Kata Azimat

Kata Azimat
" Usaha itu Perlu, Doa itu Pembantu, Allah itu Penentu"... "Setiap Ilmu Yg Dipelajari perlu kepada Bimbingan Akal serta Panduan Iman Agar tidak tersasar dari Landasannya"... "Tiada tali yang paling erat selain tali silaturrahim, Tiada pintu yang pling kukuh selain pintu hati.., Tiada hutang yang pling berat selain hutang budi.., Tiada pemberian yang paling berharga selain memberi maaf"..."Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya selagi hamba- hambanyaNya mengingatinya"... "Setiap Ujian Yang Datang Daripada Allah.., Pasti akan ada hikmahnya..,Terpulang pada diri untuk menilainya"... "The More We Learn..., The More We Know that We Are So Stupid.."......"Ukhuwah yang dibina di antara kita biarlah seperti seutas tasbih..,, ada awal.., tiada penghujungnya,,,,, dicipta untuk mengingati-Nya...dibahagi untuk cinta-Nya..,, dan diratib demi keredhaan-Nya..Ukhuwah itu umpama ikatan tasbih.. Butir-butir tasbih mewakili roh-roh yang terjalin, manakala ikatan tali tasbih mewakili ukhuwah tersebut.. Sekiranya ikatan tersebut tidak diketahui dan terputus.., maka bercerailah roh-roh tersebut dan menjadi jauh..;')

Monday, December 8, 2025

 

Umat Islam Mengikuti Langkah-langkah Yahudi dan Nasrani


Hadis Akhir Zaman

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. berkata: Bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?”. Nabi s.a.w. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”.

                                                                                              (H.R. Muslim)


Keterangan

Umat Islam akan mengikuti jejak langkah ataupun cara hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani, hinggalah dalam urusan yang kecil dan perkara-perkara yang tidak munasabah. Contohnya, jikalau orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus mengikuti mereka.


Zaman sekarang ini kita dapat lihat kebenaran kata-kata Nabi Muhammad S.A.W ini. Ramai orang Islam yang kehilangan pegangan di dalam kehidupan mereka. Mereka banyak meniru cara hidup Yahudi dan Nasrani sama ada mereka sedar ataupun tidak.


Ramai orang Islam yang telah terperangkap dengan tipu helah orang Yahudi dan Nasrani dan ramai pula orang Islam yang menjadi alat dan tali barut mereka. Nauzubillah…

Lihatlah cara hidup kita, dari segi pemakanan, pemakaian, pergaulan, pertuturan hinggalah dalam segala urusan kehidupan kita telah banyak dipengaruhi cara hidup mereka. Di manakah al-Quran dan As-sunnah dalam menjadi panduan hidup kita?


Adakah dek kerana kita tidak memahami atau mengetahui sumber utama Islam ini menjadikan kita jauh dari nilai-nilai Islam sebenar? Apakah usaha kita? Jangan menyesal di kemudian hari. Jadilah golongan manusia yang sedikit bilangannya namun memberi manfaat yang besar kepada agama Islam.

Ya Allah! Selamatkanlah kami daripada tipu daya Yahudi dan Nasrani….

Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :’)

 Ilmu Agama Akan Beransur-ansur Hilang



Hadis Akhir Zaman

Daripada Abdullah bin Amr bin ‘ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bahawasanya Allah s.w.t. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah s.w.t. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama’. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”

                                                                                                (H.R. Muslim)


Keterangan

Sekarang ini bilangan alim ulama’ sudah berkurangan. Satu demi satu pergi meninggalkan kita. Kalau peribahasa Melayu mengatakan “patah tumbuh, hilang berganti”, peribahasa ini tidak tepat berlaku kepada alim ulama’.



Mereka patah payah tumbuh dan hilang payah diganti. Sampailah suatu saat nanti permukaan bumi ini akan kosong tanpa alim ulama’. Maka pada hari itu, sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini lagi. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah hilang pegangan hidup dan bergelumang dengan dosa (kemungkaran).


Sebenarnya, alim ulama’ lah yang memberikan erti pada kehidupan manusia di muka bumi ini. Maka apabila mereka telah pupus, hilanglah segala sesuatu yang bernilai. Di akhir-akhir ini, telah banyak peristiwa-peristiwa yang menunjukkan hampirnya zaman yang dimaksudkan Nabi Muhammad S.A.W tadi. Di mana bilangan alim ulama’ hanya tinggal sedikit dan usaha untuk melahirkannya pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.


Malah mungkin nisbah nya kepada manusia biasa lebih kecil berbanding nisbah doktor kepada manusia biasa. Sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian golongan cerdik pandai malah anak-anak muda sekalipun.


Mereka mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang meraih keuntungan harta benda dunia semata-mata. Tidak menitikberatkan ilmu akhirat (agama). Inilah realiti kehidupan masyarakat kita pada hari ini.



Tuntutlah ilmu walaupun hingga ke liang lahad. Ilmu agama dan dunia sama-sama dituntut. Jangan hanya mementingkan ilmu dunia. Tidak salah kejar ilmu dunia, namun yang salahnya ialah kita tinggal belajar ilmu akhirat. Kehidupan di akhirat adalah kekal, manakala kehidupan di dunia hanya sementara. Ramai manusia mengejar yang sementara berbanding yang kekal selamanya... Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :’)

Sunday, December 7, 2025

 

Seluruh Dunia Datang Mengerumuni Dunia Islam

Hadis Akhir Zaman


Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi S.AW menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah S.W.T akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah S.W.T akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan'”. Seorang sahabat bertanya: “Apakah penyakit ‘wahan’ itu wahai Rasulullah S.A.W?”. Nabi menjawab: “Cinta kepada dunia dan takut pada mati?”.

(H.R. Abu Daud)


Keterangan

Subhanallah!!! Memang benar apa yang disabdakan oleh Raulullah S.A.W Keadaan umat Islam pada hari ini, menggambarkan kebenaran apa yang disabdakan Nabi S.A.W. Umat Islam walaupun mempunyai bilangan yang banyak, iaitu 2/5 dari penduduk dunia tetapi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain.

Saudara kita ada yang ditindas, disakiti, dibunuh dan sebagainya. Bangsa-bangsa dari seluruh dunia walaupun berbeza-beza agama, mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatan umat Islam.


Sebenarnya segala kekalahan kaum Muslimin adalah berpunca dari dalam diri kaum Muslimin itu sendiri, iaitu penyakit ‘wahan’ yang merupakan penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam kembar dua iaitu ‘cinta dunia’ dan ‘takut mati’.


Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan. ‘Cinta dunia’ bermakna tamak, rakus, bakhil dan tidak mahu mendermakan harta di jalan Allah S.W.T. ‘Takut mati’ pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agama Allah S.W.T


Sama-samalah sentiasa berdoa agar Allah S.W.T menurunkan hidayahnya kepada kaum Muslimin dan memberikan kepada kita kejayaan di dunia dan di akhirat… Aamiin.. 

Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :’)

 

Mengapa Dunia Islam Menjadi Sasaran Kemusnahan?

Hadis Akhir Zaman


Daripada Ummul Mukminin, Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah s.a.w), beliau berkata:

“(Pada suatu hari) Rasulullah S.A.W. masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya’juj dan Ma’juj seperti ini”, dan Baginda menemukan hujung ibu jari dan hujung jari sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: “Ya Rasulullah ! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?”. Lalu Nabi s.a.w. bersabda “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak”.

                                                                                            (H.R. Bukhari Muslim)


Keterangan

Hadis di atas menerangkan bahawa apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasiqan. Maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu. Tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi orang yang soleh juga akan dibinasakan. Walaupun begitu, masing-masing pada hari kiamat akan diperhitungkan mengikut amalan masing-masing.


Oleh itu, segala bentuk kemungkaran dan kefasiqan hendaklah segera dibasmikan dan segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan supaya tidak terjadi malapetaka yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, tetapi juga akan menimpa semua penduduk yang berada di tempat itu.


Dalam hadis di atas, walaupun disebut secara khusus tentang bangsa Arab tetapi yang dimaksudkan adalah seluruh bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara khusus adalah kerana Nabi S.A.W sendiri adalah bangsa Arab dan menerima Islam pada masa permulaannya adalah kebanyakkannya dari kalangan bangsa Arab dan sedikit sekali dari bangsa lain.



Kemudian Ya’juj dan Ma’juj pula adalah 2 bangsa (dari keturunan Nabi Adam a.s.) yang dahulunya banyak melakukan kerosakan di muka bumi ini, lalu daerah dan kediaman mereka ditutup oleh Zul Qarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga, maka dengan itu mereka tidak dapat keluar. 



Sehinggalah hampir tibanya hari kiamat, maka pada hari itu, dinding yang kuat tadi akan hancur dan keluarlah mereka dari kediaman mereka lalu kembali melakukan kerosakan di muka bumi ini. Apabila ini terjadi, ia menandakan bahawa hari kiamat sudah dekat sekali tibanya. Masya’allah..

Semoga Allah S.W.T sentiasa  melindungi kita hamba-hambaNya daripada bencana dan malapetaka... Bersama-samalah kita berusaha ke arah menjadi umat islam yang baik dan memberi manfaat buat orang lain... Jika kita tidak mampu mencegah kemungkaran dengan usaha kita sendiri, maka berdoalah sentiasa agar negara kita sentiasa terpelihara daripada kemaksiatan yang berleluasa.. Aamiin... 

Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :’)



Monday, December 1, 2025

 

Jangan Suka Menyalahkan Orang Lain

Hadis Akhir Zaman

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika ada seorang berkata: “Orang ramai (sekarang ini) sudah rosak”, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka”. 

                                                                                    (H.R. Muslim)

Keterangan

Imam Nawawi ketika menulis hadis ini dalam kitab Riyadhus-Solihin, beliau memberikan penjelasan seperti berikut:

“Larangan seperti di atas itu (larangan berkata bahawa orang ramai telah rosak) adalah untuk orang yang mengatakan sedemikian tadi dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasa dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini adalah haram”.



“Namun orang yang berkata seperti ini kerana ia melihat kurangnya perhatian orang ramai terhadap agama mereka serta didorong oleh perasaan sedih melihat nasib yang dialami oleh mereka dan timbul daripada perasaaan cintakan agama, maka perkataan itu tidak ada salahnya”.

“Demikian yang dijelaskan oleh para alim ulama’ dan begitulah cara mereka menghuraikan permasalahannya. Di antara alim ulama’ yang berpendapat begitu ialah Imam Malik bin Anas, al-Khath-thabi, dan al-Humaidi”.

Hadis ini menjadi peringatan kepada kita bahawa apabila mendengar hadis-hadis yang banyak menghuraikan tentang kemunduran umat Islam dan kemerosotan akhlak mereka, janganlah kita merasa bangga dan ujub dengan diri kita sendiri, bahkan hendaklah kita sentiasa muhasabah diri kita dan jangan suka menuding jari akan kesalahan orang lain.



Perbaikilah diri sendiri di samping mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Walaupun hal kerosakan akhlak umat Islam sering diketengahkan ketika ini, biarlah pendedahan itu di dalam bentuk yang sihat iaitu dengan perasaan penuh belas kasihan dan rasa cintakan agama, bukan dengan perasaan bangga diri dan memandang rendah akan orang lain..



Mudah-mudahan Allah S.W.T dengan limpah kurniaNya mencucuri kita rahmat, taufiq dan hidayah Nya. Amiiin… 

Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :’)

 

Beriman Kepada Malaikat

 


Beriman kepada malaikat beerti seseorang itu wajib memiliki iktikad atau keyakinan yang sebenar-benarnya bahawa Allah S.W.T mempunyai beberapa mahluk yang ghaib yang tidak dapat dilihat, didengar, diraba dan dirasa. Mahluk itu adalah malaikat yang sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah S.W.T.

Beriman kepada malaikat menghendaki manusia untuk menghubungkan dirinya dengan mereka dengan menyucikan jiwa, membersihkan hati serta beribadah kepada Allah S.W.T dengan sekhusyuk-khusyuknya. Beriman kepada malaikat adalah termasuk dalam amalan baik dan merupakan tanda-tanda kebenaran, kepercayaan serta ketakwaan.


Kewujudan Malaikat

Bilangan malaikat ini sangat banyak sehingga tidak diketahui bilangannya. Allah S.W.T menciptakan malaikat dengan cahaya (nur). Imam muslim meriwayatkan satu hadis. Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud :

Malaikat ini diciptakan daripada cahaya, Jin diciptakan dari nyala api dan Adam diciptakan daripada apa yang diterangkan padamu semua

Tempat kediaman malaikat itu di langit. Walaubagaimanpun, para malaikat boleh turun ke bumi dengan perintah Allah S.W.T. Firmannya bermaksud :

Dan (berkatalah malaikat): “Kami tidak akan turun dari semasa ke semasa melainkan dari perintah Tuhanmu (Wahai Muhammad); Dialah jua yang Menguasai serta mentadbirkan apa yang di hadapan kita dan apa yang di belakang kita serta apa yang ada di antara itu; dan tiadalah Tuhanmu itu lupa.

                                                                                                       (SurahMaryam : 64)


Allah S.W.T mencipta malaikat terlebih dahulu daripada mencipta manusia. Semasa Allah S.W.T hendak mencipta khalifah di bumi, Allah S.W.T telah memberitahu kepada malaikat mengenainya. Firman Allah S.W.T

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya(tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan Kami) hendak menjadikan di bumi itu orang-orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?” . Tuhan berfirman : “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

                                                                                                    (Surah Al-Baqarah : 30)

 


Malaikat disucikan oleh Allah S.W.T dari keinginan hawa nafsu dan terhindar daripada perbuatan dosa dan kemaksiatan. Mereka tidak seperti manusia yang suka minum, makan, tidur dan sebagainya. Mereka tidak mempunyai jantina dan hidup di alamnya tersendiri. Malaikat mempunyai sayap yang berbeza-beza di antara satu sama lain. Firman Allah S.W.T bermaksud:

Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap: dua, tiga, atau empat; ia menambah pada bentuk kejadian mahluk yang diciptakannya apa jua yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

                                                                                                          (Surah al-Fatir :1)


Perbezaan sayap itu mempunyai nilai dan kedudukannya di sisi Allah S.W.T. Ia juga menunjukkan kebolehannya untuk bergerak sama ada cepat atau lambat dari satu tempat ke tempat lain. Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis dari Ibnu Mas’ud R.A bermaksud:

“Rasulullah S.A.W melihat Jibril a.s dan ia mempunyai enam ratus sayap”

 

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

………(malaikat pula menegaskan pendirian mereka dengan berkata : “ dan tiada sesiapapun dari kalangan kami melainkan ada baginya darjat kedudukan yang tertentu (dalam menyempurnakan tugasnya); dan sesungguhnya Kamilah yang sentiasa berbaris (menjunjung perintah dan beribadah), “Dan sesungguhnya Kamilah yang sentiasa bertasbih (menyucikan Allah dari sebarang sifat kekurangan)”.

                                                                                                 (Surah as-Shaffat : 164-166)


Malaikat juga diberi kekuasaan oleh Allah S.W.T untuk menjelma dalam rupa manusia atau lain-lain bentuk. FirmanNya, bermaksud :

Dan bacakanlah (Wahai Muhammad ) di dalam Kitab AL-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat di sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: roh dari Kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.

                                                                                                       (Surah Maryam : 16-17)



Tugas -tugas Malaikat

Allah S.W.T mencipta malaikat tunduk dan patuh kepada perintahnya tanpa ada yang membantah. Bahkan malaikat tidak berkuasa melakukan sesuatu yang timbul dari kemahuannya sendiri. Antara tugas malaikat ialah :

1.       Bertasbih, patuh dan tunduk sepenuhnya kepada Allah S.W.T sebagaimana firmannya bermaksud :

Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadah kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud.

                                                                                                        (Surah Al-A’raf :2016)


2.       Memikul Arasy

3.       Memohon ampun bagi orang yang beriman, sebagaimana firman Allah S.W.T bermaksud:

Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhannya; dan beriman kepadanya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): “Wahai Tuhan kami, rahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.

                                                                                                                    (Surah Ghafir : 7)

 

4.   Memberi salam kepada ahli syurga, sebagaiman Firman Allah S.W.T bermaksud :

Iaitu syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya Bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka; dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (memberi hormat dengan berkata): “selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu, maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.

                                                                                                 (Surah ar-Ra’d : 23-24)


5.     Menyeksa para ahli neraka, Firman Allah S.W.T bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang amat kasar layanannya; mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

                                                                                                                 (Surah at-Tahrim : 6)

6.    Membawa wahyu, Firman Allah S.W.T :

Katakanlah (Wahai Muhammad) : Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman”.

                                                                                                                 (Surah Al-Baqarah : 97)



Antara nama malaikat dan tugas khusus mereka

v  Jibril - Menyampaikan wahyu

v  Mikail - Menurunkan hujan dan rezzeki

v  Ridhuwan – Menjaga Syurga

v  Malik – Menjaga Neraka

v  Zabaniah – Menyeksa para penghuni neraka

v  Munkar & Nakir – Menyoal di dalam kubur

v  Rokid dan ‘Atid – Mencatat amal kebaikan dan kejahatan

v  Izrail -Mencabut nyawa

v  Israfil – Menuip sangka-kala

Di antara tugas malaikat lagi ialah menguatkan kekuatan rohani yang ada dalam diri manusia dengan mengilhamkan kebaikan dan kebenaran, mendoakan orang-orang yang beriman, membaca aamiin bersama orang-orang yang solat, menghadiri solat asar dan subuh setiap hari, mendengar bacaan Al-Quran, menghadiri majlis ilmu dan zikir, memohon rahmat kepada orang islam, merendahkan diri kepada ilmuan, membawa berita gembira, menghebahkan siapa yang dicintai dan dibenci oleh Allah S.W.T, mencatat amal perbuatan manusia, mencabut nyawa dan sebagainya. Tenyata tugas dan bilangan maialaikat terlalu banyak. Wallahua’lam.. 

Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :’)

Saturday, November 29, 2025

 

Sedekah mebersihkan jiwa & mendekatkan hubungan  kepada Sang Pencipta



Hukum Bersedekah

Di antara hukum bersedekah adalah seperti berikut :

1-      Hendaklah harta yang disedekahkan adalah harta yang baik dan diperoleh dengan cara yang baik pula. Ini menuntut agar seseorang membiasakan diri mencari rezeki dengan cara yang halal dan makan makanan halal. Seseorang yang mendekatkan diri kepada Allah hendaklah memakai dan memakan hasil dari yang baik menurut Allah S.W.T. Jika tidak, maka apa yang dilakukannya hanya mendatangkan murka Allah S.W.T.

2-      Hendaklah sedekah yang disalurkan itu merupakan sesuatu di luar keperluan asas kita. Ini kerana tidak sepatutnya bagi seseorang menyedekahkan sesuatu yang diri sendiri masih memerlukannya supaya ini tidak menimbulkan perkara yang tidak diingini bagi dirinya. Kekayaan itu ada dua :

a.       Kekayaan terdapat lebihan harta yang tidak lagi menjadi keperluan asas bagi diri dan keluarganya. Jika harta itu telah melebihi keperluan asas, seseorang cenderung membiarkannya apabila dimakan orang lain. Demikian pula haiwan apabila sudah kenyang, ia cenderung tidak melarang makanan itu dimakan oleh haiwan yang lain. Sebaliknya jika lapar, ia bakal menghalau siapa pun yang memakan maknannya, meskipun itu dari haiwan jinak sekalipun

b.       Kekayaan tidak membutakan mata, iaitu kaya hati. Kekayaan jenis ini hanya dimiliki oleh orang tertentu, seperti kaum Ansar yang dipuji oleh Allah S.W.T kerana mereka mendahulukan orang lain berbanding diri mereka sendiri. Jenis kekayaan ini tidak ada batasannya. Ia bergantung kepada sejauh mana kekuatan hubungan seseorang hamba dengan Allah S.W.T di samping sentiasa mengharap kurnia Allah.

Sebaik- baik sedekah adalah menyedekahkan sesuatu yang paling dicintai. Ini dapat dilihat dengan sabda Rasulullah S.A.W tentang sedekah yang paling afdhal di sisi Allah S.W.T “adalah sesuatu yang paling berharga di sisi pemiliknya.”

Dalam satu riwayat daripada Umar disebutkan beliau pernah menghadiahkan seekor unta yang dihidungnya terdapat cincin perak. Unta itu termasuk  jenis unta paling mahal yang nilainya sama dengan 80 ekor unta. Ketika beliau ditanya, “Tuan hanya memadai memberi unta yang selainnya.” Beliau malah menjawab , “Aku ingin membuat kaum musyrikin marah,” . Dalam keadaan seperti itu, sedekah memberi kesan luar biasa di dalam jiwa, di samping menjadi bukti sejauh mana kebenaran iman seseorang kepada Allah S.W.T. “Keutamaan sedekah terletak kepada kerelaan hati dan kecintaannya kepada kebaikan bukan diukur dengan berapa banyak harta itu dikeluarkan’. Kadang-kala dengan sedekah yang sedikit, seseorang dapat meraih pahala yang setara dengan sedekah orang lain dalam jumlah yang banyak.

 Dalam satu hadis disebutkan bahawa :

Harta seseorang tidak berkurang lantaran bersedekah, sesiapa yang dizalimi oleh orang lain namun dia tabah menghadapinya maka Allah menambahkan kemuliaan baginya dan sesiapa pun yang meminta-minta pasti Allah membukakan baginya pintu kemiskinan”.

“Sesungguhnya dunia ini milik empat golongan. Pertama , seseorang yang dikurniakan harta dan ilmu oleh Allah. Dengan harta dan ilmunya itu, dia bertakwa kepada Allah dan menjalin tali silaturrahim. Dia tahu Allah mempunyai hak ke atas harta dan ilmunya itu. Inilah semulia-mulia kedudukan.

Kedua,  seseorang yang dikurniakan ilmu tetapi tidak dikurniakan harta, tetapi dia memiliki niat yang tulus. Dia berkata : “Seandainya aku memiliki harta nescaya aku beramal seperti si polan (orang pertama) dengan niatnya itu, kedua-dua pahala hamba ini sama.

Ketiga, seseorang yang dikurniakan oleh Allah harta tetapi tidak memiliki ilmu. Dia lalu membelanjakan hartanya tanpa ilmu dan tidak bertakwa kepada Allah S.W.T serta tidak menjalin tali silaturrahim. Dia juga tidak tahu Allah memiliki hak ke atas hartanya itu. Inilah seburuk-buruk kedudukan.

Keempat, seseorang yang tidak memiliki harta mahupun ilmu. Dia berkata andai kata aku memiliki harta nescaya aku akan menghamburkannya seperti yang dilakukan oleh si polan (orang ketiga). Dengan niat itu, kedua-duanya memperoleh dosa yang sama”

                                                                                                      (Hadis Riwayat Tirmizi)


Seseorang yang memiliki niat baik memperoleh kedudukan yang sama dengan orang yang memiliki harta dan mengetahui hak Allah ke atas hartanya untuk kemudian digunakan untuk menyambung silaturrahim dengan harta tersebut.

 

Orang yang berhak menerima sedekah

Orang yang berhak menerima sedekah tidak memiliki syarat-syarat tertentu. Sedekah boleh diberikan kepada orang yang berhak menerima zakat kerana hokum sedekah adalah sunatdan oleh kerananya, ia boleh diberikan kepada sesiapa sahaja. Cakupan orang yang berhak menerima sedekah lebih luas berbanding orang yang berhak menerima zakat sehingga meliputi seluruh pintu amal kebaikan seperti silaturrahim, menyantuni anak yatim, orang yang dilanda musibah, membangun masjid, sekolah, hospital, jambatan, sedekah jariahn untuk penyediaan makan dan minum, menerbitkan buku, menanam tanaman, membangun tempat tinggal bagi orang kurang upaya dan lain-lain lagi.

 


Kesan sedekah

Adapun kesan sedekah meliputi orang kaya dan miskin dengan harapan hati orang kaya menjadi besih dan suci. Firman Allah :

“Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari ahlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka , kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan ingatlah Allah Maha Mendengar , lagi Maha Mengetahui .”

                                                                                                                    (Surah al-Taubah :103)

 


Nas Al-Quran ini menckupi sedekah wajib dan sunat. Sedekah wajib hendaklah terlebih dahulu dikeluarkan dan disalurkan kepada yang berhak menerimanya. Ini mengisyaratkan sedekah memiliki kesan terhadap kejiwaan mahupun harta. Sedekah mampu membersihkan hati kedua-dua pihak. Pihak pemberi sedekah diselamatkan daripada sikap bakhil, keras hati, busuk hati di samping membangkitkan sifat rela berkorban, berjiwa dermawan dan berlemah -lembut kepada orang yang dalam kesulitan.

Sementara pihak penerima sedekah diselamatkan daripada sifat dengki dan akibat yang ditimbulkannya. Sedangkan bagi harta itu sendiri, sedekah dapat membersihkannya, sehingga cepat berkembang dan bertambah banyak. Dengan demikian, sedekah merupakan satu kaedah yang berfungsi membersihkan jiwa sekaligus harta daripada kotoran noda dan mensucikan harta... Wallahua'lam.. 

Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :’)