Kata Azimat

Kata Azimat
" Usaha itu Perlu, Doa itu Pembantu, Allah itu Penentu"... "Setiap Ilmu Yg Dipelajari perlu kepada Bimbingan Akal serta Panduan Iman Agar tidak tersasar dari Landasannya"... "Tiada tali yang paling erat selain tali silaturrahim, Tiada pintu yang pling kukuh selain pintu hati.., Tiada hutang yang pling berat selain hutang budi.., Tiada pemberian yang paling berharga selain memberi maaf"..."Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya selagi hamba- hambanyaNya mengingatinya"... "Setiap Ujian Yang Datang Daripada Allah.., Pasti akan ada hikmahnya..,Terpulang pada diri untuk menilainya"... "The More We Learn..., The More We Know that We Are So Stupid.."......"Ukhuwah yang dibina di antara kita biarlah seperti seutas tasbih..,, ada awal.., tiada penghujungnya,,,,, dicipta untuk mengingati-Nya...dibahagi untuk cinta-Nya..,, dan diratib demi keredhaan-Nya..Ukhuwah itu umpama ikatan tasbih.. Butir-butir tasbih mewakili roh-roh yang terjalin, manakala ikatan tali tasbih mewakili ukhuwah tersebut.. Sekiranya ikatan tersebut tidak diketahui dan terputus.., maka bercerailah roh-roh tersebut dan menjadi jauh..;')

Tuesday, December 16, 2025

 

Umat Islam Memusnahkan Orang-orang Yahudi

Hadis Akhir Zaman


Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda: “Tidaklah akan berlaku kiamat, sehingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi sehingga kaum Yahudi itu bersembunyi di sebalik batu dan pohon kayu, lalu batu dan pohon kayu itu berkata, “Hai orang Islam, inilah orang Yahudi ada di belakang saya. Kemarilah! Dan bunuhlah ia!”, kecuali pohon gharqad (semacam pohon yang berduri), kerana sesungguhnya pohon ini adalah dari pohon Yahudi (oleh sebab itu ia melindunginya)”.

                                                                        (H.R. Bukhari Muslim)

Keterangan

Hadis ini memberikan harapan yang sangat besar kepada kaum Muslimin dan menjanjikan kemenangan mereka dalam memerangi orang-orang Yahudi. Jadi, walaupun orang-orang Yahudi merancang dan berusaha sedaya upaya untuk membunuh dan menyesatkan umat Islam, namun akhirnya kaum Yahudi akan binasa juga dalam kepungan umat Islam...

 Umat Islam akan membunuh dan menghapuskan semua kaum Yahudi yang ada di permukaan bumi ini, dan umat Islam akan ditolong oleh makhluk-makhluk Allah S.W.T yang lain, sehinggalah batu dan pohon kayu pun akan memberikan pertolongan kepada mereka.

Bersediakah kita memikul  tanggungjawab ini? Adakah kita golongan Muslimin yang terpilih itu? Layakkah kita?.. Semoga suatu masa nanti kita mampu terpilih menjadi tentera pimpinan Al-Mahdi… InsyaAllah.. aamiin..

Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad.. :”)

 

Orang Yang Baik Berkurangan Sedang Yang Jahat Bertambah Banyak

Hadis Akhir Zaman


Daripada Aisyah r.a. berkata: “Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu bapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik, dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang jahat berani melawan orang-orang baik”.

(H.R. Thabrani)

Keterangan


Di antara tanda-tanda kiamat adalah:-

  1. Bila anak-anak menjadi punca kemarahan orang tuanya.
  2. Bila hujan berkurangan, cuaca menjadi panas dan udara telah tercemar.
  3. Orang jahat bertambah ramai dan galakan membuat kejahatan sangat banyak.
  4. Orang yang berbuat kebaikan sedikit dan tidak mendapat kemudahan yang sewajarnya.
  5. Anak-anak sudah berani melawan orang tua.
  6. Orang-orang jahat berani melawan orang-orang yang baik dan tidak segan terhadap mereka.

Nampaknya corak masyarakat kita pada hari ini tidak banyak bezanya dari apa yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W tadi. Setiap hari kita dapat lihat kebenaran daripada apa yang disabdakan oleh Nabi S.A.W


Berdoalah moga-moga Allah S.W.T  menyelamatkan kita dan ahli keluarga kita dari tergolong dalam kalangan mereka yang dimaksudkan tadi…

Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :”)

Monday, December 15, 2025

 

Islam Kembali Dagang

Hadis Akhir Zaman


Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W: “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing”.

(H.R. Hakim)



Keterangan

Islam mulai tersebar di Mekah dengan keadaan yang sangat asing dan dagang. Sangat sedikit pendukungnya kalau dibandingkan dengan penentangnya. Kemudian setelah Islam mula tersebar ke seluruh pelosok dunia sehingga dianuti oleh 2/3 penduduk dunia. Kemudian Islam kembali asing dan dirasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan dari pandangan orang Islam sendiri.

 


Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik apabila melihat orang Islam yang iltizam (komited) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar. Seorang yang iltizam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat.

Contohnya, kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu sembahyang, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan sembahyang, maka tindakan itu dianggap tidak sopan dan kurang wajar. Sedangkan orang yang tidak sembahyang sambil bersenda-senda ketika orang lain bersembahyang tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.


Begitulah seterusnya nasib Islam di akhir zaman ini………………..

Ia akan terasing dan tersisih dari masyarakat, bahkan tersisih dari pandangan orang Islam sendiri yang mengaku sebagai umat Islam dan marah apabila dikatakan yang dia bukan orang Islam...

Allahumma solli 'ala saidina Muhammad :")

Sunday, December 14, 2025

 

Penyakit Umat-umat Dahulu

Hadis Akhir Zaman

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, “Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu”. Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Nabi S.A.W menjawab, “Penyakit-penyakit itu adalah: (1) terlalu banyak seronok (2) terlalu mewah (3) menghimpun harta sebanyak mungkin (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia (5) saling memarahi (6) hasut menghasut sehingga zalim menzalimi”.

                                                                                                             (H.R. Hakim)


Keterangan

Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W tadi telah banyak kita lihat dalam kalangan kaum Muslimin pada hari ini.

Di sana sini kita dapat lihat penyakit ini merebak dan menjalar dalam masyarakat dengan maraknya. Dunia Islam dilanda krisis rohani yang sangat hebat. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terpaksa mencari dan mengumpul harta benda sebanyak-banyaknya untuk memuaskan hawa nafsu.


Maka apabila hawa nafsu diperturutkan tentunya mereka terpaksa menggunakan segala macam cara dan tipu helah. Di saat itu, hilanglah nilai-nilai akhlak dan wujudnya kecurangan, khianat, hasad dengki dan sebagainya.

Marilah kita ambil iktibar. Renung makna hadis ini, dan marilah kita muhasabah diri masing-masing…. Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :”)

 

 

Golongan Yang Sentiasa Menang

Hadis Akhir Zaman


Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a. berkata: Rasulullah S.AW bersabda: “Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka), sehinggalah sampai suatu saat yang dikehendaki oleh Allah S.W.T.  Mereka sentiasa berjaya”.

                                                                                                    (H.R. Bukhari)


Keterangan

Allah S.W.T telah menjadikan umat Islam (umat nabi Muhammad S.A.W) ini umat yang terakhir sekali. Oleh itu, Allah S.W.T berjanji akan memelihara kitabnya (Al-Quran) dan memastikan lahirnya generasi demi generasi yang akan memikul tugas dakwah hingga tetap wujudnya golongan mukminin di atas muka bumi ini.

 


Kalau kita meneliti sejarah umat Islam mulai zaman permulaan penyebarannya hingga ke hari ini, kita akan mendapati bahawa umat Islam telah teruji sepanjang sejarah dengan ujian yang berat-berat. Ujian itu bermula dari golongan musyrikin di Mekah dan munafiqin, Yahudi dan Nasrani di Madinah, seterusnya gerakan riddah, Majusi yang berselimutkan Islam, golongan Bathiniyah, pengaruh falsafah dan pemikiran Yunani, serangan bangsa Monghol dan bangsa Tatar yang menghancurkan tamadun Baghdad pada pertengahan abad keenam Hijrah.

 


Begitu juga dengan penyembelihan beramai-ramai kaum Muslimin ketika berlakunya kejatuhan kerajaan Islam di Andalus (Sepanyol) dan seterusnya di sambung dengan pengaruh-pengaruh imperialis Barat terhadap dunia Islam, gerakan Zionis Yahudi dan missionary Nasrani yang mempunyai peralatan dan kemudahan yang canggih-canggih dan seterusnya serangan (pengaruh) dari segi pemikiran dan kebudayaan dan sebagainya.

 


Walaupun ujian yang sangat dahsyat melanda umat Islam di sepanjang sejarah namun mereka masih wujud dan masih lagi mempunyai identiti dan peranan yang hebat dalam peta dunia pada hari ini. Di manakah sumbangan kita? Apa peranan kita? Walaupun pada hari ini ada dalam kalangan umat Islam yang tidak mengambil berat langsung tentang agama Islam tetapi masih ada golongan yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari dan memperjuangkan agama Islam.


Walaupun ramai umat Islam yang telah hancur akhlaknya tetapi masih ada lagi golongan yang berakhlak tinggi dan berpekerti luhur. Walaupun syiar-syiar Islam diperlekahkan oleh agama-agama lain namun Islam masih lagi gagah dan teguh.

 


Walaupun aktivis-aktivis Islam ditindas dan diseksa pada suatu tempat tetapi di suatu tempat yang lain mereka disanjung dan dihormati. Begitulah, umat Islam tidak akan lenyap dari muka bumi ini melainkan kehendak Allah S.W.T. Pada masa yang dikehendakiNya, maka lenyaplah umat Islam, pada masa itu Allah S.W.T akan mematikan setiap jiwa yang beriman dan yang tinggal hanyalah orang-orang yang jahat dan orang kafir. Maka, pada saat itulah akan berlaku hari kiamat… 

Allahumma solli 'ala saidina Muhammad :")

 

Wednesday, December 10, 2025

Golongan Anti Hadis

Hadis Akhir Zaman


Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a. berkata: Bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda: Hampir tiba suatu masa di mana seorang lelaki sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadisku maka ia berkata: “Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (Al-Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan”. (Kemudian Nabi S.A.W melanjutkan sabdanya): “Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah S.A.W samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T”.

                                                (H.R. Abu Daud dan Ibnu Majah)


Keterangan

Lelaki yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah seorang yang mengingkari kedudukan hadis sebagai sumber hukum yang kedua selepas Al-Quran. Ia hanya percaya  kepada Al-Quran sahaja. Baginya, hadis tidak perlu untuk dijadikan sumber hukum dan tempat rujukan. Golongan ini tidak syak lagi telah terkeluar dari agama Islam. Dan pada realitinya seseorang itu tidak akan dapat memahami Al-Quran jika tidak merujuk kepada hadis Nabi S.A.W. 


Al-Quran banyak menerangkan hal-hal yang besar dan garis panduan umum. Maka, hadislah yang berfungsi untuk memperincikan isi dan kandungan serta kehendak ayat-ayat Al-Quran serta menghuraikan dan menerangkan yang musykil. Oleh kerana itu, syariat tidak akan sempurna kalau hanya dengan Al-Quran sahaja, tetapi ia mesti disertai dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W.

Al-Quran perlu dibaca dengan memahami maknanya sekali. Barulah boleh ia diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Maka, hadis juga perlu dipelajari atau dibaca bagi memahami isi kandungan Al-Quran. 

Jika tidak, kita sebagai manusia biasa tidak mampu untuk mentafsirkan isi kandungan Al-Quran. Lebih-lebih lagi, bahasa Arab bukan bahasa yang kita fahami. Ayuh! Sama-samalah kita menghayati dan mengamalkan Al-Quran serta hadis Nabi Muhammad S.A.W...

Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :’)



Monday, December 8, 2025

 

Umat Islam Mengikuti Langkah-langkah Yahudi dan Nasrani


Hadis Akhir Zaman

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. berkata: Bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?”. Nabi s.a.w. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”.

                                                                                              (H.R. Muslim)


Keterangan

Umat Islam akan mengikuti jejak langkah ataupun cara hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani, hinggalah dalam urusan yang kecil dan perkara-perkara yang tidak munasabah. Contohnya, jikalau orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus mengikuti mereka.


Zaman sekarang ini kita dapat lihat kebenaran kata-kata Nabi Muhammad S.A.W ini. Ramai orang Islam yang kehilangan pegangan di dalam kehidupan mereka. Mereka banyak meniru cara hidup Yahudi dan Nasrani sama ada mereka sedar ataupun tidak.


Ramai orang Islam yang telah terperangkap dengan tipu helah orang Yahudi dan Nasrani dan ramai pula orang Islam yang menjadi alat dan tali barut mereka. Nauzubillah…

Lihatlah cara hidup kita, dari segi pemakanan, pemakaian, pergaulan, pertuturan hinggalah dalam segala urusan kehidupan kita telah banyak dipengaruhi cara hidup mereka. Di manakah al-Quran dan As-sunnah dalam menjadi panduan hidup kita?


Adakah dek kerana kita tidak memahami atau mengetahui sumber utama Islam ini menjadikan kita jauh dari nilai-nilai Islam sebenar? Apakah usaha kita? Jangan menyesal di kemudian hari. Jadilah golongan manusia yang sedikit bilangannya namun memberi manfaat yang besar kepada agama Islam.

Ya Allah! Selamatkanlah kami daripada tipu daya Yahudi dan Nasrani….

Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :’)

 Ilmu Agama Akan Beransur-ansur Hilang



Hadis Akhir Zaman

Daripada Abdullah bin Amr bin ‘ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bahawasanya Allah s.w.t. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah s.w.t. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama’. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”

                                                                                                (H.R. Muslim)


Keterangan

Sekarang ini bilangan alim ulama’ sudah berkurangan. Satu demi satu pergi meninggalkan kita. Kalau peribahasa Melayu mengatakan “patah tumbuh, hilang berganti”, peribahasa ini tidak tepat berlaku kepada alim ulama’.



Mereka patah payah tumbuh dan hilang payah diganti. Sampailah suatu saat nanti permukaan bumi ini akan kosong tanpa alim ulama’. Maka pada hari itu, sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini lagi. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah hilang pegangan hidup dan bergelumang dengan dosa (kemungkaran).


Sebenarnya, alim ulama’ lah yang memberikan erti pada kehidupan manusia di muka bumi ini. Maka apabila mereka telah pupus, hilanglah segala sesuatu yang bernilai. Di akhir-akhir ini, telah banyak peristiwa-peristiwa yang menunjukkan hampirnya zaman yang dimaksudkan Nabi Muhammad S.A.W tadi. Di mana bilangan alim ulama’ hanya tinggal sedikit dan usaha untuk melahirkannya pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.


Malah mungkin nisbah nya kepada manusia biasa lebih kecil berbanding nisbah doktor kepada manusia biasa. Sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian golongan cerdik pandai malah anak-anak muda sekalipun.


Mereka mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang meraih keuntungan harta benda dunia semata-mata. Tidak menitikberatkan ilmu akhirat (agama). Inilah realiti kehidupan masyarakat kita pada hari ini.



Tuntutlah ilmu walaupun hingga ke liang lahad. Ilmu agama dan dunia sama-sama dituntut. Jangan hanya mementingkan ilmu dunia. Tidak salah kejar ilmu dunia, namun yang salahnya ialah kita tinggal belajar ilmu akhirat. Kehidupan di akhirat adalah kekal, manakala kehidupan di dunia hanya sementara. Ramai manusia mengejar yang sementara berbanding yang kekal selamanya... Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :’)

Sunday, December 7, 2025

 

Seluruh Dunia Datang Mengerumuni Dunia Islam

Hadis Akhir Zaman


Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi S.AW menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah S.W.T akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah S.W.T akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan'”. Seorang sahabat bertanya: “Apakah penyakit ‘wahan’ itu wahai Rasulullah S.A.W?”. Nabi menjawab: “Cinta kepada dunia dan takut pada mati?”.

(H.R. Abu Daud)


Keterangan

Subhanallah!!! Memang benar apa yang disabdakan oleh Raulullah S.A.W Keadaan umat Islam pada hari ini, menggambarkan kebenaran apa yang disabdakan Nabi S.A.W. Umat Islam walaupun mempunyai bilangan yang banyak, iaitu 2/5 dari penduduk dunia tetapi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain.

Saudara kita ada yang ditindas, disakiti, dibunuh dan sebagainya. Bangsa-bangsa dari seluruh dunia walaupun berbeza-beza agama, mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatan umat Islam.


Sebenarnya segala kekalahan kaum Muslimin adalah berpunca dari dalam diri kaum Muslimin itu sendiri, iaitu penyakit ‘wahan’ yang merupakan penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam kembar dua iaitu ‘cinta dunia’ dan ‘takut mati’.


Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan. ‘Cinta dunia’ bermakna tamak, rakus, bakhil dan tidak mahu mendermakan harta di jalan Allah S.W.T. ‘Takut mati’ pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agama Allah S.W.T


Sama-samalah sentiasa berdoa agar Allah S.W.T menurunkan hidayahnya kepada kaum Muslimin dan memberikan kepada kita kejayaan di dunia dan di akhirat… Aamiin.. 

Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :’)

 

Mengapa Dunia Islam Menjadi Sasaran Kemusnahan?

Hadis Akhir Zaman


Daripada Ummul Mukminin, Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah s.a.w), beliau berkata:

“(Pada suatu hari) Rasulullah S.A.W. masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya’juj dan Ma’juj seperti ini”, dan Baginda menemukan hujung ibu jari dan hujung jari sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: “Ya Rasulullah ! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?”. Lalu Nabi s.a.w. bersabda “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak”.

                                                                                            (H.R. Bukhari Muslim)


Keterangan

Hadis di atas menerangkan bahawa apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasiqan. Maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu. Tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi orang yang soleh juga akan dibinasakan. Walaupun begitu, masing-masing pada hari kiamat akan diperhitungkan mengikut amalan masing-masing.


Oleh itu, segala bentuk kemungkaran dan kefasiqan hendaklah segera dibasmikan dan segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan supaya tidak terjadi malapetaka yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, tetapi juga akan menimpa semua penduduk yang berada di tempat itu.


Dalam hadis di atas, walaupun disebut secara khusus tentang bangsa Arab tetapi yang dimaksudkan adalah seluruh bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara khusus adalah kerana Nabi S.A.W sendiri adalah bangsa Arab dan menerima Islam pada masa permulaannya adalah kebanyakkannya dari kalangan bangsa Arab dan sedikit sekali dari bangsa lain.



Kemudian Ya’juj dan Ma’juj pula adalah 2 bangsa (dari keturunan Nabi Adam a.s.) yang dahulunya banyak melakukan kerosakan di muka bumi ini, lalu daerah dan kediaman mereka ditutup oleh Zul Qarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga, maka dengan itu mereka tidak dapat keluar. 



Sehinggalah hampir tibanya hari kiamat, maka pada hari itu, dinding yang kuat tadi akan hancur dan keluarlah mereka dari kediaman mereka lalu kembali melakukan kerosakan di muka bumi ini. Apabila ini terjadi, ia menandakan bahawa hari kiamat sudah dekat sekali tibanya. Masya’allah..

Semoga Allah S.W.T sentiasa  melindungi kita hamba-hambaNya daripada bencana dan malapetaka... Bersama-samalah kita berusaha ke arah menjadi umat islam yang baik dan memberi manfaat buat orang lain... Jika kita tidak mampu mencegah kemungkaran dengan usaha kita sendiri, maka berdoalah sentiasa agar negara kita sentiasa terpelihara daripada kemaksiatan yang berleluasa.. Aamiin... 

Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad :’)