Ilmu Agama Akan Beransur-ansur Hilang
Hadis Akhir Zaman
Daripada Abdullah bin Amr bin ‘ash
r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bahawasanya Allah
s.w.t. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari
(dada) manusia. Tetapi Allah s.w.t. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan
alim ulama’. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama’, orang ramai akan
memilih orang-orang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang
jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat
dan menyesatkan orang lain.”
(H.R. Muslim)
Keterangan
Sekarang ini bilangan alim ulama’
sudah berkurangan. Satu demi satu pergi meninggalkan kita. Kalau peribahasa
Melayu mengatakan “patah tumbuh, hilang berganti”, peribahasa ini tidak tepat
berlaku kepada alim ulama’.
Mereka patah payah tumbuh dan hilang
payah diganti. Sampailah suatu saat nanti permukaan bumi ini akan kosong tanpa
alim ulama’. Maka pada hari itu, sudah tidak bererti lagi kehidupan di
dunia ini lagi. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah hilang pegangan
hidup dan bergelumang dengan dosa (kemungkaran).
Sebenarnya, alim ulama’ lah yang
memberikan erti pada kehidupan manusia di muka bumi ini. Maka apabila mereka
telah pupus, hilanglah segala sesuatu yang bernilai. Di akhir-akhir ini, telah
banyak peristiwa-peristiwa yang menunjukkan hampirnya zaman yang dimaksudkan
Nabi Muhammad S.A.W tadi. Di mana bilangan alim ulama’ hanya tinggal sedikit
dan usaha untuk melahirkannya pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.
Malah mungkin nisbah nya kepada
manusia biasa lebih kecil berbanding nisbah doktor kepada manusia biasa. Sekolah-sekolah
agama kurang mendapat perhatian golongan cerdik pandai malah anak-anak muda
sekalipun.
Mereka mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang meraih keuntungan harta benda dunia semata-mata. Tidak menitikberatkan ilmu akhirat (agama). Inilah realiti kehidupan masyarakat kita pada hari ini.
Tuntutlah ilmu walaupun hingga ke
liang lahad. Ilmu agama dan dunia sama-sama dituntut. Jangan hanya mementingkan
ilmu dunia. Tidak salah kejar ilmu dunia, namun yang salahnya ialah kita tinggal belajar ilmu akhirat. Kehidupan di akhirat adalah kekal, manakala kehidupan di dunia hanya sementara. Ramai manusia mengejar yang sementara berbanding yang kekal selamanya... Allahumma solli ‘ala
saidina Muhammad :’)







Sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian golongan cerdik pandai malah anak-anak muda sekalipun. Mereka mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang meraih keuntungan harta benda dunia semata-mata. Tidak menitikberatkan ilmu akhirat (agama). Inilah realiti kehidupan masyarakat kita pada hari ini.
ReplyDelete