Kata Azimat

Kata Azimat
" Usaha itu Perlu, Doa itu Pembantu, Allah itu Penentu"... "Setiap Ilmu Yg Dipelajari perlu kepada Bimbingan Akal serta Panduan Iman Agar tidak tersasar dari Landasannya"... "Tiada tali yang paling erat selain tali silaturrahim, Tiada pintu yang pling kukuh selain pintu hati.., Tiada hutang yang pling berat selain hutang budi.., Tiada pemberian yang paling berharga selain memberi maaf"..."Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya selagi hamba- hambanyaNya mengingatinya"... "Setiap Ujian Yang Datang Daripada Allah.., Pasti akan ada hikmahnya..,Terpulang pada diri untuk menilainya"... "The More We Learn..., The More We Know that We Are So Stupid.."......"Ukhuwah yang dibina di antara kita biarlah seperti seutas tasbih..,, ada awal.., tiada penghujungnya,,,,, dicipta untuk mengingati-Nya...dibahagi untuk cinta-Nya..,, dan diratib demi keredhaan-Nya..Ukhuwah itu umpama ikatan tasbih.. Butir-butir tasbih mewakili roh-roh yang terjalin, manakala ikatan tali tasbih mewakili ukhuwah tersebut.. Sekiranya ikatan tersebut tidak diketahui dan terputus.., maka bercerailah roh-roh tersebut dan menjadi jauh..;')

Sunday, July 19, 2026

Sumayyah - Kisah Pengorbanan Wanita Terhebat

 


Sumayyah binti Khayyat merupakan hamba kepada Abu Huzaifah bin Al-Mughirah iaitu seorang pembesar Quraisy dan telah menetap bersama Abu Huzaifah sejak dari kecil lagi memandangkan beliau seorang anak yatim piatu.

 

Perwatakan beliau yang baik dan taat kepada perintah tuannya sememangnya menjadikan beliau cukup disegani walaupun taraf beliau hanya sebagai seorang hamba yang berkulit hitam. Beliau juga ditakdirkan berkahwin dengan Yasir yang juga bekerja dengan Abu Huzaifah. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang bernama Ammar ibn Yasir.

 


Sumayyah berasal dari Habashah, Abyssinia atau sekarang ni dikenali sebagai Ethiopia. Sumayyah lahir 20 tahun sebelum Nabi Muhammad S.A.W dan ketika dia dibunuh, dia merupakan seorang wanita tua yang telah pun berusia lebih kurang 60 tahun. Hamba berkulit hitam ini adalah antara tujuh orang pertama yang menerima Islam.

 

Ketika zaman ini, masyarakat di Mekah hidup berpuak-puak. Sumayyah merupakan seorang hamba yang berkahwin dengan seorang lelaki bernama Yasir. Yasir adalah lelaki dari Yaman dan telah datang ke Mekah untuk mencari abangnya yang hilang.

 

Dalam masa yang sama, Yasir membuat keputusan untuk tinggal di Mekah dan meminta perlindungan dari Abu Hudhaifah al-Mughirah. Pasangan ini kemudiannya dikurniakan dengan seorang anak Ammar yang berumur sebaya dengan Rasulullah.

 


Kerana pasangan ini bukan berasal dari Mekah, kedudukan mereka di sana sangat terdedah kerana mereka tiada komuniti atau pun kaum yang mereka boleh bergantung harap. Keluarga ini berkhidmat untuk keluarga Abu Hudhaifah dan kaum Bani Makhzum.

 

Penganiyaan terhadap umat Islam

Untuk pengetahuan semua, Bani Makhzum dari suku Quraisy ini merupakan antara kaum yang berkuasa di Mekah dan sangat menentang agama Islam kerana Bani Hasyim (kaum Rasulullah) merupakan saingan utama mereka.

 

Bukan itu sahaja, musuh ketat Rasulullah S.A.W, Abu Jahal yang merupakan penentang utama Islam merupakan ketua yang memimpin Bani Makhzum.

 

Abu Jahal merupakan seorang lelaki yang memiliki tubuh badan yang besar seperti Saidina Umar. Dia dikenali dengan sifatnya yang kejam dan sering menyeksa dan memukul orang yang menerima Islam.

 

 


Kesyahidan Sumayyah

Tujuh orang terawal menerima Islam pada ketika itu merupakan Saiditina Khadijah, Saidina Abu Bakar, Bilal Bin Rabah, Khabbab, Suhayb, Sumayyah dan anaknya Ammar. Hanya Khadijah dan Abu Bakar yang mendapat perlindungan kaum mereka manakala yang lain tiada kaum.

 

Kelima-lima yang tidak menerima perlindungan ini termasuk Yasir yang juga telah memeluk Islam ini telah diseksa dengan kejam setiap hari. Mereka telah dipaksa untuk memakai baju besi dan dijemur di tengah padang pasir yang panas tanpa diberikan setitis air.

 

Seksaan ke atas mereka ini dijalankan secara berterusan dan diulang-ulang setiap hari di hadapan semua orang bagi membuatkan orang takut untuk menerima Islam.

 



Diseksa kerana beriman

Kaum Quraisy tidak dapat menerima hakikat bahawa seorang hamba seperti Sumayyah berani menolak sembahan berhala mereka. Mereka melihat keimanan keluarga Yasir sebagai satu penghinaan kepada tradisi dan kuasa kaum bangsawan Mekah.

 

Sumayyah bersama suami dan anaknya diikat tangan serta kaki sebelum diseret ke tengah padang pasir yang membahang. Tubuh mereka disarungkan dengan besi panas dan dijemur di bawah terik mentari, tanpa setitis air pun untuk membasahkan bibir.

 

Setiap kali cuba menahan kesakitan, cemeti akan singgah ke tubuh mereka berulang hari demi hari tanpa belas kasihan.

 


Seksaan yang ditanggung Sumayyah lebih berat daripada suami dan anaknya. Pasir panas ditabur ke atas tubuhnya, batu besar diletakkan di dadanya hingga sukar bernafas. Namun, wajahnya tetap tenang. Bukan kerana tidak merasa sakit tetapi kerana hatinya penuh keyakinan kepada Allah.

 

Abu Jahal kemudian mendekatinya dengan janji palsu. Sumayyah dan keluarga dijanjikan kebebasan dengan syarat mereka meninggalkan Islam. Tetapi jika masih berpegang pada agama Muhammad S.A.W, seksaan akan diteruskan tanpa henti.

 

“Ahad! Ahad! Ahad!” – Allah Yang Satu.

 

Sabar dan janji syurga

Ketika Rasulullah SAW melalui kawasan itu dan melihat keluarga Yasir diseksa, hati Baginda S.A.W tersentuh. Dengan penuh kasih, Baginda menenangkan mereka sambil bersabda :

 

“Bersabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya tempat yang dijanjikan bagi kamu adalah syurga.”

 

Kata-kata itu menjadi penguat semangat buat keluarga kecil itu. Walaupun tubuh mereka penuh luka, jiwa mereka menjadi lebih tenang dan yakin bahawa kesabaran mereka tidak sia-sia di sisi Allah.

 



Keberanian terakhir seorang wanita

Tidak lama kemudian, Abu Jahal kembali menghampiri Sumayyah dengan kemarahan yang membuak. Dia terus menghina, mencaci dan memujuk Sumayyah supaya kembali kepada agama nenek moyang mereka. Namun, wanita tabah itu membalas dengan kata-kata tegas yang membakar hati si penindas.

 

“Apakah hanya ini yang mampu engkau lakukan, wahai musuh Allah? Sesungguhnya azab yang lebih pedih sedang menantimu di neraka.”

 

Seksaan yang dibuat ke atas Sumayyah dan keluarganya ini tidak melemahkan wanita ini untuk menyerah, malah dia berjaya membuat Abu Jahal menjadi tambah marah kerana setiap seksaan, membuatkan wanita ini lebih banyak berzikir kepada Allah.

 

Keluarga ini telah diikat di pokok dan boleh melihat seksaan di antara satu sama lain. Selepas diseksa selama beberapa hari, Yasir kelihatan seperti hampir mati. Ini membuatkan Abu Jahal berpaling kepada Sumayyah dan berkata:

 

Suami kau akan mati sebelum kau. Kau mungkin gembira bila dia mati sebab kau sayangkan Muhammad dan kau mahu berkahwin dengannya selepas dia mati.”

 


Ekoran hinaan ini, Sumayyah telah berkata:

 

Moga kau dihina oleh Allah, wahai musuh Allah. Kau seorang manusia yang jijik. Kau sangat kecil di mata aku dari kumbang yang aku pijak di atas tanah.”

 

Abu Jahal yang berang dengan kata-kata dari mulut Sumayyah ini telah mengambil lembing dan menyula Sumayyah di bahagian alat sulitnya sehingga menjadikan dia orang pertama syahid di dalam Islam.

 

Manakala Yasir, syahid ketika dia dipanggang di atas api menjadikan dia lelaki pertama mati kerana memperjuangkan Islam. Lelaki ini juga sempat mengucap “Tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah” sebelum menghembuskan nafas terakhirnya. 


Hanya anak mereka, Ammar yang masih hidup. Dia menyaksikan sendiri bagaimana kedua-dua orang tuanya pergi dengan iman yang teguh.

 


Ketabahan Sumayyah

Menerusi kisah Sumayyah ini, banyak yang kita boleh pelajari dari ketabahan dan keberaniannya untuk menghadapi seksaan walaupun dengan usia yang telah lanjut. Kekuatannya ini juga turut datang dari kepercayaannya dengan janji syurga oleh Rasulullah S.A.W.

 

Antara Seksaan terhadap Sumayyah sekeluarga

  •  Kaki dan tangan mereka diikat dan diheret ke tengah padang pasir yang panas terik
  •  Rumah mereka dibakar
  •   Dicucuk dengan besi panas
  •  Ditikam dengan lembing pada kemaluan Sumayyah
  •  Dicungkil biji mata
  •  Dibenam ke dalam air

 

Selain dari menyeksa umat Islam, Abu Jahal juga turut meminta mereka untuk menghina Rasulullah S.A.W. Anak Sumayyah, Ammar ketika lemah turut telah menghina Rasulullah dan berasa malu selepas itu sehingga sering menyembunyikan diri.

 

Nabi Muhammad S.A.W kemudiannya mengatakan bahawa baginda telah pun memaafkan Ammar dan jika dia diseksa lagi, dia patut berbuat demikian. 


Ini kerana, jika seseorang itu sedang terseksa, kata-katanya tidak boleh dinilai kerana mereka perlu lakukan apa sahaja untuk selamatkan nyawa dan Rasulullah S.A.W tahu apa dalam hatinya.

 

Malah, ketika Abu Jahal dibunuh ketika Perang Badar, Rasulullah S.A.W berkata kepada Ammar, “Allah S.W.T telah membunuh pembunuh ibumu.”

 


MasyaAllah, dahsyat betul pengorbanan Sumayyah. Walaupun dah berusia, tak gentar dengan seksaan yang menimpanya. Sumayyah tidak memiliki pangkat atau kuasa tetapi hatinya teguh mempertahankan agama. 


Beliau menunjukkan kepada dunia bahawa menjadi pejuang tidak semestinya mengangkat pedang. Kadangkala, cukup dengan tidak berpaling tadah daripada Maha Pencipta walaupun diseksa manusia dengan kejam.

 

Kematian Sumayyah bukan kekalahan tetapi sebaliknya kemenangan abadi. Namanya terukir dalam sejarah Islam sebagai wanita pertama yang syahid di jalan Allah dan semangatnya menjadi lambang keteguhan bagi umat Islam hingga ke hari ini......  Allahumma solli 'ala saidina Muhammad :")

1 comment:

  1. Sumayyah adalah wanita pertama yang syahid dalam Islam. Beliau gugur setelah memberikan contoh terbaik dan mulia bagi kita dalam hal keberanian dan keimanan..

    Sumayyah telah mengerahkan segala yang beliau miliki dan menganggap remeh kematian dalam rangka memperjuangkan imannya. ...

    Sumayyah telah mengorbankan nyawanya yang mahal, dalam rangka meraih keredhaan Rabbnya... Mendermakan jiwa adalah puncak tertinggi dari kedermawanan...

    ReplyDelete