Kalimah Syahadah
Sejak perkembangan Islam dari zaman Nabi Muhammad
sehinggalah sekarang, penyelewengan terhadap akidah berlaku begitu banyak
sekali, sehingga membawa kepada kekeliruan.
Perkara ini berlaku adalah disebabkan oleh pengaruh musuh
Islam ditambah dengan kejahilan umat Islam itu sendiri.
Sebab itu, penting bagi kita untuk berpegang teguh dengan
ilmu usuluddin iaitu akidah yang benar yang berasaskan tauhid.
Apabila kita berbicara tentang tauhid, ia melibatkan dua
kalimah syahadah yang juga dikenali sebagai al-shahadatain.
1. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah
2. Aku bersaksi bahawa Muhammad itu utusan Allah
Dua kalimah syahadah ini berkait rapat dengan iman dan ia adalah
pengisytiharan yang membawa perubahan besar dalam kehidupannya di dunia dan
akhirat.
Malah, ia menjadikan seseorang itu tunduk dengan segala
peraturan yang ditetapkan Allah.
Keimanan yang lahir dari dalam diri akan menghasilkan
sifat-sifat yang terpuji seperti ikhlas, positif, sabar, tawakal, tidak mudah
berputus asa malah sanggup untuk mengorbankan keseronokan sementara bagi
mencapai kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.
Dalam catatan sirah, ketika para sahabat berhijrah ke
Habsyah yang mana pada ketika itu dalam majlis yang dihadiri pendeta Kristian,
mereka diperintahkan untuk sujud sembah kepada Raja Najasyi.
Namun dengan lantang Ja’far bin Abi Talib membantah dan
mengatakan; “Kami tidak sujud melainkan kepada Allah.”
Keimanan yang kukuh sebeginilah yang diterapkan oleh
Rasulullah, walau dalam keadaan situasi apa sekali pun mereka tetap yakin
dengan pertolongan Allah, sehinggalah umat Islam suatu ketika dahulu mampu
mengalahkan empayar hebat seperti Rom dan Parsi.
Wallahu’alam.
Keimanan yang lahir dari dalam diri akan menghasilkan sifat-sifat yang terpuji seperti ikhlas, positif, sabar, tawakal, tidak mudah berputus asa malah sanggup untuk mengorbankan keseronokan sementara bagi mencapai kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.... :")
ReplyDelete