Kata Azimat

Kata Azimat
" Usaha itu Perlu, Doa itu Pembantu, Allah itu Penentu"... "Setiap Ilmu Yg Dipelajari perlu kepada Bimbingan Akal serta Panduan Iman Agar tidak tersasar dari Landasannya"... "Tiada tali yang paling erat selain tali silaturrahim, Tiada pintu yang pling kukuh selain pintu hati.., Tiada hutang yang pling berat selain hutang budi.., Tiada pemberian yang paling berharga selain memberi maaf"..."Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya selagi hamba- hambanyaNya mengingatinya"... "Setiap Ujian Yang Datang Daripada Allah.., Pasti akan ada hikmahnya..,Terpulang pada diri untuk menilainya"... "The More We Learn..., The More We Know that We Are So Stupid.."......"Ukhuwah yang dibina di antara kita biarlah seperti seutas tasbih..,, ada awal.., tiada penghujungnya,,,,, dicipta untuk mengingati-Nya...dibahagi untuk cinta-Nya..,, dan diratib demi keredhaan-Nya..Ukhuwah itu umpama ikatan tasbih.. Butir-butir tasbih mewakili roh-roh yang terjalin, manakala ikatan tali tasbih mewakili ukhuwah tersebut.. Sekiranya ikatan tersebut tidak diketahui dan terputus.., maka bercerailah roh-roh tersebut dan menjadi jauh..;')

Sunday, July 19, 2026

Alunan azan Bilal bin Rabah membelah langit


Kisah cinta dan perjuangan lelaki kulit hitam ini terlalu agung. Tidak terbayar dengan segala isi dunia. Malah kerana cinta itulah dia diangkat darjatnya daripada seorang hamba yang sering dihina, dicemuh, dan diseksa kepada insan yang mulia di sisi Allah dan Rasul.

 

Kisah Bilal bin Rabah si tukang azan cukup meruntun jiwa sesiapa sahaja yang mengetahuinya. Dia dikagumi dek ketabahannya.  Lelaki ini dilahirkan di daerah al-Sarah di pinggir Kota Mekah kira-kira tahun 43 sebelum Hijrah sebagai seorang hamba. Ada riwayat menyatakan dia lahir di Habsyah (kini dikenali sebagai Ethiopia).

 

Ayahnya bernama Rabah dan ibunya Hamamah, seorang wanita berkulit hitam. Bilal mempunyai seorang abang bernama Sahib. Sejak kecil, anak malang itu sering diejek oleh penduduk setempat dengan panggilan Ibnul Sauda bermaksud putera wanita hitam.

 

Perjalanan hidupnya cukup pahit. Menurut cerita, kedua-dua ibu bapanya dikatakan berasal dari Habsyah berpindah ke Kota Mekah untuk membina kehidupan baru. Bagaimanapun setibanya dipertengahan jalan mereka dirompak, kemudian ditangkap dan ditawan, sebelum dijual di pasar Ukaz.

 


Pasangan ini dibeli keluarga Bani Abdul Dar. Mereka dipaksa bekerja siang dan malam tanpa diberi makanan yang mencukupi, serta dilayan dengan kejam.  Pernah suatu ketika Sahib menangis kelaparan lalu si ibu mengambil sekeping roti sisa makanan tuannya. Melihat keadaan itu, wanita malang tersebut diherdik dan dipukul. Roti itu dicampak kepada anjing. Bagi mereka seluruh keluarga Bilal lebih hina daripada anjing.

 

Setelah meningkat remaja, dia terpaksa berpisah dengan satu-satunya saudara kandung. Sahib dijual kepada pasangan suami isteri yang kaya di Yaman. Abangnya itu beruntung kerana pasangan tersebut tidak mempunyai anak. Dia dilayan seperti anak sendiri. Sementara si ibu menderita kerinduan, tambahan pula sering diseksa oleh tuannya sehingga meninggal dunia. Tidak lama selepas itu ayahnya pula menyusul kerana sakit tenat.

 


Keimanan tidak dapat ditukar ganti

 

Tinggallah si Bilal sebatang kara. Dalam usia yang masih muda, Bilal kehilangan semua orang yang disayangi. Setelah ayahnya meninggal, Bilal diserahkan pada tuan yang baru iaitu Umayyah bin Khalaf.  


Pada mulanya dia dilayan dengan baik, lebih-lebih lagi dia seorang hamba yang setia dan patuh terhadap tuannya. Malah dia dikenali sebagai seorang yang rajin, bertanggungjawab, ikhlas, amanah, berani, tabah dan sanggup menghadapi risiko demi mempertahankan kebenaran.

 

Setelah Muhammad S.A.W dipilih menjadi nabi dan rasul, Bilal adalah antara orang yang terawal memeluk Islam bersama Khadijah binti Khuwailid, Abu Bakar as-Siddiq, Ali bin Abi Thalib, Amar ibnu Yasir, Sumayyah, Suhaib ar-Rumi dan Miqdad Aswad.  Dia begitu bersungguh-sungguh mendalami agama yang baru dianuti itu sehingga sanggup berulang-alik ke rumah Arqam bin Abi al-Arqam secara bersembunyi kerana bimbang diketahui oleh tuannya. 


Bagaimanapun berita pengislaman Bilal sampai ke pengetahuan Umayyah. Dia memujuk Bilal agar meninggalkan Islam dan kembali kepada agama asal, tetapi Bilal tetap berkeras mempertahankan Islam sebagai anutannya dunia dan akhirat.

 


Dengan nada marah, Umayyah berkata,

 

“Aku berkuasa ke atas seluruh tubuhmu” namun dengan tenang hamba itu menjawab,

 

“Walaupun seluruh jasadku milikmu, tetapi bukan fikiranku, imanku dan kepercayaanku”

 

Setelah gagal memujuk Bilal, Umaiyyah mula bertindak kejam. Bilal bukan hanya dipukul dan diarak mengelilingi Kota Mekah, tetapi dia diikat dengan batu besar di atasnya badan dalam keadaan tanpa pakaian. Kemudian Bilal diheret ke tengah padang pasir.

 

Bukan setakat itu, malah Bilal juga dipukul, diseksa, dipakaikan baju besi dan dijemur di tengah panas pembahang tanpa diberi makanan dan minuman walau seteguk air. Badannya kelihatan berselirat dengan kesan sebatan cemeti.

 


Walau begitu teruk seksaan yang dikenakan pada Bilal, namun semua itu bukan sahaja tidak dapat melemahkan keimanannya kepada Allah, malah menguatkan lagi ketakwaannya. 


Sikap dan tindakan Bilal itu menghairankan Umayyah. Puas dipaksa agar mengaku berhala al-Latta, al-Uzza sebagai tuhan tetapi Bilal tetap enggan. Mulutnya hanya menyebut “Ahad, Ahad” (nama Allah) dan dia menerima seksaan itu dengan tenang dan reda.

 

Merdekanya seorang hamba

 


Kisah kekejaman itu sampai ke pengetahuan Abu Bakar as-Siddiq, lalu beliau menemui Umayyah untuk menebusnya dengan harga 9 uqiyah emas, tanpa tawar menawar. Sementara Umayyah berkata,

 

“Andai diminta kurang sehingga satu uqiyah emas pun aku sanggup menjualnya”

 

Lalu sahabat Rasulullah S.A.W itu menjawab,

 

“Andai harga Bilal setinggi 100 uqiyah emas pun aku sanggup bayar”

 

Kemudian lelaki budiman yang teguh imannya itu dimerdekakan. Abu Bakar r.a. menceritakan kisah Bilal itu kepada Rasulullah. Baginda ingin berkongsi wang tebusan tetapi Abu Bakar enggan.

 


Setelah memeluk Islam, apa sahaja yang dilakukan semata-mata kerana Allah. Dia mula mengenal betapa manisnya iman. 


Nasibnya berubah daripada seorang anak yatim piatu dan hamba sejak kecil kepada tukang azan yang menyeru umat Islam mengerjakan solat sebaik sahaja masuk waktunya. Namanya cukup dikenali di kalangan para sahabat dan umat Islam.

 

Darjatnya begitu mulia sisi Allah. Suaranya yang penuh keikhlasan bergema di Kota Mekah dan Madinah tika mengalunkan azan. 


Ada riwayat yang menyatakan bahawa suara itu melepasi langit ketujuh sehingga ke Arasy. Para malaikat dikatakan sentiasa menanti alunan suara lelaki berkulit hitam itu berkumandang.

 

Bagaimanapun masih ada yang dengki dan menghasut Rasulullah S.A.W untuk menggantikan Bilal. Namun laungan itu tidak semerdu dan seikhlas Bilal sehingga malaikat bertanya tentang hal tersebut. 


Selain tugas rutin itu, dia turut menyertai tentera Muslimin dalam beberapa siri peperangan memerangi musuh Islam.

 


Kerinduan seorang kekasih

 

Justeru kewafatan Nabi merupakan kehilangan yang besar baginya dan memberi kesan yang mendalam kepada Bilal. Kasihnya dia kepada Baginda S.A.W tiada bandingan, sehingga dia tidak mampu untuk mengalunkan azan seperti sebelumnya. 


Tiap kali menyebut kalimah Muhammad di dalam azan, hatinya tiba-tiba sebak dan air mata terus mengalir laju.

 

Lalu dia tidak mahu lagi meneruskan tugas seperti biasa biarpun puas dipujuk oleh para sahabat sewaktu pemerintahan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq. 


Bilal meminta izin untuk mengikut tentera Muslimin berperang tetapi tidak dibenarkan dengan alasan khalifah masih memerlukannya di Madinah.

 

Abu Bakar tahu lelaki itu ingin syahid di medan juang kerana mahu berjumpa dengan insan yang dikasihinya (Nabi Muhammad S.A.W). Ketika zaman Khalifah Umar al-Khattab, permintaannya dipenuhi. 


Dia pergi bersama isteri yang juga seorang wanita yang kuat pegangannya terhadap Islam.

 


Tentera Islam berjaya menakluki Baitulmaqdis, tetapi impian Bilal untuk syahid tidak kesampaian. 


Ketika peristiwa itulah suara Bilal melaungkan azan dikatakan kembali bergema sehingga membuatkan semua para sahabat menangis mengenangkan Rasulullah S.A.W yang telah pergi menemui Ilahi.

 

Saidina Umar pernah berkata bahawa bukan Bilal sahaja yang sedih dengan kematian Baginda, beliau juga serupa. Bilal menjawab sambil membendung kesedihan yang tidak terhingga,

 

“Kesedihanku tidak sama dengan kesedihan tuan. Tuan dilahirkan sebagai insan yang merdeka, sedangkan aku pula sebagai hamba. Tuan tidak pernah merasai bagaimana gembiranya apabila seorang hamba dimerdekakan, namun Rasulullah S.A.W telah membebaskanku.

 

“Bukan setakat itu, malah Baginda nabi S.A.W juga memuliakanku di saat orang lain menghina. Kemudian aku dilantik sebagai tukang azan. Bahkan Baginda pernah berkata yang Baginda mendengar bunyi sepatuku di dalam syurga”

 


Bilal dan keluarga kemudian berpindah ke Damsyik, Syria. Dia meninggal dunia pada tahun 23 hijrah dan ada yang mengatakan tahun 20 hijrah bersamaan 641 Masihi dalam usia 63 tahun iaitu sama dengan usia kekasihnya, Rasulullah S.A.W ketika wafat...Wallahu a’lam.. 

Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :”)


1 comment:

  1. Bilal Bin Rabah meninggal dunia pada tahun 23 Hijrah di negeri Syam dan dikebumikan di Damsyik.

    Sepanjang hayatnya beliau diakui sebagai seorang yang patuh dan rajin terhadap tanggungjawabnya, ikhlas, amanah, berani, tabah, dan sanggup menghadapi risiko demi mempertahankan kebenaran.

    Beliau juga pernah menyertai barisan tentera Islam dalam beberapa peperangan dan dilantik sebagai muazzin yang pertama di dunia oleh Rasulullah S.A.W dan kerana itulah namanya kini diabadikan kepada setiap muazzin atau BILAL..

    ReplyDelete