Kata Azimat

Kata Azimat
" Usaha itu Perlu, Doa itu Pembantu, Allah itu Penentu"... "Setiap Ilmu Yg Dipelajari perlu kepada Bimbingan Akal serta Panduan Iman Agar tidak tersasar dari Landasannya"... "Tiada tali yang paling erat selain tali silaturrahim, Tiada pintu yang pling kukuh selain pintu hati.., Tiada hutang yang pling berat selain hutang budi.., Tiada pemberian yang paling berharga selain memberi maaf"..."Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya selagi hamba- hambanyaNya mengingatinya"... "Setiap Ujian Yang Datang Daripada Allah.., Pasti akan ada hikmahnya..,Terpulang pada diri untuk menilainya"... "The More We Learn..., The More We Know that We Are So Stupid.."......"Ukhuwah yang dibina di antara kita biarlah seperti seutas tasbih..,, ada awal.., tiada penghujungnya,,,,, dicipta untuk mengingati-Nya...dibahagi untuk cinta-Nya..,, dan diratib demi keredhaan-Nya..Ukhuwah itu umpama ikatan tasbih.. Butir-butir tasbih mewakili roh-roh yang terjalin, manakala ikatan tali tasbih mewakili ukhuwah tersebut.. Sekiranya ikatan tersebut tidak diketahui dan terputus.., maka bercerailah roh-roh tersebut dan menjadi jauh..;')

Monday, April 11, 2011

Bertaubat! Nak Tunggu Sampai Bila...


Muqaddimah Bicara..

Sebagai insan biasa, manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa, lebih-lebih lagi terpaksa berhadapan dengan kehidupan hari ini yang penuh dengan fitnah hidup yang pelbagai. Namun, kita tidak seharusnya berdiam diri, kita perlu menghalangi diri dari terlibat sama dalam gejala dosa dan maksiat yang semakin berleluasa dini hari. Batasi dengan iman dan seringlah bertaubat, sesungguhnya kehidupan akhirat lebih indah dari yang terindah di dunia. Tuhan itu Maha Penerima Taubat, akan tetapi, ramai manusia pada hari ini yang seakan-akan tidak mahu kembali ke landasan iman yang sebenar dan terdapat juga segelintir manusia pada hari ini masih sukar untuk menerima hakikat kehidupan bahawa mereka hanyalah di taraf “hamba abdi” sahaja di bumi Allah ini.

Pengertian Taubat
Taubat dapat diertikan sebagai kembali kepada ajaran Allah S.W.T dengan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebahagian ulama’ mengertikan taubat sebagai kembali daripada jalan salah yang ditunjuki oleh syaitan kepada jalan yang sebenar berdasarkan kepada petunjuk daripada Allah Yang Maha Esa.
Menurut pendapat Ibnu Abbas r.a, yang dimaksudkan dengan taubat ialah :
Menyesal dengan hati, beristighfar dengan lidah dan berazam dengan azam yang kukuh di dalam hati bahawa tidak akan sesekali mengulangi perbuatan terkutuk itu lagi.
Jika seseorang telah bergelumang dengan perbuatan maksiat, iaitu perbuatan yang sentiasa didorong oleh nafsu syahwat dan syaitan,  dengan selalu meninggalkan perintah Allah S.W.T, maka setelah sedar dan insaf serta segera menyesali perbuatan itu lagi, maka barulah ini yang dikatakan dengan taubat yang sebenar-benarnya iaitu taubat Nasuha.


Syarat-syarat Bertaubat.
Setiap insan yang telah mengerjakan maksiat dan kezaliman terhadap penciptanya atau terhadap sesama mahluk-Nya, maka individu tersebut wajib bertaubat dengan segera tanpa melengah-lengahkannya.
Untuk memastikan taubat seseorang itu diterima oleh Allah S.W.T, maka ia harus memerhatikan syarat-syarat taubat yang sempurna. Menurut sebahagian ulama’, jika dosa itu berhubung-kait dengan Allah S.W.T, maka syaratnya adalah :
1)      Menghentikan maksiat pada masa itu juga dan tidak boleh ditangguh-tangguhkan.
2)   Menyesali perbuatan maksiat yang telah dilakukannya atas sebab keterlanjurannya. Bermula dari hari pertama sesudah seseorang itu melakukan perbuatan terkutuk itu  sehingga kepada akhir hayatnya.
3)  Niat bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi perbuatan itu lagi. Jika dosa itu berhubung-kait dengan manusia, maka taubat tersebut ditambah dengan syarat yang keempat:
4)     Menyelesaikan urusannya dengan manusia yang dianiaya atau dizalimi itu seperti meminta 
      maaf atau mengembalikan apa yang harus dikembalikan. 

Sepertimana Firman Allah Ta’ala di dalam Al-Quran yang mulia:
 “Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,”
                                                                              (Surah Asy-Syams :Ayat 9)

Justeru itu, marilah kita bersama-sama menghindarkan diri kita daripada sebarang perbuatan yang membawa kepada maksiat dan dosa sama ada terhadap Allah S.W.T atau sesama mahluk-Nya. Mudah-mudahan kita semua tergolong ke dalam kelompok orang-orang yang beriman dan beramal soleh. InsyaAllah. 

Sunday, April 10, 2011

Renungan Untuk sekalian Muslimin.


BEBERAPA IKTIBAR UNTUK REMAJA

Siapakah yang mengeluarkan moyang kita Adam dan isterinya Hawa dari syurga? Apakah yang menyebabkan mereka dipindahkan dari negeri kenikmatan ke negeri kesusahan dan kesakitan? Apakah kejadian yang berlaku bukan kerana dosa dan maksiat?
Apakah yang menyebabkan penduduk bumi ditenggelamkan, pada zaman Nabi Nuh a.s sehingga air sampai setinggi gunung? Malah anak Nabi Nuh a.s sendiri ikut serta karam kerana tidak dapat dibantu oleh ayahnya?. Tidak lain dan tidak bukan kerana dosa dan perbuatan yang terkutuk.
Apakah yang menyebabkan umat Nabi Hud a.s (kaum ‘Ad) dipukul angin taufan yang dahsyat sehingga mereka tercampak dan mati bertebaran di permukaan bumi?. Seolah-olah seperti tunggul kurma yang tumbang, rumah-rumah mereka binasa, begitu juga ternakan dan tanaman mereka hancur dan tidak dapat diselamatkan.
Akhirnya peristiwa yang menimpa diri dan harta mereka itu menjadi pengajaran dan perbandingan kepada umat-umat dunia sehingga ke hari kiamat.

Apakah yang menyebabkan terangkat kampung-kampung kaum Luth sehingga suara salakan anjing dapat di dengar oleh malaikat di langit, lalu Allah S.W.T membalikkan mereka, iaitu bumi yang sebelah ke bawah dan sebelah ke atas, lalu mereka semua dihancurkan diikuti hujan batu turun dari langit. Kepada umat Nabi Luth a.s ini dihimpunkan berbagai-bagai bencana yang belum pernah ditimpakan kepada kaum lain sebelum mereka. Kepada saudara-saudara mereka diturunkan seksa yang serupa. Mereka ini diseksa adalah disebabkan oleh dosa dan maksiat mereka juga.
Apakah yang menyebabkan kaum Nabi Syuib a.s ditimpa azab yang berupa gumpalan awan tebal, apabila sampai di atas kepala mereka, ia mengeluarkan api yang panas?. Lalu Allah S.W.T membinasakan mereka disebabkan dosa-dosa mereka.

Begitu juga kisah Fir’aun Laknatullah yang hidup pada zaman Nabi Musa dan Nabi Harun a.s. Fir’aun terlaknat bersama kaumnya karam di lautan hingga rohnya dikirim ke neraka Jahanam. Penyebabnya kerana beliau membesar diri, takabbur, menderhakai Allah S.W.T dan melakukan berbagai-bagai maksiat.
Begitu juga dengan Qarun setelah zaman Nabi Nuh a.s telah ditimpa dengan berbagai-bagai seksa hingga mereka hancur binasa penyebabnya juga kerana mereka menjerumuskan diri dengan berbagai-bagai maksiat.

Apakah yang menyebabkan diutus Bani Israel kaum yang degil dan keras, mereka melakukan kerosakan di muka bumi, membunuh kaum lelaki, menyeksa kaum wanita dan kanak-kanak, membakar rumah, mengambil harta-benda. Kemudian mereka dibangkitkan sekali lagi setelah dibinasakan, lalu mereka tetap merosakkan apa yang mereka rosakkan, mereka tetap juga binasakan apa yang mereka mahu binasakan. Apakah yang menyebabkan diturunkan kepada mereka berbagai-bagai seksaan, pertama dengan pembunuhan dan runtuhnya negeri, kedua dengaan kejahatan raja-raja serta pemimpin-pemimpin dan ketiga dengan kuasa tuhan, maka mereka telah bertukar mereka menjadi kera  dan babi.
Daripada kisah-kisah di atas, dapat dilihat bahawa umat-umat dan bangsa-bangsa terdahulu menerima balasan dosa-dosa yang mereka lakukan. Apa yang berlaku kepada mereka mungkin berlaku kepada kita jika kita mengamalkan dosa seperti yang mereka perbuat.

Keruntuhan dan kehancuran umat akan akan berlaku jika kita mengenepikan hukum-hukum Allah S.W.T, bersikap dengan sikap seperti orang-orang fasiq dan berbuat maksiat berterusan.
Ada ketikanya kita tenggelam dengan cara hidup jahiliyah yang lari dari lunas-lunas Islam seperti budaya liar diamalkan oleh remaja masa kini seperti menghabiskan masa di tempat-tempat hiburan, mengambil dadah, minum minuman keras, berpeleseran yang mana cara hidup yang kurang sihat ini boleh merosakkan masa depan remaja itu khususnya remaja Islam yang merupakan aset paling bernilai dalam memberi kemajuan terhadap agama yang suci ini.
Lebih dahsyat daripada itu ada juga insan yang melakukan  dosa dengan perasaan megah dan bangga, seperti pesta hari jadi yang dihiasi dengan berbagai-bagai kemungkaran, mabuk-mabuk dan berdansa sampai pagi, mereka bercampur-gaul dengan remaja yang lain yang bukan muhrim mereka, tidak ingat dengan batas-batas agama yang mereka anuti.

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar Bin Al-Khattab r.a : Aku termasuk seorang di kalangan Muhajirin bersama Rasulullah S.A.W dan baginda S,.A.W menoleh kepada kami seraya bersabda : Wahai para Muhajirin, ada empat perkara yang aku minta perlindungan daripada Allah S.W.T supaya kamu tidak ditimpanya :
Pertama : Apabila sesuatu kaum melakukan kejahatan dan menheboh-hebohkan perbuatan itu, maka mereka ditimpa penyakit taun dan penyakit yang belum pernah menimpa kaum sebelum mereka.
Kedua : Apabila sesuatu kaum mengurangi timbangan, maka mereka akan ditimpa bala’ bertahun-tahun, sukar mencari bahan makanan  dan mereka dipimpin oleh pemimpin yang jahat.
Ketiga : Apabila sesuatu kaum tidak menepati janji, maka Allah S.W.T akan membalas penipuan mereka dengan menjadikan mereka banyak musuh daripada orang-orang selain mereka, lalu musuh itu mengambil barang yang ada di tangan mereka.
Keempat : Apabila  imam-imam mereka tidak mengamalkan isi Al-Quran, maka Allah akan menurunkan seksa di kalangan mereka. Keinginan untuk menjadi umat yang jauh daripada malapetaka tidak akan tercapai tanpa ada usaha ke arah itu, iaitu mengamalkan aturan-aturan yang ditetapkan oleh Allah S.W.T dan menjauhkan diri daripada segala bentuk dosa dan maksiat.
Ingatlah Allah S.W.T tidak akn mengubah nasib sesuatu kaum, jika kaum itu tidak mahu mengubah nasibnya sendiri sama ada dari segi pekerjaan, ahlak, perkataan serta pemikiran mereka yang mereka amalkan selama ini.
Contohnya di negeri Mekah sendiri. Allah S.W.T memuliakan negeri tersebut, menjadikan satu model hasanah, iaitu sebuah negeri yag aman dan tenteram, bahan makanan mudah didapati dan melimpah-ruah. Tetapi apabila penduduk memerangi Rasulullah S.A.W mereka mengingkari dakwahnya dan mengkufuri nikmat yang dianugerahkan Allah S.W.T maka Allah mengubah keadaan , daripada senang menjadi susah, ditimpakan kelaparan dan ketakutan kepada umatnya. Inilah akibatnya tindak-tanduk perbuatan mereka dan mengingkari perintah Allah S.W.T dan memerangi Rasullulah S.A.W.

Di dalam Al-Quran dinyatakan keburukan-keburukan yang dilakukan oleh orang-orang musyrik.
Allah S.W.T berfirman yang maksudnya :
Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyak generasi yang Telah kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) Telah kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, yaitu keteguhan yang belum pernah kami berikan kepadamu, dan kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, Kemudian kami binasakan mereka Karena dosa mereka sendiri, dan kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain.
                                                                                         (Surah Al-An’am : Ayat 6)
Keengganan seseorang itu mensyukuri nikmat, akan mengakibatkan hilangnya nikmat itu. Jika seseorang hamba itu sentiasa taat kepada Allah S.W.T dan mensyukuri nikmat-nikmat-pemberian-Nya, maka sudah pastilah akan menyebabkan terpeliharanya nikmat tersebut serta akan bertambah rezeki dengan melimpah-ruah sesuai dengan kehendak Allah S.W.T.
Jika bertambah kesyukuran kita terhadap Allah S.W.T, maka akan bertambah nikmat-nikmat kurniaan Allah S.W.T kepada umat manusia. Segala aspek kehidupan umat terdahulu, mendapat perhatian orang-orang yang ingin memperolehi iktibar dan dijadikan renungan untuk menilai keadaan masa kini.

Seandainya mereka berpaling dari Allah SW.T dengan mengenepikan ajaran-ajaran Allah S.W.T serta menukar nilai yang mulia kepada nilai yang tercela, mengikut hawa nafsu dan hati mereka terpesong dari kebenaran. Maka, dengan itu kesenangan akan menjadi kesusahan. Kekayaan akan menjadi kemiskinan, kesatuan akan menjadi perpecahan, kebaikan akan menjadi keburukan, keamanan akan menjadi ketakutan, inilah azab Allah S.W.T kepada mereka yang ingkar.
Jika umat itu berada dalam kenikmatan dan kesenangan kemudian nikmat itu hilang daripada dirinya, ini menandakan mereka itu telah melakukan kemungkaran. Selain tertegah daripada memperolehi rezeki, orang membuat maksiat dan berdosa tidak akan merasa nikmat kelazatan ibadahnya
An-Nasa’I, Ibnu Majah, hmad, Abu Ya’la dan selain mereka meriwayatkan bahawa nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda yang maksudnya :
“Sesungguhnya seseorang terhalang daripada rezeki kerana dosa yang diperbuatnya.”

Hati Yang Mati Apa Sebabnya?
Ibrahim bin Adham pernah ditanya : “Apa sebabnya doa kami tidak diperkenankan? Sedangkan Allah S.W.T telah menjanjikan bahawa orang yang berdoa akan diperkenankan-Nya?”
Ibrahim bin Adham menjawab : “Sebab hati kamu telah mati.”
“Apa yang menyebabkan hati kami mati?” Tanya mereka lagi.
Ibrahim bin  Adham  menjawab : “Kerana lapan perkara.” :
1)      Kamu mengetahui hak Allah, tetapi kamu tidak melaksanakannya.
2)      Kamu baca Al-Quran tetapi tidak mengamalkan isi Al-Quran ke dalam kehidupan
3)      Kamu katakan Cinta terhadap Rasulullah S.A.W tetapi tidak mengetahui sunnahnya.
4)      Kamu katakan bahawa kamu takut kepada kematian tetapi tidak bersedia untuk menghadapinya.
5)      Kamu mengetahui bahawa Syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu tetapi kamu masih lagi menurut jejak-langkahnya.
6)      Kamu katakan bahawa kamu amat takut terhadap api neraka tetapi kamu sengaja seakan-akan mencampakkan diri ke dalamnya.
7)      Kamu katakan kamu amat menyukai syurga Allah tetapi tidak berusaha untuk masuk ke dalamnya.
8)      Kamu bangkit dari tempat tidur lalu kamu sembunyikan aib-aib kamu sedangkan aib-aib orang lain kamu bentangkan di hadapan kamu.
  

Saturday, April 9, 2011

Kenali Diri Kita Sebagai Hamba..!!


Renungi asal kejadian kita.

Salam Muqaddimah
Apabila kita melihat dan merenungkan kembali alam fikiran manusia dari abad ke abad, maka sangat banyak gambaran dan ungkapan tentang taraf kebahagiaan. Maka, jalan yang paling tepat ialah kembali ke jalan yang ditunjuki Allah dan meninggalkan jalan yang dibimbing oleh syaitan.
Maka jalan Allah sahajalah yang boleh membawa kepada kebahagiaan sebagaimana Firman Allah sendiri yang bermaksud :
“…….. dan kesejahteraan adalah bagi siapa yang mengikuti petunjuk.”
                                                                                               (Surah Taha : 47)
Iman adalah faktor utama yang mendorong seseorang untuk mencapai bahagia. Sebaliknya tanpa iman, seseorang tidak mungkin dapat menemukan dan mengecapi kebahagiaan sejati.
Selagi mana manusia masih belum beriman dan bertaubat kepada Allah, selama itulah hatinya resah, gelisah, cemas dan dukacita. Orang mukmin sejati merasakan iman dan taubat sebagai perhiasan yang indah dan agung dalam jiwanya, iman dan taubat tidak akan terlepas dari hatinya kerana sememangnya ia adalah sesuatu yang paling bernilai dalam diri setiap orang mukmin.
Dengan istighfar dan taubat yang bersungguh-sungguh (nasuha) dan memenuhi segala syarat-syarat penerimaan taubat, maka insyaAllah Allah akan memasukkan mereka ke dalam golongan hamba-hamba-Nya yang soleh dan mendapat ganjaran Jannatun Na’im.

Siapa Diri Kita Sebenarnya ?
Mari kita renung sendiri dalam mencari pengertian sebenarnya sebagai insan di dunia ini. Bagaimanakah asal kejadian kita dan mengapa kita dijadikan? Allah S.W.T yang mencipta kita dengan sebaik-baik kejadian, kita dijadikan dari setitik air mani dan kemudian ditanamkan ke dalam rahim perempuan, iaitu ibu kita.
Allah sahaja yang mampu memberikan kita keperluan untuk kita terus hidup di alam rahim dan memberi kita peluang yang amat berharga untuk keluar melihat dunia ciptaan-Nya ini. Allah S.W.T jualah yang mengurniakan kita dengan akal fikiran dan pancaindera yang lengkap.
Dan dengan hanya menggunakan akal yang Allah S.W.T kurniakan itu jugalah, manusia mampu menjadi raja, menteri, ahli fikir, profesor, doktor, juruteknik, pensyarah, guru, pekerja am dan lain-lain lagi. Dengan akal fikiran juga manusia telah berjaya meratakan gunung, meneroka angkasa, menyelam di dasar lautan dan manusia mampu untuk meneroka bumi dengan semahu-mahunya.
Tetapi kita tidak selama-lamanya begitu, kelak suatu masa nanti, kematian pasti akan menjemput kita kerana kita sememangnya tidak kekal abadi di dunia ini. Akhirnya kita kita pasti akan merasai mati. Kenapa tidak dilarang kematian itu?. Tidak mungkin, Tuhan mengkehendaki kita mati seperti Tuhan mengkehendaki kita lahir di dunia ini.
Kita ada kemahuan. Berkuasakah kita memenuhi dan mencapai kemahuan itu?. Bolehkah manusia mengelakkan diri daripada ditimpa kesakitan?. Pada hakikatnya manusia tidak mahu sakit tetapi sakit juga. Apabila mengalami kesakitan, manusia berharap akan cepat sembuh, kadang-kala diharapkan  sembuh seminggu, tetapi akhirnya jadi sebulan, begitulah keadaan manusia yang sentiasa tertakluk di bawah kekuasaan Allah.
Begitu juga dengan kaya dan miskin, Orang miskin hendak jadi kaya tetapi tidak juga kaya, kita memang tidak boleh lari dari kehendak dan ketentuan Allah SWT kerana ianya lebih utama dari kehendak kita.
Begitu lemahnya manusia sebagai mahluk ciptaan Tuhan. Sesudah berfikir dan membuat kesimpulan, sewajarnya manusia harus celik mata hati untuk terus merasakan kewujudan dan kemurahan dari kekuasaan Allah SWT selaku Khaliq (pencipta) kita dan sedar bahawa pada hakikatnya kita adalah merupakan hamba-Nya.
Hati yang celik akan menyedarkan akal tentang perlunya Allah SWT itu disembah dan seterusnya mengarahkan kaki, tangan, dan seluruh anggota zahir menunaikan perintah Allah dan berhenti mengerjakan larangan-Nya.
Kita sebagai manusia serta mahluk ciptaan-Nya haruslah sentiasa berfikir bahawa betapa kerdilnya kita di sisi Allah SWT. Maka dengan hal yang demikian, sudah pastinya hati kita ini akan mudah menjadi lembut serta sentiasa patuh terhadap tanggungjawab kita sebagai hamba dan khalifah-Nya di bumi ini.

Tuesday, February 22, 2011

"Riwayat Hidup S.A.W"



Pengucapan Diri Ana :
Assalamualaikum w.b.t… pada kali ini saya akan kembali menyambung kisah kehidupan  Nabi Muhammad SAW dan mengenang kembali peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam jangka waktu sebelum, ketika dan selepas baginda menjadi nabi. Semoga dengan memperingati baginda SAW, maka umat Islam keseluruhannya akan lebih menghayati keindahan Islam serta mampu mengadaptasikan nilai-nilai islam yang syumul ke dalam setiap aspek kehidupan seharian. InsyaAllah.. (^_^)



KEHIDUPAN NABI MUHAMMAD SAW SELEPAS MEN JADI NABI
Ketika masih bayi, Muhammad dipelihara oleh ibu susuannya, Halimah Saadiah. Halimah mengasihi Nabi Muhammad lebih dari anaknya sendiri. Sejak Nabi Muhammad tinggal bersamanya, pintu rezeki Halimah sentiasa terbuka luas. Kehadiran Nabi Muhammad SAW membawa keberkatan kepada seluruh keluarga Halimah. Mereka tinggal di perkampungan Saad dan Nabi Muhammad berada di sana selama 2 tahun. Setelah sempurna tempoh itu, keluarga Halimah membawa Nabi Muhammad menemui ibunya. Halimah Saadiah merayu kepada bonda Nabi Muhammad agar mengizinkan baginda tinggal bersamanya lebih lama lagi. Permintaannya dikabulkan dan Nabi Muhammad kembali semula ke pangkuan Bani Saad.
Pada suatu hari, ketika baginda masih di bawah asuhan Halimah Saadiah di bawah Bani Saad, Nabi telah didatangi oleh dua orang mailaikat. Malaikat yang berkunjung itu diutuskan oleh Tuhan untuk membelah dada baginda SAW dan membersihkannya dari segala kekotoran hati atau tabiat buruk sebagai persiapan untuk menerima Risalah Ilahi di kemudian hari. Selama tinggal di perkampungan Bani Saad, Nabi Muhammad SAW memelihara kambing kepunyaan Halimah Saadiah bersama saudara sesusuannya.
Ketika baginda berumur enam tahun, bondanya membawanya  ke Madinah. Di sana mereka menziarahi saudara ayahnya dan turut berkesempatan untuk menziarahi ke makam ayahandanya, Abdullah bin Abdul Muttalib. Bagaimanapun, bondanya telah wafat semasa perjalanan ke Mekah dan telah dikebumikan di satu yang bernama Abwa’. Nabi Muhammad yang tidak sempat mengenali ayahandanya kini telah kehilangan pula ibu tempat bermanja. Baginda menjadi yatim piatu  dalam usia yang terlalu muda. Kematian kedua ibu bapanya merupakan ujian Allah SWT terhadap bakal pesuruhNya agar terdidik  dengan sifat tabah dan sabar.

Setelah kematian ibuya pula, Nabi tinggal bersama datuknya, Abdul Muttalib. Abdul Muttalib telah memelihara baginda dengan penuh rasa kasih-sayang. Namun, datuknya sempat memanjakan baginda hanya dalam tempoh dua tahun sahaja. Sekali lagi Nabi Muhammad kehilangan orang yang dikasihinya apabila Abdul Muttalib meninggal dunia. Menurut wasiat Abdul Muttalib semasa hayatnya, Muhammad hendaklah dipelihara oleh bapa saudaranya, Abu Talib setelah sepeninggalannya dari dunia. Keberkatan yang terdapat pada diri Muhammad, bakal utusan Allah itu telah mengubah corak kehidupan Abu Talib dan sesiapa sahaja yang mendampingi baginda. Seperti keluarga Halimah, keluarga Abu Talib yang menjadi miskin itu telah menjadi senang.
Abu Talib adalah seorang peniaga. Pada suatu hari, dia merancang untuk ke Syam dan berniaga di sana. Abu Talib membawa Nabi Muhammad SAW yang berumur sembilan tahun bersama kafilah dagangannya. Setibanya di Kota Busra, mereka menemui seorang Rahib Nasrani bernama Buhaira yang gemar menyediakan jamuan untuk setiap kafilah yang melalui kawasannya. Rahib tersebut menyambut kedataangan kafilah Abu Talib dengan cara yang luar biasa. Rahib itu mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan Nabi Muhammad. Beliau melihat tanda-tanda kenabian Muhammad. Beliau melihat tanda-tanda kenabian pada kanak-kanak yang bernama Muhammad itu berdasarkan maklumat yang diperoleh dari kitab Injil.

Beliau yakin bahawa baginda baginda adalah nabi terakhir dari segala nabi yang diutuskan kepada umat manusia yang ditunggu-tunggu itu. Rahib itu berkata kepada Abu Talib, “Bawalah pulang anak saudaramu itu (Muhammad). Jangan sampai anak kecil itu ditemui oleh orang-orang Yahudi agar beliau tidak dibunuh. Anak kecil kecil itu kelak itu kelak akan menjadi Nabi Akhir Zaman”. Apabila Abu Talib mendengar ucapan ikhlas Rahib itu, beliau segera membawa Nabi Muhammad pulang ke Mekah untuk mengelakkan dari berlaku hal-hal yang tidak diingini.

Nabi Muhammad dan semua para rasul dilengkapi dengan sifat-sifat terpuji dan mereka terpelihara dari melakukan dosa (maksum). Mereka adalah sebaik-baik manusia dari kalangan kaumnya. Sejak kecil lagi Allah telah memelihara segala kelakuan Nabi Muhammad dari perbuatan-perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah dan merosakkan peribadinya. Di kalangan masyarakatnya, baginda dikenali sebagai “Al-Amin” iaitu orang yang tidak berdusta dan boleh dipercayai. Baginda suka menolong orang yang lemah, sering menyampaikan hajat orang lain dan sentiasa menghormati tetamu. Baginda sentiasa terlatih dengan kehidupan yang serba sederhana dan mencari rezeki hasil daripada titik peluhnya sendiri. Sehingga di zaman remajanya, baginda pernah mengambil upah mengembala kambing milik orang-orang Quraisy. Pekerjaan ini mendidik baginda agar bertanggungjawab, mengasihani golongan yang lemah dan bersabar menghadapi ragam kehidupan.

Nabi Muhammad telah berkahwin pada ketika umurnya dua puluh lima tahun dengan Siti Khadijah Binti Khuwalid. Siti Khadijah adalah wanita ternama yang mempunyai kedudukan tinggi di tengah-tengah masyarkat Quraisy. Siti Khadijah merupakan bekas isteri seorang pemuda bangsa Quraisy yang bernama Abu Hala. Sewaktu berkahwin dengan Nabi Muhammad SAW, Siti Khadijah berusia empat puluh tahun. Sebagai wanita hartawan yang suka berdagang, Siti Khadijah sering mengirim orang-orang kepercayaannya untuk memperniagakan barangbaran perniagaannya di Syam. Pada awalnya, Siti Khadijah telah mendengar tentang keperibadian Nabi yang terkenal dengan sifat jujur dan amanahnya, jadi beliau tertarik dan ingin menjadikan Muhammad SAW untuk menguruskan perniagaan bersama Maisara ke Syam. Maisara sangat takjub dengan keluhuran dan ketinggian budi pekerti yang dipamerkan ole Nabi SAW, lantas menceritakan kepada Siti Khadijah. Dari berita yang disampaikan ini, maka Siti Khadijah kemudiannya berkenan untuk mempersuamikannya.
Sebelum itu, telah ramai para hartawan bangsa Quraisy datang meminang Siti Khadijah tetapi ditolak. Siti Khadijah kemudiannya menghantar wakilnya menemui Abu Talib untuk menyatakan hasratnya itu. Abu Talib segera memanjangkan perkhabaran itu kepada Nabi Muhammad dan baginda menyuarakan persetujuannya. Lalu, Abu Talib pun menghantar rombongan peminangan baginda Nabi Muhammad Saw dan akhirnya terbinalah sebuah ikatan perkahwinan antara Nabi Muhammad SAW dan Siti Khadijah. Mereka kemudiannya hidup bahagia dan  berkat daripada perkahwinan tersebut,  Allah telah mengurniakan mereka sebanyak enam cahaya mata.

Semoga kecintaan kita terhadap Nabi Muhammad SAW akan dapat kita tingkatkan dari semasa ke semasa serta mampu mengatasi cinta kita terhadap mahluk-mahluk Allah yang ada di dunia fana ini.. InsyaAllah... (>_<)

Sunday, February 13, 2011

"Muhammad Tercinta"


Pengucapan Diri Ana :

Assalamualaikum… pada kali ini kita akan bersama-sama menyingkap kembali sejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW dan mengenang kembali peristiwa-peristiwa bermakna yang menyusul seiring dengan kelahiran baginda ke dunia ini. Secara kebetulan pula, pada keesokan harinya kita (umat Islam) keseluruhannya akan menyambut sambutan yang paling dinanti-nantikan iaitu “Maulidur Rasul”. Sambutan ini amat penting bagi memperingati ulang tahun kelahiran insan yang amat-amat kita kasihi, cintai dan rindui merangkap kekasih Ilahi iaitu Muhammad SAW. Semoga dengan memperingati baginda SAW, maka umat Islam keseluruhannya akan lebih menghayati keindahan Islam serta mampu mengadaptasikan nilai-nilai islam yang syumul ke dalam setiap aspek kehidupan seharian. InsyaAllah.. (^_^)


Kelahiran Nabi Muhammad SAW

Telah menjadi kebiasaan bagi masyarakat di Jazirah Arab, mereka sememangnya akan bertumpu di kawasan yang mudah didapati air. Sebagai sebuah tempat kafilah-kafilah dagangan, Mekah sering dikunjungi untuk mendapatkan bekalan air daripada telaga zamzam. Penduduk Mekah semakin bertambah dan akhirnya ia muncullah sebagai sebuah kota yang masyhur. Mekah menjadi pusat perdagangan dan mencapai kemajuan yang tinggi. Penduduknya hidup mewah dan sering berfoya-foya.

Ketika itu, Mekah ditadbir oleh suku Jurhum dari keturunan Nabi Ismail a.s. Kemakmuran dan kemajuan Kota Mekah menimbulkan rasa iri hati kepada bangsa-bangsa lain. Bangsa Amalekit dan kabilah Khuzaah berusaha merebut kekuasaan di Kota Mekah. Mereka berjaya menyingkirkan suku Jurhum dan mengambil alih pentadbiran di Mekah.
Kedudukan keturunan Nabi Ismail a.s dan suku Jurhum semakin lemah. Mereka keluar dari kota Mekah di bawah pimpinan Muzaz Bin Amr bin Harith. Sebelum meninggalkan Kota Mekah, Muzaz menanam dua buah pangkal pelana emas dan sebilah pedang di dasar telaga air zamzam dengan tujuan menjadikannya sebagai tanda apabila telaga zamzam itu ingin digali semula.

Mekah berada di bawah penguasaan kabilah Khuzaah untuk jangka waktu yang lama. Qusai bin Kilab, moyang nabi Muhammad SAW yang berasal dari suku Jurhum merupakan orang yang sangat berpengaruh di Kota Mekah dan mempunyai pengikut yang ramai. Berbekalkan dengan sokongan padu daripada penduduk Mekah, beliau menerajui pimpinan Kota Mekah dan berjaya menewaskan kabilah Khuzaah. Kunci Kaabah diserahkan kepadanya dan penduduk Mekah menghormatinya sebagai ketua pemimpin. Pada zaman pemerintahan Qusai, Mekah semakin pesat berkembang hingga menjadi sebuah kota yang teratur dan maju.


Qusai mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Abdul Dar dan Abdul Manaf. Keturunan Abdul dar mewarisi tugas ayahnya dengan memegang kunci Kaabah dan bertindak sebagai pemimpin Di Mekah. Keturunan Abdul Manaf iaitu Hisyam, Abdul Syams, Mutalib dan Naufal berhasrat untuk turut serta mentadbir Kota Mekah. Perselisihan terjadi antara keturunan Abdul Dar dan Abdul Manaf. Akhirnya mereka mencapai kata sepakat untuk membahagikan tugas pentadbiran Kota Mekah. Keluarga Abdul Manaf diberi tugas menyediakan minuman (saqoyah) dan makanan (rifadah) kepada para tetamu yang mengunjungi Baitullah untuk mengerjakan ibadat haji. Keluarga Abdul Dar yang memegang kuci Kaabah telah ditugaskan menyediakan panji-panji perang dalam menyeliakan perhimpunan-perhimpunan. Keadaan ini berterusan sehinggalah kedatangan Islam ke Kota Mekah.

Abdul Muttalib menggantikan tugas Hasyim sebagai penyelia makanan dan minuman bagi jemaah haji. Sebagai seorang tokoh pemimpin yang berwibawa, beliau sangat disanjung tinggi lebih daripada datuknya, Qusai. Abdul Mutalib mempunyai sepuluh orang anak lelaki., dan berjanji akan mengorbankan seorang daripada anaknya untuk menunaikan nazarnya dengan cara melalui proses undian. Maka, hendak diringkaskan cerita, undian telah dijalankan dan mengikut daripada keputusannya, Abdullah yang patut disembelih. Abdul Muttalib meminta nasihat daripada pendeta wanita di Yathrib untuk menebus nyawa Abdullah. Menurut saranan pendeta itu, Abdul Muttalib mestilah mengorbankan seratus seekor unta sebagai tebusan bagi nyawa anak bongsunya itu.


Tidak lama kemudian, Abdullah telah dijodohkan dengan Aminah binti Wahab. Beberapa bulan selepas perkahwinannya, Abdullah mengikut kafilah dagang yang berniaga di Syam. Sekembalinya dari Syam, Abdullah singgah di Yathrib brtujuan untuk menziarahi saudara ibunya. Sewaktu persiapan pulang ke Mekah sedang diuruskan, Abdullah telah jatuh sakit secara tiba-tiba. Kafilah dagang kembali ke Mekah dan meninggalkan Abdullah yang dirawat di Madinah. Abdul Mutalib menerima berita keuzuran Abdullah dengan perasaan yang cemas. Dia mengarahkan anak sulungnya Harith, menjemput Abdullah. Bagaimanapun kedatangan Harith terlewat kerana Abdullah telah pun meninggal dunia sebelum sempat ia menemuinya. Abdullah telah dikebumikan oleh sanak saudaranya di Madinah.

Aminah yang sedang mengandung enam bulan berasa sangat sedih apabila mendengarkan berita kematian suaminya, Abdullah. Bayi yang akan dilahirkan sudah tentu tidak akan berpeluang melihat wajah ayahnya. Jiwa Abdul Muttalib juga terseksa dengan kematian Abdullah, anak yang paling disayanginya. Beliau juga pernah mengorbankan seratus ekor unta semata-mata mahu menebus nyawa seseorang apabila sampai waktu ajalnya.

Abdullah meninggalkan lima ekor unta, beberapa ekor kambing dan seorang hamba perempuan bernama Ummu Aiman. Aminah tinggal di rumah mertuanya Abdul Muttalib. Ketika itu, Aminah masih menunggu saat kelahiran bayinya, bayi yang akan membawa rahmat untuk sekalian alam ini. Abdul Muttalib pula lebih banyak menghabiskan masa di Ka’bah daripada di rumahnya. 


Pada suatu hari, beliau bermimpi tentang telaga zamzam yang telah ditimbus oleh Muzaz pada suatu ketika dahulu. Usaha mencari telaga zamzam telah dijalankan dan akhirnya beliau berjaya menemuinya. Dengan penemuan telaga zamzam itu, semangat kerja Abdul Muttalib semakin tinggi dan kedudukannya di tengah-tengah masyarakat Mekah semakin kukuh. Pelana emas dan pedang yang ditanam oleh Muzaz suatu ketika dahulu digunakan untuk menghiasi Ka’bah. Pelana emas dan pedang yang ditanam oleh Muzaz didasar telaga zamzam itu digunakan untuk menghiasi Ka’bah.
Pada hari Isnin tanggal 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masihi, bayi yang dikandung oleh Aminah selamat dilahirkan. Tanpa rasa sakit, Aminah telah selamat melahirkan seorang bayi yang sihat dan cemerlang wajahnya. Berita gembira itu segera dikhabarkan kepada Abdul Muttalib yang sedang berada di Ka’bah. Abdul Mutalib sungguh gembira menerima kehadiran seorang cucu lelaki hasil zuriat anak kesayangannya.

Beliau bergegas pulang untuk melihat cucunya. Bayi suci it terus didukung dan dibawa ke Ka’bah. Dengan penuh rasa kesyukuran Abdul Mutalib berkata : “Aku namakan engkau dengan nama Muhammad yang bererti ‘terpuji’. Sebelum itu, nama Muhammad tidak pernah digunakan oleh sesiapa pun. Abdul Muttalib menunjukkan cucunya kepada orang ramai dan mengumumkan namanya. Seterusnya Abdul Muttalib berkata, “Aku ingin Muhammad menjadi orang yang terpuji di sisi Tuhan langit dan bumi”. Pada hari ketujuh selepas kelahiran Muhammad, Abdul Mutalib telah mengorbankan seekor unta dan menjamu para pemimpin Quraisy.


Tidak lama selepas itu, Muhammad diserahkan kepada Halimah Sa’diah daripada keluarga Bani Saad untuk disusui. Adalah menjadi suatu adat bagi golongan bangsawan Quraisy menyerahkan anak yang baru dilahirkan kepada wanita kampung untuk disusui supaya anak itu tahan lasak serta mampu menempuh segala rintangan alam. Keadaan penghidupan di kampung juga tampak lebih sesuai untuk pertumbuhan anak kecil dan bahasa yang digunakan adalah lebih fasih. Semenjak itu, Muhammad tinggal bersama ibu susunya Halimah Sa’diah dan dan diasuh oleh Sayima, saudara susuannya.

Pada tahun kelahiran Muhammad, Abrahah dan tenteranya menuju ke Mekah dengan niat jahatnya hendak meruntuhkan Ka’bah. Abrahah adalah seorang Nasrani dari Habsyah dan dia telah berjaya mendirikan sebuah kerajaan di Yaman. Abrahah mendapati orang-orang Arab dari seluruh jazirah Arab berhimpun di Mekah pada setiap tahun untuk mengunjungi Kaabah. Dengan niat mahu menyaingi kehebatan Kaabah, Abrahah telah membina sebuah gereja besar dan indah di Sanaa, ibu Kota Yaman. Dia berharap langkah ini dapat mengalihkan tumpuan bangsa Arab dari Kaabah ke gereja yang dibinanya, ‘Al-Qalish’. 

Malangnya percubaan itu bukan sahaja tidak berjaya, malahan orang-orang Arab semakin ramai mengunjungi Ka’bah yang dibina oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. Akhirnya Abrahah mengambil keputusan untuk membawa bala tenteranya yang bergajah untuk meruntuhkan Ka’bah dengan harapan orang-orang Arab tidak akan ke Mekah lagi sekiranya Ka’bah telah musnah.

Bagaimanapun sewaktu dalam perjalanan mereka menuju ke Mekah, terdapat beberapa kabilah Arab yang cuba menghalang kemaraan tentera Abrahah tetapi tidak berjaya. Masyarakat Arab sangat menyanjung tinggi Kaabah yang mulia tetapi mereka masih tidak mampu menghalang pasukan tentera Abrahah yang gagah itu. Masyarakat Arab yakin Ka’bah mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Mereka terdidik sejak kecil supaya memuliakan rumah Allah itu. Kini, mereka tidak ada jalan lain umtuk menyelamatkan Kaabah kecuali berserah sahaja kepada Allah.


Apabila pasukan tentera bergajah pimpinan Abrahah telah hampir di kota Mekah, mereka bersiap sedia hendak menggempur Kaabah. Semua gajah yang ditunggangi dihalakan di kaabah tetapi gajah-gajah itu duduk dan enggan bergerak walaupun telah dipukul. Kemudian gajah-gajah itu dihalakan ke Yaman. Bagaimanapun, kesemuanya lari pulang dan menuju kea rah selatan. Dalam keadaan kelam-kabut itu, Allah yang Maha berkuasa ke atas sekalian alam telah mengutuskan sejumah burung dari laut dengan membawa batu di muncung masing-masing. Batu-batu itu apabila dilemparkan sahaja ke atas musuhnya maka, terbakarlah seluruh badan mereka sehingga hangus. Tentera-tentera Abrahah lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri tetapi kesemuanya mati di tengah jalan. Abrahah mengalami nasib yang sama apabila badannya gugur sedikit demi sedikit sebelum mati di dala keadaan seperti dedaun yang dimakan dek ulat. Dengan musnahnya tentera Abrahah, keciintaan masyarakat Arab terhadap kaabah semakin meningkat. Peristiwa itu menggambarkan kebesaran Allah dan juga merupakan tanda bahawasanya akan muncullah seorang nabi akhir zaman nanti. Sempena kejadian bersejarah itu, menggambarkan masyarakat Arab menamakan tahun tersebut sebagai ‘Tahun Gajah’ bersempena dengan mengingati peristiwa yang amat-amat dahsyat sekali.


Semoga bibit-bibit mahabbah (kecintaan) kita terhadap Nabi Muhammad SAW akan dapat kita tingkatkan dari semasa ke semasa serta mampu mengatasi cinta kita terhadap mahluk-mahluk Allah yang ada di dunia fana ini..@_@