harta benda dan melempar jauh binatang-binatang
ternak. Keadaan kaum Aad menjadi panik, mereka berlari kesana sini mencari
perlindungan. Suami tidak tahu di mana isterinya berada dan ibu juga kehilangan
anaknya sedang rumah-rumah menjadi sama rata dengan tanah. Bencana angin taufan
itu berlangsung selama lapan hari tujuh malam sehingga sempat menyapu bersih
kaum Aad yang congkak itu dan menamatkan riwayatnya dalam keadaan yang
menyedihkan itu untuk menjadi pengajaran dan ibrah bagi umat-umat yang akan
datang.
Adapun
Nabi Hud a.s dan para sahabatnya yang beriman telah mendapat perlindungan Allah
S.W.T dari bencana yang menimpa kaumnya yang kacau bilau dan tenang seraya
melihat keadaan kaumnya yang kacau bilau mendengar gemuruhnya angin dan bunyi
pohon-pohon dan bangunan-bangunan yang berjatuhan serta teriakan dan tangisan
orang yang meminta tolong dan mohon perlindungan. Setelah keadaan cuaca kembali
tenang dan tanah "Al-Ahqaf " sudah menjadi sunyi senyap dari kaum Aad
pergilah Nabi Hud meninggalkan tempatnya berhijrah ke Hadramaut, di mana ia
tinggal menghabiskan sisa hidupnya sampai ia wafat dan dimakamkan di sana
dimana hingga sekarang makamnya yang terletak di atas sebuah bukit di suatu
tempat lebih kurang 50 km dari kota Siwun dikunjungi para penziarah yang datang
beramai-ramai dari sekitar daerah itu, terutamanya dan bulan Syaaban pada
setiap tahun.
Selesailah
kisah kaum Nabi Nuh dalam sejarah. Majoriti di antara mereka yang mendustakan
ajarannya telah dihancurkan oleh taufan. Sedangkan minoriti antara mereka dapat
kembali memakmurkan bumi sebagai wujud dari sunatullah dan janji-Nya: Sedangkan
janji Allah SWT kepada Nabi Nuh a.s adalah:
"Dan
kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang takwa." (QS. al-Qashash:
83)
Dan
janji Allah SWT juga kepada Nabi Nuh adalah:
"Difirmankan:
'Hai Nuh, turunlah dengan selamat dan penuh keberkatan dari Kami atasmu dan
atas umat-umat (yang beriman) dari orang-orang yang bersamamu. Dan ada pula
umat-umat yang Kami beri kesenangan pada mereka (dalam hehidupan dunia),
kemudian mereka akan ditimpa azab yang pedih dari Kami. " (QS. Hud: 48)
Berputarlah
roda kehidupan dan datanglah janji Allah SWT. Setelah datangnya taufan, tiada
yang tersisa dari manusia di muka bumi kecuali orang-orang yang beriman. Tiada
satu hati yang kafir pun berada di muka bumi dan syaitan mulai mengeluhkan
pengangguran.
Berlalulah
tahun demi tahun, lalu matilah para orang tua dan anak-anak, dan datanglah anak
dari anak-anak. Manusia lupa akan wasiat Nabi Nuh a.s dan mereka kembali
menyembah berhala. Manusia menyimpang dari penyembahan yang semata-mata untuk
Allah SWT. Akhirnya, tipuan kuno berulang kembali. Para cucu kaum Nabi Nuh a.s berkata:
"Kita tidak ingin melupakan moyang kita yang Allah SWT selamatkan mereka
dari taufan."
Oleh
kerana itu, mereka membuat patung-patung orang-orang yang selamat itu yang
dapat mengingatkan mereka dengannya. Dan pengagungan ini semakin berkembang
generasi demi generasi, namun akhimya penghormatan itu berubah menjadi
penghambaan. Patung- patung itu berubah - dengan bisikan syaitan - menjadi
tuhan selain Allah SWT. Dan bumi kembali mengeluhkan kegelapan. Lalu Allah SWT
rnengutus junjungan kita Nabi Hud a.s di tengah-tengah kaumnya.
Al-Qur'an
menyingkap ceritanya setelah diutusnya Nabi Hud a.s untuk membawa agama kepada
manusia. Nabi Hud a.s berasal dari kabilah yang bernama 'Ad. Kabilah ini
tinggal di suatu tempat yang bernama al-Ahqaf. la adalah padang pasir yang
dipenuhi dengan gunung-gunung pasir dan tampak dari puncaknya lautan. Adapun
tempat tinggal mereka berupa tenda-tenda besar dan mempunyai tiang-tiang yang
kuat dan tinggi. Kaum 'Ad terkenal dengan kekuatan fisik di saat itu, dan
mereka juga memiliki tubuh yang amat tinggi dan tegak sampai-sampai mereka
mengatakan seperti yang dikutip oleh Al-Qur'an:
"Mereka
berkata: 'Siapakah yang lebih kuat daripada kami.'" (QS. Fushilat: 15)
Tiada
seorang pun di masa itu yang dapat menandingi kekuatan mereka. Meskipun mereka
memiliki kebesaran tubuh, namun mereka memiliki akal yang gelap. Mereka
menyembah berhala dan membelanya bahkan mereka siap berperang atas namanya.
Mereka malah menuduh nabi mereka dan mengejeknya. Selama mereka menganggap
bahawa kekuatan adalah hal yang patut dibanggakan, maka seharusnya mereka
melihat bahawa Allah SWT yang menciptakan mereka lebih kuat dari mereka.
Sayangnya, mereka tidak melihat selain kecongkakan mereka. Nabi Hud berkata
kepada mereka:
"Wahai
kaumku, sembahlah Allah yang tiada tuhan lain bagi kalian selain-Nya. "
(QS. Hud: 50)
Itu
adalah perkataan yang sama yang diucapkan oleh seluruh nabi dan rasul.
Perkataan tersebut tidak pernah berubah, tidak pernah berkurang, dan tidak
pernah dicabut kembali. Kaumnya bertanya kepadanya: "Apakah engkau ingin
menjadi pemimpin bagi kami melalui dakwahmu ini? Imbalan apa yang engkau
inginkan?" Nabi Hud memberitahu mereka bahawa ia hanya mengharapkan
imbuhan dari Allah SWT. Ia tidak menginginkan sesuatu pun dari mereka selain
agar mereka menerangi akal mereka dengan cahaya kebenaran. Ia mengingatkan
mereka tentang nikmat Allah SWT terhadap mereka. Bagaimana Dia menjadikan
mereka sebagai khalifah setelah Nabi Nuh a.s, bagaimana Dia memberi mereka
kekuatan fisik, bagaimana Dia menempatkan mereka di bumi yang penuh dengan
kebaikan, bagaimana Dia mengirim hujan lalu menghidupkan bumi dengannya.
Kaum
Hud a.s membuat kerosakan dan mengira bahawa mereka orang-orang yang terkuat di
muka bumi, sehingga mereka menampakkan kesombongan dan semakin menentang
kebenaran. Mereka berkata kepada Nabi Hud a.s: "Bagaimana engkau menuduh
tuhan-tuhan kami yang kami mendapati ayah-ayah kami menyembahnya?" Nabi
Hud a.s menjawab: "Sungguh orang tua kalian telah berbuat kesalahan."
Kaum Nabi Hud a.s berkata: "Apakah engkau akan mengatakan wahai Hud bahawa
setelah kami mati dan menjadi tanah yang beterbangan di udara, kita akan
kembali hidup?" Nabi Hud a.s menjawab: "Kalian akan kembali pada hari
kiamat dan Allah SWT akan bertanya kepada masing-masing dari kalian tentang apa
yang kalian lakukan."
Setelah
mendengar jawaban itu, meledaklah tertawa dari mereka. Alangkah anehnya
pengakuan Hud, demikianlah orang-orang kafir berbisik di antara mereka. Manusia
akan mati dan ketika mati jasadnya akan rosak dan ketika jasadnya rusak ia akan
menjadi tanah kemudian akan dibawa oleh udara dan tanah itu akan beterbangan,
lalu bagaimana semua ini akan kembali ke asalnya. "Kemudian apa pengertian
adanya hari kiamat? Mengapa orang-orang yang mati akan bangkit dari
kematiannya?" Hud menerima pertanyaan-pertanyaan ini dengan kesabaran yang
mulia. Kemudian ia mulai menerangkan pada kaumnya keadaan hari kiamat. Ia
menjelaskan kepada mereka bahawa kepercayaan manusia kepada hari akhir adalah
satu hal yang penting yang berhubungan dengan keadilan Allah SWT, sebagaimana
ia juga sesuatu yang penting yang juga berhubungan dengan kehidupan manusia.
Nabi
Hud a.s menerangkan kepada mereka sebagaimana apa yang diterangkan oleh semua
nabi berkenaan dengan hari kiamat. Sesungguhnya hikmah sang Pencipta tidak
menjadi sempurna dengan sekadar memulai penciptaan kemudian berakhirnya
kehidupan para makhluk di muka bumi ini, lalu setelah itu tidak ada hal yang
lain. Ini adalah masa yang pertama dari ujian. Dan ujian tidak selesai dengan
hanya menyerahkan lembar jawaban. Harus juga disertai dengan olahan terhadap
lembar jawaban itu, memberi nilai, dan menjelaskan siapa yang berhasil dan
siapa yang gagal.
Manusia
selama hidup di dunia tidak hanya mempunyai satu tindakan; ada yang berbuat
kelaliman, ada yang membunuh, dan ada yang melampaui batas. Seringkali kita
melihat orang-orang zalim pergi dengan bebas tanpa menjalani hukuman. Cukup
banyak orang-orang yang jahat namun mereka mendapatkan fasilitas yang mewah dan
mendapatkan penghormatan serta kekuasaan. Ke mana orang-orang yang teraniaya
akan mengadu dan kepada siapa orang-orang yang menderita akan mengeluh?
Logika
keadilan menuntut adanya hari kiamat. Sesungguhnya kebaikan tidak selalu menang
dalam kehidupan, bahkan terkadang pasukan kejahatan berhasil membunuh dan
memperdaya para pejuang kebenaran. Lalu, apakah kejahatan ini berlalu begitu
saja tanpa mendapatkan balasan? Sungguh suatu kezaliman besar terhampar
seandainya kita menganggap bahawa hari kiamat tidak pernah terjadi. Allah SWT
telah mengharamkan kezaliman atas -Nya sendiri, dan Dia pun mengharamkannya
terjadi di antara hamba-hamba-Nya., maka adanya hari kiamat, hari perhitungan,
hari pembalasan adalah sebagai bukti kesempurnaan dari keadilan Allah SWT.
Sebab hari kiamat adalah hari di mana semua persoalan akan disingkap kembali di
depan sang Pencipta dan akan di tinjau kembali, dan Allah SWT akan memutuskan
hukum-Nya di dalam-nya. Inilah kepentingan pertama tentang hari kiamat yang
berhubungan langsung dengan keadilan Allah SWT.
Ada
kepentingan lain berkenaan dengan hari kiamat, yang berhubungan dengan perilaku
manusia sendiri. bahawa keyakinan dengan adanya hari akhir, mempercayai hari
kebangkitan, perhitungan amal, penerimaan pahala dan seksa, dan kemudian masuk
syurga atau neraka adalah perkara- perkara yang langsung berkenaan dengan
perilaku manusia, di mana konsentrasi manusia dan had mereka akan tertuju
dengan alam lain setelah alam ini. Oleh kerana itu, mereka tidak akan
terbelenggu oleh kenikmatan dunia, kerakusan kepadanya, dan egoisme untuk
menguasinya. Mereka tidak perlu gelisah saat mereka tidak berhasil melihat
balasan usaha mereka dalam umur mereka yang pendek dan terbatas. Dengan
demikian, manusia semakin meninggi dari tanah yang menjadi asal penciptaannya ke
roh yang ditiupkan oleh Tuhannya.
Barangkali
persimpangan jalan antara tunduk terhadap imajinasi dunia, nilai-nilainya, dan
pertimbangan-pertimbangannya dan ketergantungan dengan nilai-nilai Allah SWT
yang tinggi dapat terwujud dengan adanya keimanan terhadap hari kiamat. Nabi
Hud a.s telah membicarakan semua ini dan mereka telah mendengarkannya namun
mereka mendustakannya. Allah SWT menceritakan sikap kaum itu terhadap hari
kiamat:
"Dan
berkatalah pemuka-pemuka yang kafir di antara kaumnya dan yang mendustakan
pertemuan dengan hari kiamat (kelak) dan yang telah Kami mewahkan mereka dalam
kehidupan dunia: 'Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, dia,
makan dari apa yang kamu, makan, dan meminum dari apa yang kamu minum. Dan
sesungguhnya jika kamu sekalian menaati manusia yang seperti kamu, niscaya bila
demikian itu, kamu benar-benar menjadi orang- orang yang merugi. Apakah ia
menjanjikan kepada kamu sekalian, bahawa bila kamu telah mati dan telah menjadi
tanah dan tulang belulang, kamu sesungguhnya akan dikeluarkan (dari kuburmu)?,
jauh, jauh sekali (dari kebenaran) apa yang diancamkan kepadamu itu, kehidupan
tidak lain hanyalah kehidupan kita di dunia ini, kita mati dan hidup dan
sekali-kali tidak akan dibangkitkan lagi. " (QS. al- Mu`minun: 33-37)
Demikianlah
kaum Nabi Hud mendustakan nabinya. Mereka berkata kepadanya: "Tidak
mungkin, tidak mungkin." Mereka kehairanan ketika mendengar bahawa Allah
SWT akan membangkitkan orang-orang yang ada dalam kuburan. Mereka bingung
ketika diberitahu bahawa Allah SWT akan mengembalikan penciptaan manusia
setelah ia berubah menjadi tanah, meskipun Dia telah menciptakannya sebelumnya
juga dari tanah. Seharusnya para pendusta hari kebangkitan itu merasa bahawa
mengembalikan penciptaan manusia dari tanah dan tulang lebih mudah dari
penciptaannya pertama kali. Bukankah Allah SWT telah menciptakan semua makhluk,
maka kesulitan apa yang ditemui-Nya dalam mengembalikannya. Kesulitan itu
disesuaikan dengan ukuran manusia yang tersembunyi dalam ciptaan., maka ukuran
manusia tersebut tidak dapat diterapkan kepada Allah SWT. kerana Dia tidak
mengenal kesulitan atau kemudahan. Ketika Dia ingin membuat sesuatu, maka Dia
hanya sekadar mengeluarkan perintah:
"Allah
Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak (untuk menciptakan) sesuatu,
maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah."Lalu
jadilah ia." (QS. al-Baqarah: 117)
Kita
juga memperhatikan firman-Nya:
"Dan
berkatalah pemuka-pemuka yang kafir di antara kaumnya." (QS. al-Mu^minun:
33)
Al-Mala'
ialah para pembesar (ar-Ruasa'). Mereka dinamakan al-Mala' kerana mereka suka
berbicara dan mereka mempunyai kepentingan dalam kesinambungan situasi yang
tidak sihat. Kita akan menyaksikan mereka dalam setiap kisah para nabi. Kita
akan melihat para pembesar kaum, orang-orang kaya di antara mereka, dan
orang-orang elit di antara mereka yang menentang para nabi. Allah SWT
menggambarkan mereka dalam firman-Nya:
"Dan
yang telah Kami mewahkan mereka dalam kehidupan dunia. " (QS. al-Mukminun:
33)
kerana
pengaruh kekayaan dan kemewahan hidup, lahirlah keinginan untuk meneruskan
kepentingan-kepentingan khusus, dan dari pengaruh kekayaan dan kekuasaan,
muncullah sikap sombong. Para pembesar itu menoleh kepada kaumnya sambil
bertanya-tanya: "Tidakkah nabi ini manusia biasa seperti kita, ia memakan
dari apa yang kita, makan, dan meminum dari apa yang kita minum? Bahkan
barangkali kerana kemiskinannya, ia sedikit, makan dari apa yang kita, makan
dan ia minum, menggunakan gelas-gelas yang kotor sementara kita minum dari
gelas-gelas yang terbuat dari emas dan perak., maka bagaimana ia mengaku berada
dalam kebenaran dan kita dalam kebatilan? Ini adalah manusia biasa, maka
bagaimana kita menaati manusia biasa seperti kita? Kemudian, mengapa Allah SWT
memilih manusia di antara kita untuk mendapatkan wahyu-Nya?"
Para
pembesar kaum Nabi Hud berkata: "Bukankah hal yang aneh ketika Allah SWT
memilih manusia biasa di antara kita untuk menerima wahyu dari-Nya?" Nabi
Hud balik bertanya: "Apa keanehan dalam hal itu? Sesungguhnya Allah SWT
mencintai kalian dan oleh kerananya Dia mengutus aku kepada kalian untuk
mengingatkan kalian. Sesungguhnya perahu Nuh a.s dan kisah Nuh a.s tidak jauh
dari ingatan kalian. Janganlah kalian melupakan apa yang telah terjadi.
Orang-orang yang menentang Allah SWT telah dihancurkan dan begitu juga
orang-orang yang akan mengingkari-Nya pun akan dihancurkan, sekuat apa pun
mereka." Para pembesar kaum berkata: "Siapakah yang dapat
menghancurkan kami wahai Hud?" Nabi Hud a.s menjawab: "Allah
SWT."
Orang-orang
kafir dari kaum Nabi Hud berkata: "Tuhan-tuhan kami akan menyelamatkan
kami." Nabi Hud a.s memberitahu mereka, bahawa tuhan- tuhan yang mereka
sembah ini dengan maksud untuk mendekatkan mereka kepada Allah SWT pada
hakikatnya justeru menjauhkan mereka dari-Nya. Ia menjelaskan kepada mereka
bahawa hanya Allah SWT yang dapat menyelamatkan manusia, sedangkan kekuatan
lain di bumi tidak dapat mendatangkan mudarat dan manfaat.
Pertarungan
antara Nabi Hud dan kaumnya semakin rancak. Dan setiap kali pertarungan
berlanjut dan hari berlalu, kaum Nabi Hud a.s meningkatkan kesombongan,
pembangkangan, dan pendustaan kepada nabi mereka. Mereka mulai menuduh Nabi Hud
a.s sebagai seorang idiot dan gila. Pada
suatu hari mereka berkata kepadanya: "Sekarang kami memahami rahsia
kegilaanmu. Sesungguhnya engkau menghina tuhan kami dan tuhan kami telah marah
kepadamu, dan kerana kemarahannya engkau menjadi gila." Allah SWT
menceritakan apa yang mereka katakan dalam firman-Nya:
"Kaum
'Ad berkata: 'Hai Hud, kamu tidak mendatangkan kepada kami suatu bukti yang
nyata, dan kami sekali-kali tidak akan meninggalkan sembahan-sembahan kami
kerana perkataanmu, dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kamu. Kami
tidak mengatakan melainkan bahawa sebagian sembahan kami telah menimpakan
penyakit gila atas dirimu. " (QS. Hud: 53-54)
Sampai
pada batas inilah penyimpangan itu telah terjadi pada diri mereka, sampai pada
batas bahawa mereka menganggap, bahawa Nabi Hud telah mengigau kerana salah
satu tuhan mereka telah murka kepadanya sehingga ia terkena sesuatu penyakit
gila. Nabi Hud a.s tidak membiarkan anggapan mereka bahawa ia gila dan
mengigau, namun ia tidak bersikap emosi tetapi ia menunjukkan sikap tegas
ketika mereka mengatakan: "Dan kami sekali-kali tidak akan meninggalkan sembahan-
sembahan kami kerana perkataanmu, dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai
kamu.”
Setelah
tentangan ini tiada lain bagi Nabi Hud a.s kecuali memberikan tantangan yang
sama. Nabi Hud a.s hanya pasrah kepada Allah SWT. Nabi Hud a.s hanya memberikan
peringatan dan ancaman terhadap orang-orang yang mendustakan dakwahnya. Nabi
Hud berkata:
"Sesungguhnya
aku jadikan Allah sebagai saksiku dan saksikanlah olehmu bahawa Sesungguhnya
aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan dari selain-Nya. Sebab itu,
jalankanlah tipu dayamu semuanya terhadapku dan janganlah karnu memberi tangguh
kepadaku. Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah, Tuhanku dan Tuhanmu. Tidak
ada suatu binatang melata pun melainkan Dialah yang memegang ubun-ubunnya.
Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus. Jika kamu berpaling, maka
sesungguhnya aku telah menyampaikan kepadamu apa (amanat) yang aku diutus
(untuk menyampaikan)nya kepadamu. Dan Tuhanku akan mengganti (kamu) dengan kaum
yang lain (dari) kamu; dan kamu tidak dapat membuat mudarat kepada-Nya sedikit
pun. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pemelihara segala sesuatu. " (QS.
Hud: 54-57)
Manusia
akan merasa kehairanan terhadap perlawanan kepada kebenaran ini. Seorang lelaki
menghadapi kaum yang kasar dan keras kepala serta bodoh. Mereka menganggap
bahawa berhala-berhala dari batu dapat memberikan gangguan. Manusia sendiri
rnampu menentang para tiran dan melumpuhkan keyakinan mereka, serta berlepas
diri dari mereka dan dari tuhan mereka. Bahkan ia siap menentang mereka dan
menghadapi segala bentuk, makar mereka. Ia pun siap berperang dengan mereka dan
bertawakal kepada Allah SWT. Allah-lah yang Maha Kuat dan Maha Benar. Dia-lah
yang menguasai setiap makhluk di muka bumi, baik berupa binatang, manusia,
maupun makhluk lain. Tidak ada sesuatu pun yang dapat melemahkan Allah SWT.
Dengan
keimanan kepada Allah SWT dan dengan kepercayaan pada janji- Nya serta merasa
tenang dengan pertolongan-Nya, Nabi Hud a.s menyeru orang-orang kaflr dari
kaumnya. Nabi Hud a.s melakukan yang demikian itu meskipun ia sendirian dan
merasakan kelemahan kerana ia mendapatkan keamanan yang hakiki dari Allah SWT.
Dalam pembicaraannya, Nabi Hud a.s menjelaskan kepada kaumnya bahawa ia
melaksanakan amanat dan menyampaikan agama. Jika mereka mengingkari dakwahnya,
nescaya Allah SWT akan mengganti mereka dengan kaum selain mereka. Yang
demikian ini bererti bahawa mereka sedang menunggu azab. Demikianlah Nabi Hud a.s
menjelaskan kepada mereka, bahawa ia berlepas diri dari mereka dan dari tuhan
mereka. la bertawakal kepada Allah SWT yang menciptakannya.
Ia
mengetahui bahawa seksa akan turun di antara para pengikutnya yang menentang.
Beginilah hukum kehidupan di mana Allah SWT menyiksa orang-orang kafir meskipun
mereka sangat kuat atau sangat kaya. Nabi Hud a.s dan kaumnya menunggu janji
Allah SWT. Kemudian terjadilah masa kering di muka bumi di mana langit tidak
lagi menurunkan hujan. Matahari menyengat sangat kuat hingga laksana
percikan-percikan api yang menimpa kepala manusia.
Kaum
Nabi Hud segera menuju kepadanya dan bertanya: "Mengapa terjadi kekeringan
ini wahai Hud?" Nabi Hud berkata: "Sesungguhnya Allah SWT murka
kepada kalian. Jika kalian beriman, maka Allah SWT akan rela terhadap kalian
dan menurunkan hujan serta menambah kekuatan kalian." Namun kaum Nabi Hud
justru mengejeknya dan malah semakin menentangnya., maka masa kekeringan
semakin meningkat dan menguningkan pohon-pohon yang hijau dan matilah
tanaman-tanaman.
Lalu
datanglah suatu hari di mana terdapat awan besar yang menyelimuti langit. Kaum
Nabi Hud begitu gembira dan mereka keluar dari rumah mereka sambil berkata:
"Hari ini kita akan dituruni hujan." Tiba-tiba udara berubah yang
tadinya sangat kering dan panas kini menjadi sangat dingin. Angin mulai bertiup
dengan kencang. Semua benda menjadi bergoyang. Angin terus-menerus bertiup
malam demi malam, dan hari demi hari. Setiap saat rasa dingin bertambah.
Kaum
Nabi Hud mulai berlari. Mereka segera menuju ke tenda dan bersembunyi di
dalamnya. Angin semakin bertiup dengan kencang dan menghancurkan tenda. Angin
menghancurkan pakaian dan menghancurkan kulit. Setiap kali angin bertiup, ia
menghancurkan dan membunuh apa saja yang di depannya. Angin bertiup selama
tujuh malam dan delapan hari dengan mengancam kehidupan dunia. Kemudian angin
berhenti dengan izin Tuhannya.
Allah
SWT berfirman:
"Maka
tatkala mereka melihat azab itu berupa awan yang menuju ke lembah-lembah
mereka, berkatalah mereka: 'Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada
kami.' (Bukan)! Bahkan itulah azab yang kamu minta supaya datang dengan segera
(yaitu) angin yang mengandung azab yang pedih, yang menghancurkan segala
sesuatu dengan perintah Tuhannya." (QS. al-Ahqaf: 24-25) "Yang Allah
menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan delapan hari terus-menerus;,
maka kamu lihat kaum 'Ad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka
tunggul-tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk). " (QS. al-Haqqah:
7)
Tiada
yang tersisa dari kaum Nabi Hud kecuali pohon-pohon kurma yang lapuk. Nabi Hud a.s
dan orang-orang yang beriman kepadanya selamat sedangkan orang-orang yang
menentangnya binasa.
Pengajaran
Dari Kisah Nabi Hud a.s.
Nabi
Hud telah memberi contoh dan sistem yang baik yang patut ditiru dan diikuti
oleh juru dakwah dan ahli penerangan agama.Beliau menghadapi kaumnya yang
sombong dan keras kepala itu dengan penuh kesabaran, ketabahan dan kelapangan
dada. Ia tidak sesekali membalas ejekan dan kata-kata kasar mereka dengan
serupa tetapi menolaknya dengan kata-kata yang halus yang menunjukkan bahawa
beliau dapat menguasai emosinya dan tidak sampai kehilangan akal atau
kesabaran.
Nabi
Hud a.s tidak marah dan tidak gusar ketika kaumnya mengejek dengan menuduhnya
telah menjadi gila dan tidak waras. Ia dengan lemah lembut menolak tuduhan dan
ejekan itu dengan hanya mengata:"Aku tidak gila dan bahawa tuhan-tuhanmu
yang kamu sembah tidak dapat menggangguku atau mengganggu fikiranku sedikit pun
tetapi aku ini adalah rasul pesuruh Allah kepadamu dan betul-betul aku adalah
seorang penasihat yang jujur bagimu menghendaki kebaikanmu dan kesejahteraan
hidupmu dan agar kamu terhindar dan selamat dari azab dan seksaan Allah di
dunia mahupun di akhirat."
Dalam
berdialog dengan kaumnya.Nabi Hud selalu berusaha mengetuk hati nurani mereka
dan mengajak mereka berfikir secara rasional, menggunakan akal dan fikiran yang
sihat dengan memberikan bukti-bukti yang dapat diterima oleh akal mereka
tentang kebenaran dakwahnya dan kesesatan jalan mereka namun hidayah itu adalah
dari Allah, Dia akan memberinya kepada siapa yang Dia kehendakinya. ."Allah
sentiasa bersama hamba-hambaNya selagi hamba- hambanyaNya
mengingatinya"... "Setiap Ujian Yang Datang Daripada Allah.., Pasti
akan ada hikmahnya..,Terpulang pada diri untuk menilainya"... Demikian
pula hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Tidaklah sempurna iman
seseorang kecuali jika ia menyintai saudaranya yang beriman sebagaimana ia
menyintai dirinya sendiri." Juga peribahasa arab yang
berbunyi:"Adakalanya engkau memperolehi seorang saudara yang tidak dilahirkan
oleh ibumu." Justeru.., marilah kita sentiasa suburkan persaudaraan kita
sesama Islam.. Saling menasihati kepada kebenaran dan kesabaran... (^_^)
Demikian pula hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Tidaklah sempurna iman seseorang kecuali jika ia menyintai saudaranya yang beriman sebagaimana ia menyintai dirinya sendiri." Juga peribahasa arab yang berbunyi:"Adakalanya engkau memperolehi seorang saudara yang tidak dilahirkan oleh ibumu." Justeru.., marilah kita sentiasa suburkan persaudaraan kita sesama Islam.. Saling menasihati kepada kebenaran dan kesabaran... (^_^)
ReplyDelete