Bulan Sya’ban
SYA’BAN adalah salah satu bulan Hijrah yang mempunyai
keistimewaan tersendiri. Sya’ban dianggap pintu gerbang Ramadhan kerana pada
bulan itu umat Islam masih boleh makan dan minum pada siang hari sebelum mereka
menyambut kedatangan bulan puasa yang penuh berkat.
Kelebihan Sya’ban dapat dilihat apabila Rasulullah S.A.W
pernah memberitahu sahabat mengenai Sya’ban. Bulan itu dinamakan demikian
kerana pada bulan itu Allah banyak memberi rahmat kepada hamba-Nya.
Pada bulan Sya’ban, ada satu malam sangat dinantikan umat
Islam iaitu malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu, umat Islam akan membanjiri
masjid dan surau untuk menghidupkan malam itu dengan bacaan surah Yasin secara
beramai-ramai.
Malangnya, timbul persoalan mengapa umat Islam hanya
melangkah kaki ke masjid dan surau pada malam Nisfu Sya’ban sahaja, tidak pada
hari lain dalam bulan lain. Perlu ditegaskan, setiap bulan Hijrah memiliki
keistimewaan dan kelebihan masing-masing dan bagi Muslim bertaqwa akan sentiasa
berusaha merebut dan meraih keistimewaan yang Allah sediakan pada bulan-bulan
tersebut.
Muslim sejati tidak akan memilih bulan tertentu untuk
beribadah kepada Allah. Mereka akan sentiasa beristiqamah dan beriltizam
menjunjung segala titah dan perintah Allah pada setiap masa dan keadaan sehinggalah
menghadap Allah suatu ketika nanti.
Malam Nisfu Sya’ban menjadi salah satu malam istimewa yang
dinantikan oleh umat islam. Malam yang jatuh pada pertengahan bulan sya’ban ini
diyakini sebagai waktu penuh rahmat dan penuh keampunan.
Dalam berbagai riwayat, disebutkan bahawa pada malam Nisfu
Sya’ban, Allah S.W.T membuka pintu keampunan seluas-luasnya bagi hambaNya yang
memohon ampun, berdoa dan mendekatkan diri kepadaNya. Kerana itu banyak ulama
menganjurkan agar malam tersebut diisi dengan berbagai amalan ibadah, baik
secara berjemaah mahupun berseorangan.
Bulan Sya’ban dikenal sebagai bulan persiapan spiritual
sebelum tibanya bulan Ramadhan. Rasulullah S.A.W sendiri banyak memperbanyak ibadah
di bulan ini, khususnya puasa sunat dan berdoa. Dalam sebuah hadis dijelaskan
bahawa malam Nisfu Sya’ban termasuk malam yang doa-doanya tidak tertolak,
sejajar dengan malam jumaat dan dua malam hari raya.
Malam Nisfu Sya’ban juga sering disebut sebagai lailatul
maghfirah, yakni malam pengampunan. Umat islam dianjurkan untuk memperbanyak
istigfar, memohon keampunan atas dosa-dosa yang telah lalu, serta memohon
kebaikan untuk masa hadapan.
Berikut adalah sejumlah amalan yang lazim dilakukan umat
islam saat malam Nisfu Sya’ban :
1.
Puasa Sunnah
Puasa sunnah, khususnya puasa ayyamul
bidh (tanggal 13,14 dan 15 bulan Hijriyah) sangat dianjurkan di bulan Sya’ban.
Rasulullah S.A.W dikenal sebagai insan yang banyak berpuasa di bulan ini kerana
pada bulan Sya’ban, amal-amal manusia diangkat dan diperlihatkan kepada Allah S.W.T
2.
Memperbanyak istigfar
Memohon ampunan menjadi inti utama
ibadah di malam Nisfu Sya’ban. Umat islam dianjurkan untuk memperbanyak istigfar
sebagai bentuk penyesalan atas dosa dan kesalahan, sekaligus harapan untuk
mendapat keampunan Allah S.W.T.
3.
Melaksanakan solat sunat
Solat sunat seperti solat tasbih dan solat awwabin dianjurkan dilakukan untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban. Solat ini umumnya dilakukan setelah maghrib atau di malam hari dengan bacaaan surah-surah pendek.
4.
Membaca Surah Yasin
Tradisi yang telah berkembang di
tengah masyarakat adalah membaca Surah Yasin sebanyak 3 kali. Bacaan tersebut
disertai niat memohon panjang umur dalam ketaatan, keselamatan dari bala, serta
kelapangan dan keberkahan rezeki.
5.
Memperbanyak zikir, selawat dan Doa
Malam Nisfu Sya’ban menjadi waktu
yang tepat untuk memperbanyak zikir dan selawat kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Selain itu, umat islam dianjurkan memanjatkan doa-doa kebaikan, baik untuk diri
sendiri, keluarga mahupun umat islam secara umum.
Antara Nisfu Syaaban dan Lailatul
Qadr
Jika kita lihat di Malaysia ramai
orang Melayu kita berebut-rebut memenuhi masjid dan surau semata-mata untuk
merebut fadhilat malam Nisfu Sya’ban. Sememangnya terdapat juga himpunan hadis
menerangkan keistimewaan Sya’ban, kelebihan malam Nisfu Syaaban dan keutamaan
amalan tertentu pada bulan itu. Tetapi kebanyakan daripada hadis itu adalah
hadis daif menurut pandangan ulama. Walau bagaimanapun ada sebahagian ulama
berpendapat hadis daif boleh dipegang dalam amalan sunat secara perseorangan.
Hadis yang boleh dipegang dalam
masalah Nisfu Syaaban ialah:
“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya
pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik
(orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” [Riwayat Ibn
Hibban, al-Bazzar dan lain-lain].
Hadis ini tidak mengajar kita apakah
bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam
tersebut bukan dari ajaran Nabi S.A.W.
Dalam masa yang sama berapa kerat
sangatkah daripada kita yang berebut-rebut untuk mencari malam Lailatul Qadr.
Sedangkan dalil berkenaan kelebihan malam Lailatul Qadr sudah jelas termaktub
di dalam al-Quran dan juga disebut di dalam hadis-hadis yang sohih.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami
telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang
membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatul qadar ialah
malam yang lebih baik berbanding 1,000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan
Jibril turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan
berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga
terbit fajar. (al-Qadr: 1-5).
Bacaan Yasin sebanyak 3 kali pada
malam Nisfu Syaaban
Biasanya diadakan majlis bacaan surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti :
Pada bacaan Yasin pertama, diniatkan
memohon panjang umur.
Pada bacaan Yasin kedua, diniatkan
memohon dijauhkan bala.
Pada bacaan Yasin ketiga, diniatkan
memohon murah rezeki yang halal.
Diperhatikan bahawa amalan sambutan
Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di
seluruh dunia melainkan di Malaysia dan sekitar Nusantara.
Jika diperhatikan ada disesetengah
tempat pada malam Nisfu Syaaban, mereka membaca Surah Yasin dengan begitu
pantas sehingga mengabaikan hukum-hukum tajwid. Ini berlaku semata-mata ingin
mengejar bilangan 3 kali bacaan. Sebetulnya
kita perlu membaca al-Quran dengan cara yang betul dan bertepatan dengan bacaan
sebagaimana ianya diturunkan oleh Allah Taala. Jadi manakah pilihan
terbaik; membaca Yasin 1 kali dengan
bertajwid, ataupun membaca surah Yasin sebanyak 3 kali dengan mengabaikan
tajwid?
Allah Taala berfirman di dalam
Al-Quraan :
“Dan bacalah Al-Quran dengan penuh tartil (bertajwid)”. (QS 73 : 4)
Manakala hukum mempelajari ilmu
tajwid adalah Fardhu Kifayah dimana jika ianya dipelajari oleh seorang maka
semua tidak berdosa. Hukum membaca al-Quran dengan bertajwid pula adalah Fardhu
‘Ain ke atas semua orang islam.
Doa antara bacaan Yasin malam Nisfu Syaabaan
Sepertimana yang biasa diamalkan oleh
penduduk tempatan:
Doa pada bacaan Yasin pertama,
diniatkan memohon panjang umur.
Doa pada bacaan Yasin kedua,
diniatkan memohon dijauhkan bala.
Doa pada bacaan Yasin ketiga,
diniatkan memohon murah rezeki yang halal.
Sebenarnya kita digalakkan berdoa apa
saja kepada Allah S.W.T pada malam Nisfu Syaaban untuk kebaikan kita di dunia
dan di akhirat. Tidak hanya tertakluk pada tiga doa di atas sahaja. Apa-apa
sahaja doa untuk kebaikan sepertimana firman Allah S.W.T di dalam al-Quran:
Firman Allah di dalam al-Quran:
“Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan
Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari
menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.”
(Surah al-Mu’min, 40: 60)
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya
kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku
mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka
hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman
kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
(Surah al-Baqarah, 2: 186)
Para ulama menekankan bahawa inti dari malam Nisfu Sya’ban bukan hanya pada banyaknya amalan, tetapi pada kesungguhan hati dalam mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Semoga kita semua sentiasa ikhlas dalam beribadah kepada Allah S.W.T. Hanya Allah sahajalah Tuhan yang layak disembah dan diminta pertolongan. Semoga Allah sentiasa memberi rahmat dan keampunan kepada semua umat islam di dunia ini.
Allahumma solli ‘ala
saidina Muhammad :”)









No comments:
Post a Comment