Kata Azimat

Kata Azimat
" Usaha itu Perlu, Doa itu Pembantu, Allah itu Penentu"... "Setiap Ilmu Yg Dipelajari perlu kepada Bimbingan Akal serta Panduan Iman Agar tidak tersasar dari Landasannya"... "Tiada tali yang paling erat selain tali silaturrahim, Tiada pintu yang pling kukuh selain pintu hati.., Tiada hutang yang pling berat selain hutang budi.., Tiada pemberian yang paling berharga selain memberi maaf"..."Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya selagi hamba- hambanyaNya mengingatinya"... "Setiap Ujian Yang Datang Daripada Allah.., Pasti akan ada hikmahnya..,Terpulang pada diri untuk menilainya"... "The More We Learn..., The More We Know that We Are So Stupid.."......"Ukhuwah yang dibina di antara kita biarlah seperti seutas tasbih..,, ada awal.., tiada penghujungnya,,,,, dicipta untuk mengingati-Nya...dibahagi untuk cinta-Nya..,, dan diratib demi keredhaan-Nya..Ukhuwah itu umpama ikatan tasbih.. Butir-butir tasbih mewakili roh-roh yang terjalin, manakala ikatan tali tasbih mewakili ukhuwah tersebut.. Sekiranya ikatan tersebut tidak diketahui dan terputus.., maka bercerailah roh-roh tersebut dan menjadi jauh..;')

Thursday, February 26, 2026

Ramadhan Madrasah Iman, Mendidik Ikhlas, Doa, dan meraih Syafaat




Ramadhan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, namun merupakan madrasah besar yang mendidik keimanan seseorang hamba. Melalui puasa, seorang muslim dilatih untuk ikhlas dalam beribadah, mendekatkan diri kepada Allah dengan doa, serta menumbuhkan keyakinan akan hari akhirat, syafaat, dan ampunan-Nya. Inilah hikmah agung Ramadhan: iman yang tumbuh, hati yang bersih, dan harapan besar untuk keselamatan pada hari akhirat.

 

Rasulullah S.A.W memberikan khabar gembira kepada para sahabat beliau :

 

ِ«قَدْ جَاءَكُمْ شَهْرُ رَمَضَانَ، شَهْرٌ مُبَارَكٌ، افْتَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ، يُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَيُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ، وَتُغَلُّ فِيهِ الشَّيَاطِينُ، فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ»

 

Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkahan. Allah mewajibkan atas kalian untuk berpuasa di dalamnya. Pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan-syaitan dibelenggu. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa saja yang terhalang dari kebaikan malam itu, sungguh ia benar-benar terhalang dari kebaikan yang besar.”

(HR. An-Nasā’i)



Setelah Rasulullah S.A.W mengabarkan keagungan dan kemuliaan bulan Ramadhan iaitu dibukanya pintu syurga, ditutupnya pintu neraka, dan dibelenggunya syaitan-syaitan, maka pertanyaan penting bagi kita adalah apa hikmah yang seharusnya lahir dari ibadah puasa di bulan yang agung ini?

 

Di antara hikmah terpenting dari ibadah puasa adalah tentang keimanan.

1. Ramadhan mendidik Iman melalui keikhlasan

Salah satu impak terbesar dari ibadah puasa adalah tumbuhnya keikhlasan. Keikhlasan merupakan hikmah yang diraih seorang muslim dari ibadah puasanya. Hal ini kerana puasa adalah ibadah yang bersifat tersembunyi, hanya antara seorang hamba dengan Rabb-nya. Puasa mendidik seorang mukmin untuk mentauhidkan Allah dan mengikhlaskan seluruh amal hanya kepada-Nya semata-mata, tanpa menyekutukan-Nya dengan apa pun.

 


Allah S.W.T berfirman dalam hadits qudsi:

 

ِ«إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، إِنَّهُ تَرَكَ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ وَشَرَابَهُ مِنْ أَجْلِي»

 

“Semua amal anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Ia meninggalkan syahwatnya, makanannya, dan minumannya kerana Aku.”

                                    (HR. al-Bukhari dan Muslim)

 


Ikhlas adalah memurnikan niat ibadah hanya untuk Allah, membersihkan amal dari keinginan dipuji manusia, serta menyelaraskan antara zahir dan batin tanpa mencari pengakuan selain dari-Nya.

 

Keikhlasan dibicarakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah S.A.W bersabda tentang tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari kiamat, ketika tidak ada naungan selain naungan-Nya. Di antara mereka adalah :

 

ِوَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا، حَتَّىٰ لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ

 

Seseorang yang bersedekah lalu menyembunyikannya, sampai-sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya.”

 

Pada zaman mutakhir ini, sifat riya’ sering hadir dengan wajah yang halus dan terlihat “biasa”. Di antaranya :

  • -  -           Beribadah lalu dipamerkan di media sosial, seperti menunjukkan sedekah, infak, atau kegiatan masjid agar mendapat pujian dan pengiktirafan.
  • -        Mempamerkan ibadah dengan tujuan penceritaan, bukan untuk mengajak kebaikan, tetapi agar dianggap insan yang paling baik.
  • -   . Merasa kecewa ketika amal tidak mendapat respon, like atau pujian, padahal seharusnya keredhaan Allah sahaja yang dicari.

Inilah bentuk riya’ di zaman digital: amal dilakukan, tetapi hati sibuk menunggu penilaian dan pengiktirafan manusia.

 


2. Ramadhan Menguatkan Iman dengan kedekatan kepada Allah S.W.T melalui Doa

Terdapat kaitan yang sangat kuat antara puasa dan doa. Hal ini terlihat dari penempatan ayat Allah:

 

ِ﴿وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ﴾

 

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan doa orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku.”

                                         (Surah Al-Baqarah: 186)

 

Ayat ini terletak antara ayat-ayat tentang puasa, sebagai penegasan adanya hubungan erat antara puasa dan doa. Puasa merupakan keadaan yang sangat diharapkan terkabulnya doa. Dalil-dalil menunjukkan keutamaan berdoa saat berpuasa, dan seorang mukmin sangat diharapkan doanya dikabulkan apabila syarat-syaratnya dipenuhi dan penghalangnya tidak ada.

 

Dalam hadis disebutkan:

 

ِ«لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ دَعْوَةٌ لَا تُرَدُّ»

 

Bagi orang yang berpuasa, ketika berbuka terdapat doa yang tidak akan ditolak.”

                                                (HR. al-Hakim)



Ibnul Qayyim rahimahullah berkata dalam kitab Ad-Daa’ wa Ad-Dawaa’ (hlm. 16-17) sebagai berikut.

 

ِوالدُّعَاءُ مِنْ أَنْفَعِ الأَدْوِيَّةِ وَهُوَ عَدُوُّ البَلَأِ يُدَافُعُهُ وَيُعَالِجُهُ وَيَمْنَعُ نُزُوْلَهُ وَيَرْفَعُهُ أَوْ يُخَفِّفُهُ إِذَا نَزَلَ وَهُوَ سِلاَحُ المُؤْمِنِ

 

Doa adalah salah satu ubat yang paling bermanfaat. Ia merupakan musuh bagi berbagai musibah: doa dapat menghadangnya, mengubatinya, mencegah turunnya musibah, serta mengangkat atau meringankannya ketika musibah itu telah terjadi. Kerana itu, doa adalah senjata seorang mukmin.

 

Itulah antara sebab doa itu disebut sebagai senjata orang mukmin. Hal ini sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Hakim dalam kitab Shahih-nya, dari ‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu, bahwasanya suatu ketika Rasulullah S.A.W bersabda,

 

ِالدُّعَاءُ سِلاَحُ المُؤْمِنِ وَعِمَادُ الدِّيْنِ وَنُوْرُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ

 

Doa adalah senjata kaum mukminin dan merupakan tiang agama, serta cahaya langit dan bumi.”

Keadaan seorang mukmin saat berpuasa sangat layak untuk dikabulkan doanya, kerana ia berada dalam kondisi dekat dengan Rabb-nya, akibat jiwanya yang tunduk, kelelahan, dan kelemahan dirinya di hadapan Allah.

 



3. Ramadhan Menanamkan Iman kepada Hari Akhirat melalui Syafaat

Puasa juga mengandung penetapan adanya syafaat pada hari kiamat. Puasa termasuk di antara amalan yang diberi kemampuan untuk memberi syafaat. Allah mengkhususkannya dengan syafaat kerana keagungan kedudukannya dan besarnya keutamaannya. Dengan izin Allah S.W.T, puasa menjadi pemberi syafaat bagi seorang mukmin pada hari Kiamat.

Dalam hadis disebutkan:

 

ِ«إِنَّ الصِّيَامَ وَالْقُرْآنَ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ»

 

Sesungguhnya puasa dan Al-Qur’an akan memberi syafaat bagi seorang hamba pada hari kiamat.”    

                                                        (HR. Ahmad)

 


Syafaat sendiri maknanya adalah thalabul khair lil ghairi, memohon kebaikan bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk orang lain. Syafaat boleh terjadi dari amalan kita, dan juga kerana sayangnya Nabi Muhammad S.A.W terhadap kita.

 

Dari ‘Auf bin Malik Al-Asyja’i, Rasulullah S.A.W bersabda kepada para sahabatnya,


ِأتَدرونَ ما خَيَّرَني ربِّيَ اللَّيلةَ ؟ قُلنا : اللَّهُ ورسولُهُ أعلمُ ، قالَ : فإنَّهُ خَيَّرَني بينَ أن يدخلَ نصفُ أُمَّتي الجنَّةَ ، وبينَ الشَّفاعةِ ، فاختَرتُ الشَّفاعةَ ، قُلنا : يا رسولَ اللَّهِ ادعُ اللَّهَ أن يجعلَنا مِن أهْلِها ، قالَ : هيَ لِكُلِّ مُسلمٍ

 

Apakah kalian tahu apa yang Rabbku tawarkan kepadaku malam ini?”

 

Kami menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”

 

Beliau bersabda, “Sesungguhnya Rabbku memberiku pilihan antara masuknya setengah dari umatku ke dalam syurga, atau syafaat. Maka aku memilih syafaat.”

 

Kami berkata, “Wahai Rasulullah, mohonkanlah kepada Allah agar DIA menjadikan kami termasuk orang-orang yang mendapatkannya.”

 

Beliau bersabda, “Syafaat itu diperuntukkan bagi setiap muslim.”

   (HR. Ibnu Majah)

 


4. Ramadhan Mengukuhkan Iman terhadap ketinggian Allah S.W.T

Puasa juga mengandung penetapan sifat ‘uluw (ketinggian) bagi Allah, iaitu bahawa Allah Maha tinggi ke atas makhluk-Nya, dan sifat ini termasuk sifat dzatiyyah yang tidak terpisah dari-Nya. Diturunkannya Al-Qur’an dari Allah pada bulan puasa menjadi dalil bagi sifat ini, karena penurunan hanya terjadi dari tempat yang tinggi.

 

Di antara bukti kemuliaan ibadah puasa di sisi Allah adalah bahawa Allah menurunkan Al-Qur’an pada bulan ini dari atas tujuh lapis langit, untuk menjelaskan keutamaan dan kedudukannya. Allah S.W.T berfirman:

 

ِ﴿شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ﴾

 

Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur’an.”

                                        (Surah Al-Baqarah: 185)

 


5. Ramadhan melatih Iman untuk mengharap keampunan Allah S.W.T

Ibadah puasa juga mengandungi penetapan sifat al-‘afwu (Maha Pemaaf) bagi Allah, sesuai dengan keagungan-Nya. Allah S.W.T mensyariatkan puasa agar sifat ini tampak pada hamba-hamba-Nya yang berpuasa, bahawa Dia memaafkan orang yang berbuat dosa dan melapangkan kesalahan orang yang khilaf.

 

Oleh kerana itu, dianjurkan untuk memperbanyak doa memohon ampunan dan maaf kepada Allah S.W.T pada malam Lailatul Qadar di bulan Ramadhan dengan doa:

 

ِ«اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي»

 

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan menyukai kemaafan, maka maafkanlah aku.”

                                                      (HR. at-Tirmidzi)

 


Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata:

 

ِالْعَفْوُ مُتَضَمِّنٌ لِإِسْقَاطِ حَقِّهِ قِبَلِهِمْ وَمُسَامَحَتِهِمْ بِهِ، وَالْمَغْفِرَةُ مُتَضَمِّنَةٌ لِوِقَايَتِهِمْ شَرَّ ذُنُوبِهِمْ، وَإِقْبَالِهِ عَلَيْهِمْ، وَرِضَاهُ عَنْهُمْ؛ بِخِلَافِ الْعَفْوِ الْمُجَرَّدِ؛ فَإِنَّ الْعَافِيَ قَدْ يَعْفُو، وَلَا يُقْبِلُ عَلَى مَنْ عَفَا عَنْهُ، وَلَا يَرْضَى عَنْهُ.

 

‘Afwu mengandung makna menggugurkan hak-Nya atas mereka dan memaafkan mereka. Sedangkan maghfirah mengandung makna melindungi mereka dari akibat buruk dosa-dosa mereka, Allah mendekatkan perhatian-Nya kepada mereka, menerima mereka, dan redha kepada mereka. Berbeza dengan ‘afwu yang sekadar (murni) ‘afwu, kerana orang yang memaafkan bisa saja memaafkan, tetapi tidak mendekat kepada orang yang dimaafkannya, dan tidak redha kepadanya.

 

ِفَالْعَفْوُ تَرْكٌ مَحْضٌ، وَالْمَغْفِرَةُ إحْسَانٌ وَفَضْلٌ وَجُودٌ

 Maka, ‘afwu adalah sekadar meninggalkan tuntutan (murni melepaskan), sedangkan maghfirah adalah kebaikan, kurniaan, dan kemurahan.

                                (Majmū‘ al-Fatāwā, 14:140)


Maka, Ramadhan yang berkesan ialah Ramadhan yang membentuk jiwa yang lebih tenang, lisan yang lebih terpelihara dan hubungan yang lebih harmoni  kerana  inilah tanda puasa yang benar-benar hidup dalam diri… Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :”)




1 comment:

  1. Ramadhan bukan sekadar latihan fizikal menahan lapar dan dahaga, tetapi latihan jiwa menundukkan hawa nafsu dan memperhalus akhlak... Para sahabat r.a. memahami bahawa nilai puasa terletak pada perubahan dalaman, bukan hanya pada penahanan zahir...

    Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan keji, maka Allah tidak berhajat kepada dia meninggalkan makan dan minumnya.”
    (Riwayat al-Bukhari)

    ReplyDelete