Kata Azimat

Kata Azimat
" Usaha itu Perlu, Doa itu Pembantu, Allah itu Penentu"... "Setiap Ilmu Yg Dipelajari perlu kepada Bimbingan Akal serta Panduan Iman Agar tidak tersasar dari Landasannya"... "Tiada tali yang paling erat selain tali silaturrahim, Tiada pintu yang pling kukuh selain pintu hati.., Tiada hutang yang pling berat selain hutang budi.., Tiada pemberian yang paling berharga selain memberi maaf"..."Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya selagi hamba- hambanyaNya mengingatinya"... "Setiap Ujian Yang Datang Daripada Allah.., Pasti akan ada hikmahnya..,Terpulang pada diri untuk menilainya"... "The More We Learn..., The More We Know that We Are So Stupid.."......"Ukhuwah yang dibina di antara kita biarlah seperti seutas tasbih..,, ada awal.., tiada penghujungnya,,,,, dicipta untuk mengingati-Nya...dibahagi untuk cinta-Nya..,, dan diratib demi keredhaan-Nya..Ukhuwah itu umpama ikatan tasbih.. Butir-butir tasbih mewakili roh-roh yang terjalin, manakala ikatan tali tasbih mewakili ukhuwah tersebut.. Sekiranya ikatan tersebut tidak diketahui dan terputus.., maka bercerailah roh-roh tersebut dan menjadi jauh..;')

Wednesday, August 26, 2026

Kisah Srikandi Islam - "Zinnirah"..

Mata Hatinya Tetap Teguh Bersinar, Dialah Srikandi Zinnirah..



Para sahabat adalah generasi terbaik yang pernah ada di dalam sejarah islam. Mereka merupakan generasi yang terawal memeluk Islam dan membantu penyebaran Islam ke seluruh alam. Kemuliaan para sahabat disebutkan sendiri oleh Nabi Muhammad S.A.W. Nabi S.A.W pernah bersabda:

 

خَيْرُ أُمَّتِى الْقَرْنُ الَّذِينَ يَلُونِى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِىءُ قَوْمٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ

 

Maksudnya: “Sebaik-baik umatku ada yang kurun yang mana mereka menyertai aku kemudian orang yang datang selepas mereka kemudian orang yang datang selepas mereka.....


Kemudian akan datang satu golongan yang mana mendahulukan penyaksian daripada sumpah dan menjadikan sumpahnya sebagai penyaksian (isyarat kepada banyaknya penyaksian dan sumpah yang palsu).”

Riwayat Muslim (6632)

 


Bahkan Allah SWT  meredhai mereka dan ia dinyatakan secara jelas di dalam Al-Quran. Firman Allah S.W.T:

 

وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ مِنَ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحْسَـٰنٍ رَّضِىَ ٱللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى تَحْتَهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

 

Maksudnya: “Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat),.......


Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

(Surah al-Taubah : 100)

 


Al-Syaukani menyebut bahawa Allah redha terhadap amalan ketaatan yang ikhlas yang dilakukan oleh mereka. Dan mereka juga redha terhadap apa yang telah dikurniakan oleh Allah terhadap yang tidak terlintas di sanubari mereka dan tidak terfikir oleh akal. Redha daripada Allah merupakan darjat yang tertinggi dan merupakan kemuliaan yang teragung. (Lihat Fath al-Qadir, 2/386).

 

Seterusnya, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, Zinnirah R.A termasuk dalam kalangan sahabat yang terawal memeluk agama Islam. Selain itu, beliau termasuk dalam kalangan mereka yang diseksa kerana beriman kepada Allah S.W.T. Abu Jahal telah menyeksanya, dan beliau tergolong dalam kalangan tujuh orang hamba yang dibeli oleh Abu Bakar al-Siddiq bagi menyelamatkan mereka daripada diseksa oleh tuan mereka.

 

Al-Waqidi meriwayatkan daripada hadith Hassan bin Thabit, katanya: “Aku menunaikan haji ketika Nabi Muhammad S.A.W mengajak orang ramai kepada Islam, dan para sahabatnya diseksa. Aku melihat ‘Amr menyeksa seorang hamba perempuan dari Bani ‘Amr bin al-Mu’ammal, kemudian dia pergi pula kepada Zinnirah dan melakukan perkara yang sama terhadapnya.

 


Manakala al-Fakihi ada meriwayatkan daripada Muhammad bin Abdullah bin Yazid al-Muqri, dan Ibn Mandah daripada sanad yang lain, daripada Ibn al-Muqri, daripada Ibn ‘Uyainah, daripada Sa‘d bin Ibrahim, katanya: 


“Zinnirah adalah seorang wanita Rom, lalu beliau telah memeluk agama Islam lalu penglihatannya hilang. Maka orang-orang musyrik pun berkata: ‘Dia telah dibutakan Lata dan ‘Uzza.’ Maka, beliau menjawab: ‘Sesungguhnya aku telah kufur terhadap Lata dan ‘Uzza,’ lalu Allah SWT mengembalikan penglihatannya.

 


Muhammad bin Uthman bin Abu Syaibah meriwayatkan dalam kitabnya, al-Tarikh daripada riwayat Ziyad al-Bakka’i, daripada Humaid, daripada Anas, katanya: “Ummu Hani’ binti Abu Talib berkata kepadaku bahawa Abu Bakar memerdekakan Zinnirah, dan penglihatannya hilang ketika beliau dimerdekakan. 


Maka orang Quraisy pun berkata: ‘Tidaklah penglihatannya hilang melainkan disebabkan Lata dan ‘Uzza.’ Lalu beliau berkata: ‘Mereka berbohong, demi Allah, Lata dan ‘Uzza tidak dapat memberikan sebarang manfaat mahupun mudarat,’ maka Allah SWT mengembalikan penglihatannya.” (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/150-151).

 

Di dalam  sejarah Islam, selain daripada perjuangan Rasulullah S.A.W dan sahabat-sahabat baginda, kaum wanita juga merupakan tulang belakang di sebalik perjuangan menegakkan  Islam. Nama-nama seperti Siti Khadijah Khuwaylid, Saidina Aisyah, Fatimah merupakan nama-nama yang seringkali diceritakan melalui lisan atau bertulis. 

 

Tetapi nama Zinnirah Arumiah agak begitu asing dari pengetahuan kita. Namanya cukup indah dan unik. Wanita ini rela menggadaikan dirinya demi kecintaannya pada Allah dan Islam. Wanita ini telah dicucuk matanya dengan besi tajam dan menyebabkannya buta.

 

Zinnirah, begitu indah namanya, mungkin tidak ramai yang tahu kisah ketabahan dan keagungan cintanya kepada Allah S.W.T. Wanita ini tidak terkenal di dunia, tidak mempunyai harta apalagi memiliki pangkat yang besar. Namun, Allah S.W.T memuliakan dan memberi penghormatan yang tinggi kepadanya.

 


Kenapa digelar Zinnirah Arumiah?

 

Zinnirah adalah seorang gadis yang berasal dari Rome. Beliau telah ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Akhirnya beliau dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan hamba.

 

Zinnirah adalah di antara orang yang terawal memeluk  islam semasa zaman penentangan islam pada peringkat awal dakwah Rasulullah S.A.W.

 

Beliau menerima Islam dari salah seorang daripada hamba yang senasib dengannya. Hamba itu menerangkan ajaran yang disampaikan oleh Rasulluah S.A.W Penerangan yang tulus itu membuka hati Zinnirah untuk memeluk Islam.

 


Pada peringkat awal, Zinnirah cuba menyembunyikan pengislamannya daripada diketahui oleh Umar. Dia melakukan ibadah ketika orang lain tiada di rumah atau pada waktu tengah malam ketika orang lain sedang nyenyak tidur. Namun, lama kelamaan amalan solehahnya dapat dicium oleh musuh.

 

Sudah tentu orang yang paling marah ialah tuannya sendiri iaitu Umar. Siapakah yang tidak kenal dengan Umar al-Khattab yang terkenal dengan sikap kejam, bengis, ganas, garang, tidak berhati perut, tidak berperikemanusiaan itu. 


Umar terus menampar Zinnirah, menendang, mengikat kedua belah kaki tangan Zinnirah. Kemudiam, dijemur di tengah panas mentari. Bayangkanlah antara seksaan yang dihadapinya. Sungguh panas padang pasir pada waktu siang dan terlalu sejuk pada waktu malam, badannya dihempap dengan batu besar dan bermacam-macam penyeksaan yang diterimanya. 

 

Dalam keperitan fizikal, Zinnirah masih mampu menguntum senyuman. Hatinya tidak putus-putus mengucapkan “Allah, Allah, Allahu Albar, Allah lah yang Maha Besar”.

 

Dan hatinya berbisik, “Ini untuk-Mu wahai Tuhan, aku membeli kesusahan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat.” Begitulah ungkapan katanya yang menjadi penawar untuknya.

 

Kemuncak penyeksaan yang diterima oleh Zinnirah ialah matanya dicucuk dengan besi tajam dan akhirnya gelaplah seluruh pandangan. Hatinya masih mampu berbisik:

 

“Tuhan, walau aku dibunuh mati, aku lebih rela daripada menjual agama-Mu ini Tuhan. Semakin aku diuji, semakin terasa kehebatan dan keagunga-Mu Tuhan. Panahan cinta dari-Mu itu makin menguatkan diri ini untuk menerima apa sahaja. Cuma satu permintaanku, berilah petunjuk kepada orang yang menyeksaku ini.”

 

Ternyata betullah, doa orang yang teraniaya ini sangat mudah untuk Allah makbulkan. Akhirnya Umar memeluk Islam setelah mendapat hidayah daripada Allah S.W.T melalui adiknya, Fatimah. 

 

Zinnirah, walau matanya buta untuk melihat alam maya tapi hatinya tidak buta untuk menerima cahaya kebenaran Islam. Pandangan hati boleh menembusi pandangan zahir. Apabila melihat keadaan Zinnirah, orang-orang Quraisy cuba mempermain-mainkannya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana menerima laknat dari Tuhan mereka iaitu, latta dan uzza (sembahan patung berhala yang dianggap Tuhan)

 

Zinnirah menolak penghinaan itu. Baginya kedua berhala itu tiada sedikitpun kena mengena dengan matanya. Dia cuba meyakinkan mereka bahawa masalah buta itu adalah datang daripada Allah S.W.T. Maka Allah lah yang berkuasa mengembalikan pancainderanya seperti biasa.

 

Berlakulah sedikit kekecohan, orang-orang Quraisy mencabar Zinnirah kerana mempertahan dirinya. Umar pula sudah berhenti menyeksanya kerana putus asa melihat ketabahan hatinya.

 

Zinnirah tidak mahu sedikitpun berganjak daripada keimanan kepada Allah S.W.T. Tiada siapa yang boleh menolak ketentuan Tuhan. Apabila Allah S.W.T mengambil sekejap nikmat mata, kemudian memulangkannya semula kepada Zinnirah. Allah S.W.T menggantikannya dengan mata yang lebih baik. Zinnirah boleh melihat seperti biasa, lebih terang daripada matanya yang asal.

 

Demikianlah pertolongan Allah S.W.T kepadanya bagi menguatkan lagi keimanannya. Tidak lama kemudian, Saidina Abu Bakar datang menyelamatkan Zinnirah dengan membelinya dengan harga tinggi. Terselamatlah dia daripada menjadi penindasan orang-orang kafir.

 


Di antara sifat wanita yang solehah ini, dia sentiasa merasa Allah S.W.T memerhatikan dirinya, setiap detik dan saat. Apabila nafsunya mengajak berbuat sesuatu perkara yang mungkar, segera pula hatinya bertindak balas dengan mengatakan Allah S.W.T Maha Melihat. Nafsu yang mahu berbuat segera ditepis dengan katanya," Wahai nafsu mengapa engkau tidak takut dengan azab api neraka Allah?".

 

Hati Zinnirah sentiasa terpimpin, begitu juga dengan akhlaknya. Hasilnya, hati dan jiwa merasa aman daripada kongkongan hawa nafsu. Kemerdekaan jiwa inilah yang diperolehi oleh Zinnirah, wanita yang tidak terkenal di dunia tetapi terkenal di langit.

 


Marilah kita berazam dengan membulatkan sepenuh pengharapan memohon pada Allah S.W.T supaya sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah. Sekiranya diuji dengan pelbagai dugaan biarlah hati kita setabah Zinnirah. Biarlah iman kita sekuat dirinya. Biarlah hati kita terus celik. Inilah idola kita, Zinnirah... Allahumma solli 'ala saidina Muhammad :")

1 comment:

  1. Walaupun diuji dengan pelbagai ujian serta keperitan seksaan.., keyakinannya kepada Allah S.W.T sama sekali tidak berubah.. Allah S.W.T telah berkenan mengurniakan karamah kepadanya..

    Matanya yang buta itu dapat melihat kembali. Malah sinaran matanya lebih bercahaya.. Zinnirah seorang wanita biasa yang tidak punya harta , pangkat atau apa-apa tetapi mendapat pujian daripada Allah S.W.T.

    Para malaikat mendoakan kesejahteraannya.. Mata kasarnya buta namun mata hatinya celik, disinari dengan cahaya keimanan serta keyakinan teguh terhadap Allah S.W.T.. Allahumma solli 'ala saidina Muhammad.. :")

    ReplyDelete