Kata Azimat

Kata Azimat
" Usaha itu Perlu, Doa itu Pembantu, Allah itu Penentu"... "Setiap Ilmu Yg Dipelajari perlu kepada Bimbingan Akal serta Panduan Iman Agar tidak tersasar dari Landasannya"... "Tiada tali yang paling erat selain tali silaturrahim, Tiada pintu yang pling kukuh selain pintu hati.., Tiada hutang yang pling berat selain hutang budi.., Tiada pemberian yang paling berharga selain memberi maaf"..."Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya selagi hamba- hambanyaNya mengingatinya"... "Setiap Ujian Yang Datang Daripada Allah.., Pasti akan ada hikmahnya..,Terpulang pada diri untuk menilainya"... "The More We Learn..., The More We Know that We Are So Stupid.."......"Ukhuwah yang dibina di antara kita biarlah seperti seutas tasbih..,, ada awal.., tiada penghujungnya,,,,, dicipta untuk mengingati-Nya...dibahagi untuk cinta-Nya..,, dan diratib demi keredhaan-Nya..Ukhuwah itu umpama ikatan tasbih.. Butir-butir tasbih mewakili roh-roh yang terjalin, manakala ikatan tali tasbih mewakili ukhuwah tersebut.. Sekiranya ikatan tersebut tidak diketahui dan terputus.., maka bercerailah roh-roh tersebut dan menjadi jauh..;')

Monday, January 19, 2026

Kisah Asiyah Bt Muzahim, Isteri Firaun Zaman Nabi Musa..

 

 


Asiyah Bt Muzahim , adalah salah seorang isteri kepada Firaun. Firaun merupakan insan yang paling menentang dakwah Nabi Musa A.s. Asiyah bukanlah seorang wanita biasa, beliau tidak pernah membiarkan dirinya ditentukan atau terhalang oleh perjalanan kehidupan yang menyakitkan. Sebaliknya, dia berani mempertahankan kepercayaan dalam dirinya, dan sanggup mati kerananya. Beliau merupakan seorang wanita islam yang sejati.

 

Atas sebab inilah Nabi Muhammad S.A.W pernah menyebut tentang Asiah  sebagai wanita teragung sepanjang zaman. Pada suatu hari, Rasulullah S.A.W bersabda :

“Banyak lelaki yang telah mencapai kesempurnaan tetapi tidak ramai daripada kalangan wanita yang telah mencapai kesempurnaan kecuali Maryam Bt. Imran dan Asiyah isteri Firaun. 

                                                                                                   Riwayat Imam ALBukhari


Kisah Asiah bermula di Mesir, di mana beliau tinggal Bersama suaminya, seorang Raja Mesir (Firaun) yang terkenal dengan pemerintahannya yang kejam, dan dikenali sepanjang zaman. Selepas diberitahu oleh penilik nasib bahawa Firaun akan dijatuhkan oleh seorang anak dalam kalangan bani Israel, Firaun serta merta mengarahkan tenteranya untuk membunuh semua bayi lelaki yang dilahirkan.

 

Kitab suci Al-Quran ada menyebut tentang keperitan hidup anak-anak bani Israel pada zaman itu yang bermaksud :

“Dan kenanglah ketika kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya, mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu, sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu (AL-Baqarah 2: 49)


Jadi apabila Nabi Musa. A.S dilahirkan, ibu baginda risau akan kehidupannya kelak, kerana jantinanya sebagai seorang bayi lelaki. Namun, perancangan Allah itu lebih baik. Allah memberi jaminan kepada ibunya bahawa Nabi Musa A.S akan selamat, dan mengarahkan ibu baginda untuk meletakkan bayi lelakinya itu ke dalam bakul dan dihanyutkan di Sungai Nil.

Al-Quran menyebut :

Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa . “ Susukanlah dia, dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara firaun), maka (letakkanlah di dalam peti dan  kepaskanlah dia ke laut, dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita, sesungguhnya kami akan mengembalikannya kepadamu, dan kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-Rasul kami (Al-Qasas 28 :7)

 


Siapa sangka, perancangan Allah itu sungguh hebat. Nabi Musa A.s , lelaki yang paling ditakuti oleh Firaun pada zaman itu, membesar di dalam kediamannya sendiri., dijaga dan dididik oleh isterinya. Ibu kandung Nabi Musa A.S. juga akhirnya berpeluang menjaga anaknya itu, beliau bekerja di samping Asiyah bagi menjaga bayi Musa. Asiyah tidak mengetahui bahawa wanita tersebut adalah ibu kandung Nabi Musa A.S.

Asiyah menyanyangi Nabi Musa A.s ibarat anaknya sendiri. Apabila baginda mula menyampaikan dakwah tentang keesaan Allah, Tuhan yang satu, Asiyah mempercayai dan beriman dengan sepenuh hati. Dia sendiri menyaksikan mukjizat Nabi Musa A.s di dalam istana Firaun, dan turut melihat bagaimana ahli-ahli sihir Firaun ditewaskan baginda, yang mana mereka turut mengakui tentang keeesaan Allah.

Walaubagaimanapun, menjadi isteri kepada seorang firaun yang kejam, yang mengangkat dirinya sebagai Tuhan, Asiyah terpaksa merahsiakan keimanannya itu.

 


Pada suatu hari, anak perempuan Firaun (daripada isteri lain) terdengar pendandan rambutnya menyebut ‘Bismillah’ yang bermaksud dengan nama Allah’. Terdengar ucapan itu, anak gadis itu melaporkan hal tersebut kepada firaun. Firaun dengan segera menangkap pendandan rambut itu dan keluarganya. Seorang demi seorang anaknya dihumban ke dalam lubang dipenuhi tembaga yang menyala dengan api.

Akhirnya, tiba giliran pendandan rambut itu, bersama bayinya yang digendong. Pada saat itu, dia berasa ragu-ragu untuk membiarkan bayinya itu dihumban. Namun, suatu keajaiban berlaku di mana bayi itu dapat berkata-kata. Bayi itu berkata bahawa seksaan dunia yang dihadapi mereka pada saat itu tiada apa-apa jika dibandingkan dengan hukuman di akhirat kelak. Yakin dengan apa yang terjadi, dia akhirnya mengorbankan diri bersama bayinya.

 


Asiyah mendedahkan secara terbuka keimanannya kepada Allah

Melihat keberanian pembantunya itu, Asiyah akhirnya memberanikan diri untuk berdepan dengan suaminya yang kejam. Dia mendedahkan keimanannya kepada Allah, menolak firaun sebagai Tuhan, dan berkata bahawa dia tidak kisah akan apa yang berlaku kepada dirinya kelak. Terkejut dengan pendedahan tersebut, firaun akhirnya mengarahkan tenteranya untuk menyeksa Asiyah di padang pasir, membiarkan dia kelaparan, dan menanggalkan pakaiannya.

Beliau diseksa dengan teruk, namun keimanannya langsung tidak goyah. Firaun kemudiannya mengarahkan tenteranya untuk mencari sebuah batu besar. Sekiranya Asiyah berkeras dengan pendiriannya yang enggan mengaku firaun sebagai Tuhan, maka batu tersebut akan dilontar kepadanya sehingga meninggal dunia. Jika tidak , nyawanya di dunia ini akan terselamat. Pengakhiran kisah Asiah, dia akhirnya meninggal dunia dengan pendiriannya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah

Berikut adalah kata-kata isteri Firaun yang disebut di dalam Al-Quran :

Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah disisiMU dalam Syurga, dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas) , serta selamatkanlah aku dari kaum yang zalim. (At-Tahriim 66 :11)

Sedangkan Asiyah seorang Ratu di samping Firaun pun beriman kepada Tuhan Yang Maha Esa sehingga sanggup mengorbankan nyawanya sendiri, maka kita sebagai orang biasa harus turut beriman teguh kepada Allah. Asiah pernah hidup dengan kemewahan yang tidak dapat kita bayangkan, namun dia tahu bahwa kekayaan dunia tidak kekal berbanding pengakhiran di akhirat kelak.

Kisah Asiyah menjadi pengajaran tentang iman sejati yang tidak dapat digoyahkan oleh ancaman dunia. Asiyah diabadikan sebagai salah seorang wanita mulia dalam sejarah islam kerana keberanian dan ketakwaannya. Semoga kita dapat mengambil ibrah daripada kisah Asiyah yang berani mempertahankan keimanannya walau diseksa dengan sangat kejam. Hanya keimanan yang kukuh mampu mendepani ujian yang dahsyat dari hiruk-piruk dunia yang mencengkam.

Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :”)

1 comment:

  1. Sedangkan Asiyah seorang Ratu di samping Firaun pun beriman kepada Tuhan Yang Maha Esa sehingga sanggup mengorbankan nyawanya sendiri, maka kita sebagai orang biasa harus turut beriman teguh kepada Allah. Asiah pernah hidup dengan kemewahan yang tidak dapat kita bayangkan, namun dia tahu bahwa kekayaan dunia tidak kekal berbanding pengakhiran di akhirat kelak.

    ReplyDelete