Kata Azimat

Kata Azimat
" Usaha itu Perlu, Doa itu Pembantu, Allah itu Penentu"... "Setiap Ilmu Yg Dipelajari perlu kepada Bimbingan Akal serta Panduan Iman Agar tidak tersasar dari Landasannya"... "Tiada tali yang paling erat selain tali silaturrahim, Tiada pintu yang pling kukuh selain pintu hati.., Tiada hutang yang pling berat selain hutang budi.., Tiada pemberian yang paling berharga selain memberi maaf"..."Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya selagi hamba- hambanyaNya mengingatinya"... "Setiap Ujian Yang Datang Daripada Allah.., Pasti akan ada hikmahnya..,Terpulang pada diri untuk menilainya"... "The More We Learn..., The More We Know that We Are So Stupid.."......"Ukhuwah yang dibina di antara kita biarlah seperti seutas tasbih..,, ada awal.., tiada penghujungnya,,,,, dicipta untuk mengingati-Nya...dibahagi untuk cinta-Nya..,, dan diratib demi keredhaan-Nya..Ukhuwah itu umpama ikatan tasbih.. Butir-butir tasbih mewakili roh-roh yang terjalin, manakala ikatan tali tasbih mewakili ukhuwah tersebut.. Sekiranya ikatan tersebut tidak diketahui dan terputus.., maka bercerailah roh-roh tersebut dan menjadi jauh..;')

Thursday, September 10, 2026

"Riwayat Hidup Nabi Muhammad S.A.W"

Marilah Bersama menyingkap kembali sejarah kelahiran Nabi Muhammad S.A.W dan mengenang kembali peristiwa-peristiwa bermakna yang menyusul seiring dengan kelahiran baginda ke dunia ini. 


Sambutan Maulidur Rasul ini amat penting bagi memperingati ulang tahun kelahiran insan yang amat-amat kita kasihi, cintai dan rindui merangkap kekasih Ilahi iaitu Muhammad S.A.W. 


Semoga dengan memperingati baginda S.A.W, maka umat Islam keseluruhannya akan lebih menghayati keindahan Islam serta mampu mengadaptasikan nilai-nilai islam yang syumul ke dalam setiap aspek kehidupan seharian.

 

Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W

 

Telah menjadi kebiasaan bagi masyarakat di Jazirah Arab, mereka sememangnya akan bertumpu di kawasan yang mudah didapati air. Sebagai sebuah tempat kafilah-kafilah dagangan, Mekah sering dikunjungi untuk mendapatkan bekalan air daripada telaga zamzam. 


Penduduk Mekah semakin bertambah dan akhirnya ia muncullah sebagai sebuah kota yang masyhur. Mekah menjadi pusat perdagangan dan mencapai kemajuan yang tinggi.

 

Ketika itu, Mekah ditadbir oleh suku Jurhum dari keturunan Nabi Ismail A.S. Kemakmuran dan kemajuan Kota Mekah menimbulkan rasa iri hati kepada bangsa-bangsa lain. 


Bangsa Amalekit dan kabilah Khuzaah berusaha merebut kekuasaan di Kota Mekah. Mereka berjaya menyingkirkan suku Jurhum dan mengambil alih pentadbiran di Mekah.

 


Kedudukan keturunan Nabi Ismail A.S dan suku Jurhum semakin lemah. Mereka keluar dari kota Mekah di bawah pimpinan Muzaz Bin Amr bin Harith. 


Sebelum meninggalkan Kota Mekah, Muzaz menanam dua buah pangkal pelana emas dan sebilah pedang di dasar telaga air zamzam dengan tujuan menjadikannya sebagai tanda apabila telaga zamzam itu ingin digali semula.

 

Mekah berada di bawah penguasaan kabilah Khuzaah untuk jangka waktu yang lama. Qusai bin Kilab, moyang nabi Muhammad S.A.W yang berasal dari suku Jurhum merupakan orang yang sangat berpengaruh di Kota Mekah dan mempunyai pengikut yang ramai.

 

Berbekalkan dengan sokongan padu daripada penduduk Mekah, beliau menerajui pimpinan Kota Mekah dan berjaya menewaskan kabilah Khuzaah. 


Kunci Kaabah diserahkan kepadanya dan penduduk Mekah menghormatinya sebagai ketua pemimpin. Pada zaman pemerintahan Qusai, Mekah semakin pesat berkembang hingga menjadi sebuah kota yang teratur dan maju.

 

Qusai mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Abdul Dar dan Abdul Manaf. Keturunan Abdul dar mewarisi tugas ayahnya dengan memegang kunci Kaabah dan bertindak sebagai pemimpin Di Mekah. 


Keturunan Abdul Manaf iaitu Hisyam, Abdul Syams, Mutalib dan Naufal berhasrat untuk turut serta mentadbir Kota Mekah.


Perselisihan terjadi antara keturunan Abdul Dar dan Abdul Manaf. Akhirnya mereka mencapai kata sepakat untuk membahagikan tugas pentadbiran Kota Mekah. 


Keluarga Abdul Manaf diberi tugas menyediakan minuman (saqoyah) dan makanan (rifadah) kepada para tetamu yang mengunjungi Baitullah untuk mengerjakan ibadah haji. 


Keluarga Abdul Dar yang memegang kuci Kaabah telah ditugaskan menyediakan panji-panji perang dalam menyeliakan perhimpunan-perhimpunan. Keadaan ini berterusan sehinggalah kedatangan Islam ke Kota Mekah.

 

Abdul Mutalib menggantikan tugas Hasyim sebagai penyelia makanan dan minuman bagi jemaah haji. Sebagai seorang tokoh pemimpin yang berwibawa, beliau sangat disanjung tinggi lebih daripada datuknya, Qusai. 


Abdul Mutalib mempunyai sepuluh orang anak lelaki., dan berjanji akan mengorbankan seorang daripada anaknya untuk menunaikan nazarnya dengan cara melalui proses undian.


Maka, hendak diringkaskan cerita, undian telah dijalankan dan mengikut daripada keputusannya, Abdullah yang patut dikorbankan. 


Abdul Mutalib meminta nasihat daripada pendeta wanita di Yathrib untuk menebus nyawa Abdullah. Menurut saranan pendeta itu, Abdul Mutalib mestilah mengorbankan seratus seekor unta sebagai tebusan bagi nyawa anak bongsunya itu.


Tidak lama kemudian, Abdullah telah dijodohkan dengan Aminah binti Wahab. Beberapa bulan selepas perkahwinannya, Abdullah mengikut kafilah dagang yang berniaga di Syam. 


Sekembalinya dari Syam, Abdullah singgah di Yathrib brtujuan untuk menziarahi saudara ibunya. Sewaktu persiapan pulang ke Mekah sedang diuruskan, Abdullah telah jatuh sakit secara tiba-tiba. Kafilah dagang kembali ke Mekah dan meninggalkan Abdullah yang dirawat di Madinah.

 

Abdul Mutalib menerima berita keuzuran Abdullah dengan perasaan yang cemas. Dia mengarahkan anak sulungnya Harith, menjemput Abdullah. Bagaimanapun kedatangan Harith terlewat kerana Abdullah telah pun meninggal dunia sebelum sempat ia menemuinya. Abdullah telah dikebumikan oleh sanak saudaranya di Madinah.

 


Aminah yang sedang mengandung enam bulan berasa sangat sedih apabila mendengarkan berita kematian suaminya, Abdullah. Bayi yang akan dilahirkan sudah tentu tidak akan berpeluang melihat wajah ayahnya. 


Jiwa Abdul Muttalib juga terseksa dengan kematian Abdullah, anak yang paling disayanginya. Beliau juga pernah mengorbankan seratus ekor unta semata-mata mahu menebus nyawa seseorang apabila sampai waktu ajalnya.

 

Abdullah meninggalkan lima ekor unta, beberapa ekor kambing dan seorang hamba perempuan bernama Ummu Aiman. Aminah tinggal di rumah mertuanya Abdul Muttalib. 


Ketika itu, Aminah masih menunggu saat kelahiran bayinya, bayi yang akan membawa rahmat untuk sekalian alam ini. Abdul Muttalib pula lebih banyak menghabiskan masa di Kaabah daripada di rumahnya.

 

Pada suatu hari, beliau bermimpi tentang telaga zamzam yang telah ditimbus oleh Muzaz pada suatu ketika dahulu. Usaha mencari telaga zamzam telah dijalankan dan akhirnya beliau berjaya menemuinya. 


Dengan penemuan telaga zamzam itu, semangat kerja Abdul Mutalib semakin tinggi dan kedudukannya di tengah-tengah masyarakat Mekah semakin kukuh.

 

Pelana emas dan pedang yang ditanam oleh Muzaz suatu ketika dahulu digunakan untuk menghiasi Kaabah. Pelana emas dan pedang yang ditanam oleh Muzaz didasar telaga zamzam itu digunakan untuk menghiasi Kaabah.

 


Pada hari Isnin tanggal 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masihi, bayi yang dikandung oleh Aminah selamat dilahirkan. Tanpa rasa sakit, Aminah telah selamat melahirkan seorang bayi yang sihat dan gemilang wajahnya. 


Berita gembira itu segera dikhabarkan kepada Abdul Mutalib yang sedang berada di Kaabah. Abdul Mutalib sungguh gembira menerima kehadiran seorang cucu lelaki hasil zuriat anak kesayangannya.

 

Beliau bergegas pulang untuk melihat cucunya. Bayi suci itu terus didukung dan dibawa ke Kaabah. Dengan penuh rasa kesyukuran Abdul Mutalib berkata : “Aku namakan engkau dengan nama Muhammad yang bererti ‘terpuji’. Sebelum itu, nama Muhammad tidak pernah digunakan oleh sesiapa pun.

 

Abdul Mutalib menunjukkan cucunya kepada orang ramai dan mengumumkan namanya. Seterusnya Abdul Mutalib berkata, “Aku ingin Muhammad menjadi orang yang terpuji di sisi Tuhan langit dan bumi”. Pada hari ketujuh selepas kelahiran Muhammad, Abdul Mutalib telah mengorbankan seekor unta dan menjamu para pemimpin Quraisy.

 

Tidak lama selepas itu, Muhammad diserahkan kepada Halimah Sa’diah daripada keluarga Bani Saad untuk disusui. 


Adalah menjadi suatu adat bagi golongan bangsawan Quraisy menyerahkan anak yang baru dilahirkan kepada wanita kampung untuk disusui supaya anak itu tahan lasak serta mampu menempuh segala rintangan alam.

 


Keadaan hidup di perkampungan juga tampak lebih sesuai untuk pertumbuhan anak kecil dan bahasa yang digunakan adalah lebih fasih. Semenjak itu, Muhammad tinggal bersama ibu susunya Halimah Sa’diah dan dan diasuh oleh Sayima, saudara susuannya.

 

Pada tahun kelahiran Muhammad, Abrahah dan tenteranya menuju ke Mekah dengan niat jahatnya hendak meruntuhkan Kaabah. Abrahah adalah seorang Nasrani dari Habsyah dan dia telah berjaya mendirikan sebuah kerajaan di Yaman. 


Abrahah mendapati orang-orang Arab dari seluruh jazirah Arab berhimpun di Mekah pada setiap tahun untuk mengunjungi Kaabah. Dengan niat mahu menyaingi kehebatan Kaabah, 


Abrahah telah membina sebuah gereja besar dan indah di Sanaa, ibu Kota Yaman. Dia berharap langkah ini dapat mengalihkan tumpuan bangsa Arab dari Kaabah ke gereja yang dibinanya, ‘Al-Qalish’.

 

Malangnya percubaan itu bukan sahaja tidak berjaya, malahan orang-orang Arab semakin ramai mengunjungi Kaabah yang dibina oleh Nabi Allah Ibrahim A.S. 


Akhirnya Abrahah mengambil keputusan untuk membawa bala tenteranya yang bergajah untuk meruntuhkan Kaabah dengan harapan orang-orang Arab tidak akan ke Mekah lagi sekiranya Kaabah telah musnah.

 

Bagaimanapun sewaktu dalam perjalanan mereka menuju ke Mekah, terdapat beberapa kabilah Arab yang cuba menghalang kemaraan tentera Abrahah tetapi tidak berjaya. 


Masyarakat Arab sangat menyanjung tinggi Kaabah yang mulia tetapi mereka masih tidak mampu menghalang pasukan tentera Abrahah yang gagah itu.

 

Masyarakat Arab yakin Kaabah mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Mereka terdidik sejak kecil supaya memuliakan rumah Allah itu. Kini, mereka tidak ada jalan lain umtuk menyelamatkan Kaabah kecuali berserah sahaja kepada Allah S.W.T.

 

Apabila pasukan tentera bergajah pimpinan Abrahah telah hampir di kota Mekah, mereka bersiap sedia hendak menggempur Kaabah. 


Semua gajah yang ditunggangi dihalakan di kaabah tetapi gajah-gajah itu duduk dan enggan bergerak walaupun telah dipukul. Kemudian gajah-gajah itu dihalakan ke Yaman. Bagaimanapun, kesemuanya lari pulang dan menuju ke arah selatan.

 

Dalam keadaan kelam-kabut itu, Allah yang Maha berkuasa ke atas sekalian alam telah mengutuskan sejumah burung Ababil dengan membawa batu di muncung masing-masing. 


Batu-batu itu apabila dilemparkan sahaja ke atas musuhnya maka, terbakarlah seluruh badan mereka sehingga hangus. Tentera-tentera Abrahah lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri tetapi kesemuanya mati di tengah jalan. 


Abrahah mengalami nasib yang sama apabila badannya gugur sedikit demi sedikit sebelum mati di dalam keadaan seperti dedaun yang dimakan dek ulat. Dengan musnahnya tentera Abrahah, kecintaan masyarakat Arab terhadap kaabah semakin meningkat tinggi. 


Peristiwa itu menggambarkan kebesaran Allah S.W.T dan juga merupakan tanda bahawasanya akan muncullah seorang nabi akhir zaman nanti. 


Sempena kejadian bersejarah itu, masyarakat Arab menamakan tahun tersebut sebagai ‘Tahun Gajah’ bersempena dengan mengingati peristiwa yang amat dahsyat itu sekali.

 


"Riwayat Hidup Nabi Muhammad S.A.W"


Ketika masih bayi, Nabi Muhammad S.A.W dipelihara oleh ibu susuannya, Halimah Saadiah. Halimah mengasihi Nabi Muhammad lebih dari anaknya sendiri. 


Sejak Nabi Muhammad S.A.W tinggal bersamanya, pintu rezeki Halimah sentiasa terbuka luas. Kehadiran Nabi Muhammad S.A.W membawa keberkatan kepada seluruh keluarga Halimah. 


Mereka tinggal di perkampungan Saad dan Nabi Muhammad berada di sana selama 2 tahun. Setelah sempurna tempoh itu, keluarga Halimah membawa Nabi Muhammad menemui ibunya. 


Halimah Saadiah merayu kepada bonda Nabi Muhammad agar mengizinkan baginda tinggal bersamanya lebih lama lagi. Permintaannya dikabulkan dan Nabi Muhammad kembali semula ke pangkuan Bani Saad.

 


Pada suatu hari, ketika baginda masih di bawah asuhan Halimah Saadiah di bawah Bani Saad, Nabi telah didatangi oleh dua malaikat. 


Malaikat yang berkunjung itu diutuskan oleh Tuhan untuk membelah dada baginda S.A.W dan membersihkannya dari segala kekotoran hati atau tabiat buruk sebagai persiapan untuk menerima Risalah Ilahi di kemudian hari. 


Selama tinggal di perkampungan Bani Saad, Nabi Muhammad S.A.W memelihara kambing kepunyaan Halimah Saadiah bersama saudara sesusuannya.

 

Ketika baginda berumur enam tahun, bondanya membawanya  ke Madinah. Di sana mereka menziarahi saudara ayahnya dan turut berkesempatan untuk menziarahi ke makam ayahandanya, Abdullah bin Abdul Mutalib. 


Bagaimanapun, bondanya telah wafat semasa perjalanan ke Mekah dan telah dikebumikan di satu kawasan yang bernama Abwa’. 


Nabi Muhammad yang tidak sempat mengenali ayahandanya kini telah kehilangan pula ibu tempat bergantung kasih. Baginda menjadi yatim piatu  dalam usia yang terlalu muda. Kematian kedua ibu bapanya merupakan ujian Allah S.W.T terhadap bakal pesuruh-Nya agar terdidik  dengan sifat tabah dan sabar.

 


Setelah kematian ibunya pula, Nabi tinggal bersama datuknya, Abdul Mutalib. Abdul Mutalib telah memelihara baginda dengan penuh rasa kasih-sayang. 


Namun, datuknya sempat memanjakan baginda hanya dalam tempoh dua tahun sahaja. Sekali lagi Nabi Muhammad kehilangan orang yang dikasihinya apabila Abdul Mutalib meninggal dunia. 


Menurut wasiat Abdul Mutalib semasa hayatnya, Muhammad hendaklah dipelihara oleh bapa saudaranya, Abu Talib setelah sepeninggalannya dari dunia. 


Keberkatan yang terdapat pada diri Muhammad, bakal utusan Allah itu telah mengubah corak kehidupan Abu Talib dan sesiapa sahaja yang mendampingi baginda. Seperti keluarga Halimah, keluarga Abu Talib yang menjadi miskin itu telah menjadi senang.

 

Abu Talib adalah seorang peniaga. Pada suatu hari, dia merancang untuk ke Syam dan berniaga di sana. Abu Talib membawa Nabi Muhammad S.A.W yang berumur sembilan tahun bersama kafilah dagangannya. 


Setibanya di Kota Busra, mereka menemui seorang Rahib Nasrani bernama Buhaira yang gemar menyediakan jamuan untuk setiap kafilah yang melalui kawasannya. 



Rahib tersebut menyambut kedatangan kafilah Abu Talib dengan cara yang luar biasa. Rahib itu mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan Nabi Muhammad. 


Beliau melihat tanda-tanda kenabian Muhammad. Beliau melihat tanda-tanda kenabian pada kanak-kanak yang bernama Muhammad itu berdasarkan maklumat yang diperoleh dari kitab Injil.

 

Beliau yakin bahawa baginda baginda adalah nabi terakhir dari segala nabi yang diutuskan kepada umat manusia yang ditunggu-tunggu itu. Rahib itu berkata kepada Abu Talib, “Bawalah pulang anak saudaramu itu (Muhammad). 


Jangan sampai anak kecil itu ditemui oleh orang-orang Yahudi agar beliau tidak dibunuh. Anak kecil kecil itu kelak itu kelak akan menjadi Nabi Akhir Zaman”. 


Apabila Abu Talib mendengar ucapan ikhlas Rahib itu, beliau segera membawa Nabi Muhammad pulang ke Mekah untuk mengelakkan dari berlaku hal-hal yang tidak diingini.


Nabi Muhammad S.A.W dan semua para rasul dilengkapi dengan sifat-sifat terpuji dan mereka terpelihara dari melakukan dosa (maksum). Mereka adalah sebaik-baik manusia dari kalangan kaumnya. 


Sejak kecil lagi Allah telah memelihara segala kelakuan Nabi Muhammad dari perbuatan-perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah dan merosakkan peribadinya. Dalam kalangan masyarakatnya, baginda dikenali sebagai “Al-Amin” iaitu orang yang tidak berdusta dan sangat dipercayai.

 

Baginda suka menolong orang yang lemah, sering menyampaikan hajat orang lain dan sentiasa menghormati tetamu. Baginda sentiasa terlatih dengan kehidupan yang serba sederhana dan mencari rezeki hasil daripada titik peluhnya sendiri. 


Sehingga di zaman remajanya, baginda pernah mengambil upah mengembala kambing milik orang-orang Quraisy. Pekerjaan ini mendidik baginda agar bertanggungjawab, mengasihani golongan yang lemah dan bersabar menghadapi ragam kehidupan.

 


Nabi Muhammad S.A.W telah berkahwin pada ketika umurnya dua puluh lima tahun dengan Siti Khadijah Binti Khuwalid. Siti Khadijah adalah wanita ternama yang mempunyai kedudukan tinggi di tengah-tengah masyarkat Quraisy. 


Sewaktu berkahwin dengan Nabi Muhammad S.A.W, Siti Khadijah berusia empat puluh tahun. Sebagai wanita hartawan yang suka berdagang, Siti Khadijah sering mengirim orang-orang kepercayaannya untuk memperniagakan barang- barang perniagaannya di Syam.

 

Pada awalnya, Siti Khadijah telah mendengar tentang keperibadian Nabi yang terkenal dengan sifat jujur dan amanahnya, jadi beliau tertarik dan ingin menjadikan Nabi Muhammad S.A.W untuk menguruskan perniagaan bersama Maisara ke Syam. 


Maisara sangat takjub dengan keluhuran dan ketinggian budi pekerti yang dipamerkan oleh Nabi S.A.W, lantas menceritakan kepada Siti Khadijah. Dari berita yang disampaikan ini, maka Siti Khadijah kemudiannya berkenan untuk mempersuamikannya.

 


Sebelum itu, telah ramai para hartawan bangsa Quraisy datang meminang Siti Khadijah tetapi ditolak. Siti Khadijah kemudiannya menghantar wakilnya menemui Abu Talib untuk menyatakan hasratnya itu. 


Abu Talib segera memanjangkan perkhabaran itu kepada Nabi Muhammad dan baginda menyuarakan persetujuannya.

 

Lalu, Abu Talib pun menghantar rombongan peminangan baginda Nabi Muhammad S.A.W dan akhirnya terbinalah sebuah ikatan perkahwinan antara Nabi Muhammad S.A.W dan Siti Khadijah. 


Mereka kemudiannya hidup bahagia dan  berkat daripada perkahwinan tersebut,  Allah S.W.T telah mengurniakan mereka sebanyak enam cahaya mata.



Semoga kecintaan kita terhadap Nabi Muhammad S.A.W akan dapat kita tingkatkan dari semasa ke semasa serta mampu mengatasi cinta kita terhadap mahluk-mahluk Allah yang ada di dunia fana' ini..  Allahumma solli 'ala saidina Muhammad :")

1 comment:

  1. Kisah kehidupan baginda Rasulullah S.A.W adalah kisah kegemilangan, pengorbanan dan cinta yang tiada tandingannya.... Setiap langkah hidup baginda adalah satu pelajaran untuk kita...

    Semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripada kisah hidup baginda.. dan semoga hati kita sentiasa dipenuhi dengan cinta kepada Rasulullah S.A.W dan Allah S.W.T...

    Allahumma solli 'ala saidina Muhammad :")

    ReplyDelete