Asiyah Bt Muzahim , adalah salah seorang isteri
kepada Firaun. Firaun merupakan insan yang paling menentang dakwah Nabi Musa
A.s. Asiyah bukanlah seorang wanita biasa, beliau tidak pernah membiarkan
dirinya ditentukan atau terhalang oleh perjalanan kehidupan yang menyakitkan.
Sebaliknya, dia berani mempertahankan kepercayaan dalam dirinya, dan sanggup
mati kerananya. Beliau merupakan seorang wanita islam yang sejati.
Atas sebab inilah Nabi Muhammad S.A.W pernah
menyebut tentang Asiah sebagai wanita
teragung sepanjang zaman. Pada suatu hari, Rasulullah S.A.W bersabda :
“Banyak lelaki yang telah mencapai kesempurnaan tetapi tidak ramai daripada kalangan wanita yang telah mencapai kesempurnaan kecuali Maryam Bt. Imran dan Asiyah isteri Firaun.
Riwayat Imam ALBukhari
Kisah Asiah bermula di Mesir, di mana beliau
tinggal Bersama suaminya, seorang Raja Mesir (Firaun) yang terkenal dengan
pemerintahannya yang kejam, dan dikenali sepanjang zaman. Selepas diberitahu
oleh penilik nasib bahawa Firaun akan dijatuhkan oleh seorang anak dalam
kalangan bani Israel, Firaun serta merta mengarahkan tenteranya untuk membunuh
semua bayi lelaki yang dilahirkan.
Kitab suci Al-Quran ada menyebut tentang
keperitan hidup anak-anak bani Israel pada zaman itu yang bermaksud :
“Dan kenanglah ketika kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya, mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu, sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu (AL-Baqarah 2: 49)
Jadi apabila Nabi Musa. A.S
dilahirkan, ibu baginda risau akan kehidupannya kelak, kerana jantinanya sebagai
seorang bayi lelaki. Namun, perancangan Allah itu lebih baik. Allah memberi
jaminan kepada ibunya bahawa Nabi Musa A.S akan selamat, dan mengarahkan ibu
baginda untuk meletakkan bayi lelakinya itu ke dalam bakul dan dihanyutkan di
Sungai Nil.
Al-Quran menyebut :
Dan kami ilhamkan kepada
ibu Musa . “ Susukanlah dia, dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu
bahaya mengenainya (dari angkara firaun), maka (letakkanlah di dalam peti dan kepaskanlah dia ke laut, dan janganlah engkau
merasa bimbang dan jangan pula berdukacita, sesungguhnya kami akan
mengembalikannya kepadamu, dan kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari
Rasul-Rasul kami (Al-Qasas 28 :7)
Siapa sangka, perancangan Allah itu sungguh hebat. Nabi Musa A.s , lelaki yang paling ditakuti oleh Firaun pada zaman itu, membesar di dalam kediamannya sendiri., dijaga dan dididik oleh isterinya. Ibu kandung Nabi Musa A.S. juga akhirnya berpeluang menjaga anaknya itu, beliau bekerja di samping Asiyah bagi menjaga bayi Musa. Asiyah tidak mengetahui bahawa wanita tersebut adalah ibu kandung Nabi Musa A.S.
Asiyah menyanyangi Nabi Musa A.s
ibarat anaknya sendiri. Apabila baginda mula menyampaikan dakwah tentang
keesaan Allah, Tuhan yang satu, Asiyah mempercayai dan beriman dengan sepenuh
hati. Dia sendiri menyaksikan mukjizat Nabi Musa A.s di dalam istana Firaun,
dan turut melihat bagaimana ahli-ahli sihir Firaun ditewaskan baginda, yang
mana mereka turut mengakui tentang keeesaan Allah.
Walaubagaimanapun, menjadi isteri
kepada seorang firaun yang kejam, yang mengangkat dirinya sebagai Tuhan, Asiyah
terpaksa merahsiakan keimanannya itu.
Pada suatu hari, anak perempuan
Firaun (daripada isteri lain) terdengar pendandan rambutnya menyebut
‘Bismillah’ yang bermaksud dengan nama Allah’. Terdengar ucapan itu, anak gadis
itu melaporkan hal tersebut kepada firaun. Firaun dengan segera menangkap
pendandan rambut itu dan keluarganya. Seorang demi seorang anaknya dihumban ke
dalam lubang dipenuhi tembaga yang menyala dengan api.
Akhirnya, tiba giliran pendandan
rambut itu, bersama bayinya yang digendong. Pada saat itu, dia berasa ragu-ragu
untuk membiarkan bayinya itu dihumban. Namun, suatu keajaiban berlaku di mana
bayi itu dapat berkata-kata. Bayi itu berkata bahawa seksaan dunia yang
dihadapi mereka pada saat itu tiada apa-apa jika dibandingkan dengan hukuman di
akhirat kelak. Yakin dengan apa yang terjadi, dia akhirnya mengorbankan diri
bersama bayinya.
Asiyah mendedahkan secara terbuka
keimanannya kepada Allah
Melihat keberanian pembantunya
itu, Asiyah akhirnya memberanikan diri untuk berdepan dengan suaminya yang
kejam. Dia mendedahkan keimanannya kepada Allah, menolak firaun sebagai Tuhan,
dan berkata bahawa dia tidak kisah akan apa yang berlaku kepada dirinya kelak.
Terkejut dengan pendedahan tersebut, firaun akhirnya mengarahkan tenteranya
untuk menyeksa Asiyah di padang pasir, membiarkan dia kelaparan, dan
menanggalkan pakaiannya.
Beliau diseksa dengan teruk,
namun keimanannya langsung tidak goyah. Firaun kemudiannya mengarahkan
tenteranya untuk mencari sebuah batu besar. Sekiranya Asiyah berkeras dengan
pendiriannya yang enggan mengaku firaun sebagai Tuhan, maka batu tersebut akan
dilontar kepadanya sehingga meninggal dunia. Jika tidak , nyawanya di dunia ini
akan terselamat. Pengakhiran kisah Asiah, dia akhirnya meninggal dunia dengan
pendiriannya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah
Berikut adalah kata-kata isteri
Firaun yang disebut di dalam Al-Quran :
Wahai Tuhanku! Binalah untukku
sebuah rumah disisiMU dalam Syurga, dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya
(yang kufur dan buas) , serta selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.
(At-Tahriim 66 :11)
Sedangkan Asiyah seorang Ratu di
samping Firaun pun beriman kepada Tuhan Yang Maha Esa sehingga sanggup
mengorbankan nyawanya sendiri, maka kita sebagai orang biasa harus turut
beriman teguh kepada Allah. Asiah pernah hidup dengan kemewahan yang tidak
dapat kita bayangkan, namun dia tahu bahwa kekayaan dunia tidak kekal
berbanding pengakhiran di akhirat kelak.
Kisah Asiyah menjadi pengajaran tentang
iman sejati yang tidak dapat digoyahkan oleh ancaman dunia. Asiyah diabadikan sebagai
salah seorang wanita mulia dalam sejarah islam kerana keberanian dan
ketakwaannya. Semoga kita dapat mengambil ibrah daripada kisah Asiyah yang
berani mempertahankan keimanannya walau diseksa dengan sangat kejam. Hanya
keimanan yang kukuh mampu mendepani ujian yang dahsyat dari hiruk-piruk dunia
yang mencengkam.
Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad
:”)




.jpg)

.jpg)
.jpg)
Sedangkan Asiyah seorang Ratu di samping Firaun pun beriman kepada Tuhan Yang Maha Esa sehingga sanggup mengorbankan nyawanya sendiri, maka kita sebagai orang biasa harus turut beriman teguh kepada Allah. Asiah pernah hidup dengan kemewahan yang tidak dapat kita bayangkan, namun dia tahu bahwa kekayaan dunia tidak kekal berbanding pengakhiran di akhirat kelak.
ReplyDelete