ISRAK MIKRAJ: Peristiwa & Pengajaran...
Tulisan ini berdasarkan dalil sahih daripada al-Quran, hadis, dan
pandangan ulama muktabar mengenai peristiwa Israk Mikraj. Malam yang penuh
keberkatan ini adalah peluang terbaik untuk merenungi hikmah mukjizat yang
dianugerahkan kepada Nabi Muhammad S.A.W, memperkukuhkan iman, dan mendekatkan
diri kepada Allah SWT.
Pengenalan
Peristiwa Israk Mikraj adalah antara mukjizat terbesar yang
dianugerahkan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W, mengukuhkan kedudukan
baginda sebagai Rasul terakhir.
Ia bukan sekadar perjalanan luar biasa, tetapi sebuah pengajaran
mendalam yang menghubungkan kita dengan kebesaran Allah SWT dan menekankan
keutamaan solat dalam kehidupan seharian….
Israk Mikraj berlaku pada malam yang penuh barakah, iaitu pada 27
Rejab, seperti yang dipegang oleh kebanyakan ulama….
Perjalanan ini terbahagi kepada dua bahagian utama:
- Israk. Perjalanan malam Nabi Muhammad S.A.W dari
Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin.
- Mikraj. Perjalanan Nabi dari bumi menuju ke langit tertinggi, hingga ke Sidratul Muntaha, tempat baginda menerima perintah solat lima waktu secara langsung daripada Allah S.W.T.
Peristiwa ini dirakamkan dalam firman Allah S.W.T:
“Maha
Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil
Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami
perlihatkan kepadanya sebagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia
adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah
Al-Isra’, 17:1)
Sebagai umat Islam, memahami peristiwa ini bukan sekadar mengetahui
sejarah, tetapi mengambil hikmah untuk diamalkan dalam kehidupan.
Antara kepentingan utama Israk Mikraj ialah:
1. Penetapan Solat Lima Waktu. Solat, tiang agama, menjadi kewajipan yang disyariatkan secara
langsung tanpa perantaraan. Ini menggambarkan keutamaan solat sebagai bentuk
ibadah yang paling dekat dengan Allah SWT.
2. Menguji Keimanan.
Ketika Nabi SAW berkongsi peristiwa ini kepada kaumnya, ia menjadi ujian iman
kepada mereka. Bagi para sahabat, seperti Abu Bakar As-Siddiq,
keimanan mereka teguh menerima kisah ini tanpa ragu-ragu.
3. Pengajaran untuk Hidup. Israk Mikraj mengingatkan kita bahawa hubungan antara manusia dan
Tuhan (hablum minallah) serta hubungan sesama manusia (hablum
minannas) adalah asas kebahagiaan dunia dan akhirat.
Peristiwa ini juga mengingatkan umat Islam untuk sentiasa yakin kepada
mukjizat Allah, yang tidak terikat dengan logik duniawi. Ia menjadi simbol
kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T yang tidak terhingga.
Bayangkan perjalanan agung ini – Nabi Muhammad SAW diangkat oleh Buraq ,
bertemu para nabi terdahulu, menyaksikan syurga dan neraka, serta menerima
kewajipan solat.
Perjalanan ini bukan hanya untuk baginda, tetapi juga sebagai pedoman
bagi kita semua. Solat lima waktu yang kita lakukan hari ini adalah hadiah
langsung dari Allah S.W.T melalui peristiwa ini. Namun, adakah kita benar-benar
menghargai dan menghayatinya?
Israk Mikraj juga menunjukkan bagaimana solat bukan sekadar ritual,
tetapi satu bentuk komunikasi langsung dengan Allah S.W.T. Ia adalah peluang
kita untuk mendekatkan diri, memohon pertolongan, dan mencari ketenangan.
1. Awal Perjalanan
Peristiwa Israk Mikraj berlaku pada malam yang penuh barakah, iaitu
malam 27 Rejab, tahun ke-10 kerasulan Nabi Muhammad S.A.W.
Ketika itu, baginda menghadapi ujian besar dalam hidupnya, dikenali
sebagai ‘Aam Al-Huzn’ atau Tahun Kesedihan.
Ujian ini berpunca daripada pemergian dua insan penting dalam hidup
baginda: Khadijah R.A, isteri tercinta yang menjadi tulang belakang
dakwah baginda, dan Abu Talib, bapa saudara yang sentiasa
melindungi baginda daripada ancaman kaum Quraisy.
Kehilangan kedua-duanya memberikan tamparan hebat, menjadikan tahun itu
penuh dengan tekanan emosi dan cabaran luar biasa bagi baginda.
Di tengah kesukaran ini, Nabi S.A.W terus berdakwah dengan penuh
keazaman, walaupun penentangan semakin meningkat daripada kaum
Quraisy. Perasaan duka dan tekanan terhadap
misi dakwah baginda menjadi bukti bahawa tugas kenabian bukanlah jalan yang
mudah.
Dalam suasana inilah, Allah S.W.T memilih untuk memberikan hiburan dan
pengukuhan kepada Nabi SAW melalui peristiwa agung Israk Mikraj. Perjalanan ini
bukan sekadar mukjizat fizikal, tetapi juga mesej bahawa pertolongan Allah S.W.T
sentiasa hadir untuk hambaNya yang sabar dan bertawakal.
Sebelum perjalanan agung ini bermula, Allah S.W.T mempersiapkan Nabi Muhammad S.A.W secara fizikal dan rohani. Malaikat Jibril A.S diutuskan untuk melaksanakan satu proses istimewa: pembelahan dada Nabi S.A.W.
Dalam proses ini, dada baginda dibelah dan hati baginda dicuci
menggunakan air zamzam, lambang penyucian jiwa dan persiapan
spiritual. Hati baginda kemudian diisi dengan iman yang teguh, hikmah
yang mendalam, dan keberanian yang luar biasa.
Proses ini memberikan kekuatan kepada Nabi S.A.W untuk menghadapi
pengalaman luar biasa yang akan menguji keimanan dan ketakwaannya.
Proses ini mengingatkan umat Islam bahawa untuk mencapai kedekatan dengan Allah SWT, seseorang perlu membersihkan hati daripada segala kekotoran dalaman seperti hasad, dendam, dan kealpaan. Dengan hati yang bersih dan jiwa yang ikhlas, perjalanan menuju Allah menjadi lebih mudah.
2. Perjalanan Israk: Dari Mekah ke Baitul Maqdis
Setelah persiapan dalaman ini selesai, Nabi Muhammad S.A.W memulakan
perjalanan Israk dengan menaiki Buraq, seekor makhluk ciptaan Allah
yang luar biasa.
Buraq digambarkan lebih besar daripada keldai tetapi lebih kecil daripada baghal, dengan keistimewaan bahawa setiap langkahnya melangkaui sejauh mata memandang.
Makhluk ini disiapkan khas untuk membawa baginda dari Masjidil
Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin, sebuah perjalanan yang mustahil dilakukan manusia
biasa dalam waktu yang singkat.
Perjalanan ini menekankan bahawa Allah S.W.T Maha Berkuasa atas segala
sesuatu. Buraq adalah simbol kebesaran Allah yang mencipta makhluk unik untuk
membawa Nabi S.A.W menjalani perjalanan yang penuh makna.
Dalam perjalanan menuju Baitul Maqdis, Nabi Muhammad S.A.W singgah di
beberapa tempat
1. Madinah
Perhentian pertama adalah di Madinah, yang kelak menjadi destinasi hijrah Nabi
Muhammad S.A.W. Di sinilah baginda dan para sahabat membina sebuah komuniti
Islam yang kukuh, dikenali sebagai Daulah Islamiah pertama.
2. Bukit Tursina
Lokasi ini adalah tempat di mana Nabi Musa A.S menerima wahyu Taurat. Singgahan
ini mengingatkan tentang tanggungjawab besar yang dipikul oleh para nabi dalam
menyampaikan wahyu Allah SWT kepada umat mereka.
3. Baitul Laham
Ini adalah tempat kelahiran Nabi Isa A.S, yang membawa risalah kenabian
kepada Bani
Israel. Perhentian ini menegaskan hubungan
erat antara Nabi Muhammad SAW dengan para nabi terdahulu dalam kesinambungan
dakwah kepada umat manusia.
Setiap perhentian ini mengandungi pengajaran bahawa dakwah para nabi adalah
satu rangkaian perjuangan yang saling melengkapi, dan Nabi Muhammad S.A.W
adalah penutup kepada risalah kenabian.
Tiba di Masjidil Aqsa
Setibanya di Masjidil Aqsa, Nabi Muhammad S.A.W disambut
oleh para nabi terdahulu seperti Nabi Ibrahim A.S, Nabi Musa A.S, Nabi Isa A.S,
dan ramai lagi.
Di sini, baginda mengimami solat bersama mereka, menandakan kedudukannya
sebagai pemimpin para nabi. Peristiwa ini bukan sahaja memperlihatkan
keutamaan Nabi Muhammad SAW, tetapi juga menekankan kedudukan Masjidil Aqsa
sebagai salah satu tempat suci dalam Islam.
Masjidil Aqsa adalah tempat yang diberkati, seperti yang disebut dalam
Al-Quran:
“Maha
Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil
Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami
perlihatkan kepadanya sebagian tanda-tanda (kebesaran) Kami…” (Surah Al-Isra’, 17:1)
3. Perjalanan Mikraj: Naik ke Langit Tertinggi
Setelah selesai solat di Masjidil Aqsa, Nabi Muhammad S.A.W dibawa oleh
Malaikat Jibril A.S untuk meneruskan perjalanan Mikraj, iaitu naik ke langit
tertinggi.
Dalam perjalanan ini, baginda bertemu dengan para nabi terdahulu di
setiap lapisan langit, masing-masing membawa pengajaran dan hikmah yang
mendalam.
Langit Pertama
Pertemuan dengan Nabi Adam A.S
Di langit pertama, Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Nabi Adam A.S,
bapa kepada seluruh manusia. Nabi Adam AS menyambut Nabi SAW dengan penuh penghormatan
sebagai utusan terakhir.
Dalam pertemuan ini, Nabi SAW ditunjukkan dua kelompok manusia: golongan
yang bahagia dan golongan yang sengsara.
·
Golongan
bahagia adalah orang-orang yang beriman dan taat kepada Allah SWT.
·
Golongan
sengsara pula adalah mereka yang kufur dan mengabaikan perintah Allah SWT.[9]
Gambaran ini adalah peringatan awal tentang akibat keimanan dan
kekufuran, serta tanggungjawab besar Nabi Muhammad SAW sebagai pembimbing umat
manusia.
Langit Kedua
Pertemuan dengan Nabi Yahya A.S dan Nabi Isa A.S
Di langit kedua, Nabi Muhammad SAW bertemu dengan dua nabi yang juga
sepupu, iaitu Nabi Yahya A.S dan Nabi Isa A.S.
Kedua-duanya menyambut Nabi SAW dengan doa dan ucapan selamat.
·
Nabi
Yahya A.S dikenali dengan sifatnya yang teguh dalam menyeru manusia kepada
kebaikan.
·
Nabi
Isa A.S pula adalah nabi yang membawa risalah kepada Bani Israel dan diberi
mukjizat seperti menyembuhkan orang sakit dan menghidupkan orang mati dengan
izin Allah SWT.
Pertemuan ini menekankan kesinambungan dakwah antara nabi-nabi
terdahulu.
Langit Ketiga
Pertemuan dengan Nabi Yusuf A.S
Di langit ketiga, Nabi S.A.W bertemu dengan Nabi Yusuf A.S,
seorang nabi yang terkenal dengan ketampanannya dan kisah hidupnya yang penuh ujian.
Nabi Yusuf AS menyambut Nabi SAW dengan hormat dan menyampaikan doa
untuk baginda.
Pertemuan ini mengajarkan bahawa kesabaran dalam menghadapi ujian membawa
kepada kemuliaan dan kedekatan dengan Allah SWT.
Langit Keempat
Pertemuan dengan Nabi Idris A.S
Seterusnya, di langit keempat, Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Nabi
Idris A.S, seorang nabi yang disebut dalam Al-Quran sebagai nabi yang
diangkat ke tempat yang tinggi:
“Dan
Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi.” (Surah Maryam, ayat 57)
Nabi Idris A.S dikenali dengan ketakwaannya dan keistimewaannya sebagai
nabi yang mencapai kedudukan mulia di sisi Allah SWT.
Langit Kelima
Pertemuan dengan Nabi Harun A.S
Di langit kelima, Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Nabi Harun A.S,
abang kepada Nabi Musa AS. Nabi Harun AS dikenali dengan sifatnya yang lemah
lembut dan peranannya sebagai pembantu dalam dakwah Nabi Musa A.S kepada Bani
Israel.
Pertemuan ini memperlihatkan nilai ukhuwah dan kerjasama dalam
menyampaikan risalah Allah S.W.T.
Langit Keenam
Pertemuan dengan Nabi Musa A.S
Di langit keenam, Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Nabi Musa A.S,
seorang nabi yang gigih berdakwah kepada Bani Israel.
Dalam pertemuan ini, Nabi Musa A.S menangis kerana menyedari bahawa umat
Nabi Muhammad SAW akan dikurniakan keistimewaan yang lebih besar berbanding
umatnya.
Tangisan ini adalah bukti kasih sayang Nabi Musa A.S terhadap umat
manusia dan pengakuan bahawa syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah
penutup dan penyempurna kepada risalah terdahulu.
Langit Ketujuh
Pertemuan dengan Nabi Ibrahim AS
Akhirnya, di langit ketujuh, Nabi Muhammad S.A.W bertemu dengan Nabi
Ibrahim A.S, yang sedang bersandar di Baitul Ma’mur, tempat
para malaikat bertawaf seperti manusia bertawaf di Kaabah.
Nabi Ibrahim AS menyambut Nabi Muhammad SAW sebagai cucunya kerana
baginda adalah keturunan Nabi Ismail A.S, anak Nabi Ibrahim A.S.
Pertemuan ini menegaskan kesinambungan akidah tauhid yang bermula sejak
zaman Nabi Ibrahim A.S hingga kepada Nabi Muhammad S.A.W sebagai penutup para
nabi.
4. Penerimaan Perintah Solat Di Sidratul Muntaha
Perjalanan Mikraj Nabi Muhammad S.A.W mencapai puncaknya apabila baginda
tiba di Sidratul Muntaha, satu lokasi agung di langit ketujuh yang
tidak dapat dicapai oleh mana-mana makhluk lain.
Di sinilah Nabi S.A.W menerima salah satu anugerah terpenting untuk umat
Islam: kewajipan solat.
Sidratul Muntaha: Sempadan Akhir Makhluk
Sidratul Muntaha adalah sebuah pohon besar yang menjadi sempadan
terakhir bagi semua makhluk.
Pohon ini disebutkan dalam Al-Quran sebagai tempat yang luar biasa,
dikelilingi oleh keindahan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata
manusia. Allah SWT berfirman:
“Di
Sidratul Muntaha. Di dekatnya ada syurga tempat tinggal. Ketika Sidratul
Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatan (Muhammad) tidak
menyimpang dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya.” (Surah An-Najm ayat 14-17)
Nabi Muhammad SAW menyaksikan keajaiban yang tidak pernah dilihat oleh mata,
didengar oleh telinga, atau dirasakan oleh hati manusia.
Sidratul Muntaha adalah tempat di mana segala rahsia dan kebesaran Ilahi
tersingkap, tetapi tidak dapat dicapai oleh sesiapa kecuali Nabi Muhammad S.A.W.
Pertemuan Langsung dengan Allah SWT
Di Sidratul Muntaha, Nabi Muhammad S.A.W bertemu dengan Allah SWT tanpa
perantaraan.
Peristiwa ini adalah satu anugerah yang unik dan menunjukkan kedudukan
istimewa baginda sebagai Rasul terakhir. Dalam pertemuan ini, Allah SWT
memfardukan solat sebanyak 50 waktu sehari semalam kepada umat
Islam.
Solat ini menjadi lambang hubungan langsung antara manusia dengan
Penciptanya, yang tidak memerlukan perantara.
Pengurangan Kewajipan Solat
Setelah menerima kewajipan solat, Nabi Muhammad SAW turun dari Sidratul
Muntaha dan bertemu dengan Nabi Musa A.S di langit keenam.
Nabi Musa AS menasihati Nabi Muhammad S.A.W agar memohon pengurangan
kepada Allah S.W.T, kerana umat manusia tidak akan mampu melaksanakan solat
sebanyak 50 waktu sehari.
Nabi Muhammad S.A.W kembali menghadap Allah S.W.T beberapa kali, dan
setiap kali baginda memohon, Allah S.W.T mengurangkan jumlah solat sehingga
akhirnya solat diringankan menjadi lima waktu sehari semalam.
Walaupun jumlahnya diringankan, pahala bagi solat lima waktu ini tetap
sama seperti melaksanakan 50 waktu, menunjukkan rahmat Allah yang luar biasa
kepada umat Nabi Muhammad S.A.W.
Hadis Sahih Mengenai Peristiwa Ini:
“Allah
memfardukan kepada umatku 50 waktu solat. Aku terus kembali kepada Allah untuk
meminta keringanan sehingga akhirnya solat diringankan menjadi lima waktu.
Namun, Allah berfirman, ‘Lima waktu ini tetap dianggap seperti 50 waktu dalam
ganjarannya.’“(Hadis Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Hikmah dari Sidratul Muntaha dan Penerimaan Solat
1. Solat Sebagai Tiang Agama. Perintah solat yang diterima langsung daripada Allah SWT menunjukkan
betapa pentingnya solat sebagai tiang agama dan bentuk ibadah utama dalam
Islam.
2. Rahmat dan Kasih Sayang Allah. Pengurangan kewajipan solat daripada 50 waktu kepada lima waktu adalah
bukti kasih sayang Allah S.W.T kepada umat Nabi Muhammad S.A.W, kerana Dia
mengetahui kemampuan dan kelemahan hamba-Nya.
3. Keistimewaan Nabi Muhammad SAW. Pertemuan langsung antara Nabi Muhammad S.A.W dengan Allah S.W.T di
Sidratul Muntaha menunjukkan kedudukan baginda sebagai Rasul yang paling mulia.
5. Penyaksian Syurga dan Neraka
Dalam perjalanan Mikraj, Nabi Muhammad S.A.W diberikan peluang oleh
Allah S.W.T untuk menyaksikan keadaan syurga dan neraka.
Gambaran ini tidak hanya menunjukkan keindahan syurga sebagai balasan
bagi mereka yang beriman, tetapi juga memperlihatkan kengerian azab neraka bagi
mereka yang kufur dan derhaka.
Penyaksian ini menjadi peringatan penting kepada umat Islam tentang
hakikat kehidupan akhirat.
Penyaksian
Syurga: Balasan bagi Orang Beriman
Ketika Nabi Muhammad S.A.W menyaksikan syurga, baginda melihat
kenikmatan yang luar biasa yang Allah SWT sediakan untuk orang-orang yang
beriman dan beramal soleh.
Syurga digambarkan sebagai tempat penuh kenikmatan, dengan sungai-sungai
yang mengalir, buah-buahan yang tersedia, dan segala keindahan yang tidak
pernah dilihat oleh mata atau dirasakan oleh hati manusia.
·
Nabi
S.A.W melihat bahawa ahli syurga adalah mereka yang menjaga solatnya, berbuat
baik kepada sesama manusia, dan melaksanakan perintah Allah S.W.T dengan penuh
ketaatan.
·
Di
syurga, setiap orang mendapat balasan yang setimpal dengan amalannya di dunia,
sebagaimana Allah SWT berfirman: “Dan sampaikanlah berita gembira
kepada mereka yang beriman dan beramal soleh, bahawa bagi mereka syurga yang
mengalir di bawahnya sungai-sungai.” (Surah Al-Baqarah, 2:25)
Syurga menjadi tempat istirahat abadi bagi mereka yang berjaya melalui
ujian dunia dengan penuh kesabaran dan keimanan.
Penyaksian
Neraka: Azab bagi Orang yang Derhaka
Nabi Muhammad S.A.W juga menyaksikan keadaan neraka, tempat azab bagi
orang-orang yang kufur, derhaka, dan melanggar perintah Allah SWT. Neraka
digambarkan sebagai tempat penuh penderitaan, dengan api yang menyala-nyala dan
azab yang tidak terbayangkan.
·
Nabi
S.A.W melihat pelbagai jenis azab yang disediakan untuk mereka yang berdosa,
termasuk orang yang tidak menjaga solat, memakan harta anak yatim, dan menipu
dalam timbangan.
·
Setiap
dosa yang dilakukan membawa azab yang sesuai, menunjukkan keadilan Allah S.W.T
dalam membalas setiap perbuatan manusia.
Hadis Mengenai Penyaksian Neraka:
“Kemudian
aku diperlihatkan neraka, dan aku tidak pernah melihat sesuatu pun yang lebih
menakutkan daripada itu. Aku melihat kebanyakan penghuninya adalah wanita
kerana kekufuran mereka.” (Hadis Riwayat Bukhari, no.
304)
Nabi SAW menyaksikan bahawa penghuni neraka menjerit meminta
pertolongan, tetapi tiada yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah S.W.T.
Hikmah Penyaksian Syurga dan Neraka
1. Peringatan tentang Akhirat. Penyaksian ini mengingatkan umat Islam bahawa kehidupan dunia adalah
persinggahan sementara, dan kehidupan akhirat adalah destinasi yang kekal.
2. Motivasi untuk Beramal Soleh. Gambaran syurga memberi motivasi kepada umat Islam untuk meningkatkan
amalan soleh dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
3. Keadilan Allah SWT. Neraka menjadi simbol keadilan Ilahi, di mana setiap dosa dan
kesalahan akan dibalas setimpal.
6. Kepulangan ke Mekah & Penerimaan Kaum Musyrikin
Selepas menyempurnakan perjalanan agung Israk Mikraj, Nabi Muhammad .SA.W
kembali ke Mekah pada malam yang sama.
Peristiwa ini, yang melibatkan perjalanan luar biasa ke Masjidil Aqsa
dan ke langit tertinggi, menjadi bukti mukjizat agung yang dianugerahkan oleh
Allah S.W.T kepada baginda.
Namun, perjalanan ini turut menguji keimanan umat manusia terhadap
kebenaran risalah Islam.
Setibanya di Mekah, Nabi Muhammad S.A.W menceritakan pengalaman
perjalanan ini kepada kaum Quraisy.
Baginda menjelaskan bahawa dalam satu malam, baginda telah diperjalankan
dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, naik ke Sidratul Muntaha, menyaksikan
syurga dan neraka, dan kembali semula ke Mekah. Namun, kaum Quraisy mendustakan
kisah ini kerana ia melampaui logik akal manusia.
Kaum Quraisy yang sudah sedia menentang baginda menggunakan kisah ini
sebagai alasan untuk memperolok-olokkan baginda dan menuduh baginda berdusta.
Mereka beranggapan bahawa perjalanan sejauh itu dalam satu malam adalah
sesuatu yang mustahil, kerana mereka mengukur dengan kemampuan manusia biasa.
Keimanan
Abu Bakar As-Siddiq
Di sebalik penentangan dan ejekan kaum Quraisy, Abu Bakar
As-Siddiq tampil sebagai salah seorang yang pertama mempercayai dan
membenarkan kisah ini tanpa ragu.
Apabila kaum Quraisy datang kepadanya untuk memprovokasi dan merendahkan
Nabi Muhammad S.A.W, Abu Bakar berkata:
“Jika
Muhammad yang mengatakan demikian, maka itu adalah benar. Aku mempercayainya
tentang sesuatu yang lebih besar daripada itu, iaitu wahyu dari langit.”
Sikap dan keimanan yang teguh ini menjadikan Abu Bakar diberi
gelaran As-Siddiq, yang bermaksud “yang membenarkan”.24
Beliau menjadi teladan dalam mempercayai perkara-perkara ghaib yang
datang daripada wahyu Ilahi, meskipun ia melampaui logik manusia.
Peristiwa Israk Mikraj bukan sekadar mukjizat luar
biasa, tetapi sarat dengan pelbagai pengajaran yang boleh diambil oleh umat
Islam sepanjang zaman.
Ia mengandungi mesej-mesej penting yang menyentuh aspek keimanan,
ketaatan kepada Allah, dan hubungan manusia dengan Penciptanya serta sesama
manusia.
Setiap detik perjalanan ini menjadi peringatan besar tentang
tanggungjawab, amanah, dan hakikat kehidupan akhirat.
1. Kepentingan Solat Sebagai Tiang Agama
Solat lima waktu yang difardukan kepada umat Islam melalui Israk Mikraj
adalah bukti bahawa ia merupakan ibadah terpenting dalam Islam.
Perintah solat diterima oleh Nabi Muhammad S.A.W secara langsung
daripada Allah SWT tanpa perantaraan, menunjukkan kedudukan solat yang amat
tinggi di sisi-Nya.
Hikmah utama dari peristiwa ini adalah:
·
Solat
sebagai komunikasi langsung dengan Allah. Ia
bukan sekadar ritual harian, tetapi hubungan yang menghubungkan manusia dengan
PenciptaNya.
·
Kewajipan
yang penuh kasih sayang. Meskipun pada awalnya solat
difardukan sebanyak 50 waktu sehari, ia diringankan menjadi lima waktu sebagai
tanda rahmat Allah kepada umat manusia. Namun, pahala yang dijanjikan tetap
seperti melaksanakan 50 waktu.
·
Sumber
kekuatan. Solat menjadi asas yang menguatkan jiwa,
menenangkan hati, dan memberi petunjuk dalam kehidupan seharian.
Firman Allah S.W.T:
“Peliharalah
semua solatmu, dan peliharalah solat Wusta. Berdirilah untuk Allah (dalam
solatmu) dengan khusyuk.” (Surah Al-Baqarah, 2:238)
Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
“Solat
adalah tiang agama. Barang siapa mendirikannya, maka dia telah menegakkan
agama. Barang siapa meninggalkannya, maka dia telah meruntuhkan agama.” (Hadis Riwayat Baihaqi)
Perintah solat ini mengingatkan bahawa kejayaan seorang Muslim di dunia
dan akhirat bergantung kepada pelaksanaan solatnya.
2. Kepatuhan Nabi Muhammad S.A.W terhadap Perintah Allah
Peristiwa Israk Mikraj berlaku pada tahun ‘Aam al-Huzn’ (Tahun
Kesedihan), iaitu ketika Nabi Muhammad SAW kehilangan dua insan penting dalam
hidupnya: Khadijah R.A, isteri yang menjadi pendukung utama dakwah
baginda, dan Abu Talib, bapa saudara yang melindungi baginda
daripada ancaman Quraisy.
Dalam situasi penuh tekanan ini, Allah SWT menganugerahkan perjalanan
agung sebagai tanda kasih sayang-Nya.
·
Keimanan
teguh di sebalik ujian besar.
Nabi Muhammad S.A.W menunjukkan ketaatan mutlak kepada Allah S.W.T walaupun
diuji dengan cabaran emosi dan fizikal.
·
Kasih
sayang Ilahi. Peristiwa ini membuktikan bahawa
Allah S.W.T sentiasa menghibur dan menyokong hambaNya yang taat di saat paling
memerlukan.
·
Pengajaran
untuk umat. Umat Islam diajarkan untuk bersabar
dalam menghadapi ujian kerana setiap kesusahan adalah peluang untuk mendekatkan
diri kepada Allah dan meningkatkan keimanan.
3. Hikmah Pertemuan dengan Para Nabi Terdahulu
Salah satu peristiwa penting dalam Israk Mikraj adalah pertemuan Nabi
Muhammad SAW dengan para nabi terdahulu seperti Nabi Adam AS, Nabi
Musa A.S, dan Nabi Ibrahim A.S.
Pertemuan ini membawa beberapa hikmah besar:
·
Kesinambungan
dakwah. Risalah para nabi terdahulu saling melengkapi dan
mencapai kemuncaknya dengan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W sebagai penutup para
nabi.
·
Kedudukan
Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin.
Baginda diberi penghormatan untuk mengimami solat bersama para nabi di Masjidil
Aqsa, menunjukkan kepimpinan baginda dalam kalangan para nabi dan umat manusia.
·
Ukhuwah
Islamiah. Pertemuan ini mengingatkan umat Islam tentang
pentingnya persaudaraan dan kesatuan dalam memperjuangkan agama tanpa mengira
generasi atau bangsa.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya
agama (yang diridai) di sisi Allah hanyalah Islam…” (Surah Ali-Imran, 3:19)
4. Bukti Kebesaran Allah SWT Melalui Mukjizat Israk Mikraj
Mukjizat Israk Mikraj menunjukkan kekuasaan Allah S.W.T yang melampaui
logik manusia.
Nabi Muhammad S.A.W memperjalankan jasad dan rohnya dalam satu malam
dari Mekah ke Masjidil Aqsa, kemudian ke Sidratul Muntaha di langit tertinggi.
Mukjizat ini memberi pengajaran penting bahawa:
·
Mukjizat
Ilahi adalah nyata. Kejadian ini adalah bukti bahawa
Allah S.W.T berkuasa melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki, termasuk perkara
yang melangkaui pemahaman manusia.
·
Kebesaran
Allah yang melampaui batas duniawi.
Mukjizat ini menjadi peringatan bahawa kehidupan dunia hanya sementara, dan
yang kekal adalah kehidupan akhirat.
·
Pentingnya
keimanan kepada yang ghaib. Umat Islam diajarkan untuk
mempercayai perkara ghaib berdasarkan dalil Al-Quran dan hadis, walaupun tidak
dapat dijelaskan secara logik.
Malam Israk Mikraj adalah malam yang penuh keberkatan dan hikmah, di
mana umat Islam memperingati peristiwa agung perjalanan Nabi Muhammad S.A.W ke
langit tertinggi.
Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :”)



























Israk Mikraj ini memberi pengajaran penting bahawa:
ReplyDeleteMukjizat Ilahi adalah nyata. Kejadian ini adalah bukti bahawa Allah S.W.T berkuasa melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki, termasuk perkara yang melangkaui pemahaman manusia.
Kebesaran Allah yang melampaui batas duniawi. Mukjizat ini menjadi peringatan bahawa kehidupan dunia hanya sementara, dan yang kekal adalah kehidupan akhirat.
Pentingnya keimanan kepada yang ghaib. Umat Islam diajarkan untuk mempercayai perkara ghaib berdasarkan dalil Al-Quran dan hadis, walaupun tidak dapat dijelaskan secara logik...
Allahumma solli 'ala saidina Muhammad :")