ISLAM meletakkan ikatan hubungan ukhwah yang terjalin diantara manusia bukan hanya dihubungkan oleh ikatan sesama nasab atau kemanusiaan semata-mata tetapi lebih jauh dari itu iaitu hubungan yang berlandaskan ikatan Islamiah.
Dalam erti kata lain ukhwah yang terjalin adalah
bermatlamatkan kerana Allah S.W.T. Justeru, setiap hubungan yang berlaku, kasih
sayang yang terjalin dan ikatan yang dibina adalah kerana Allah SWT.
Dalam hadis Rasulullah S.A.W, baginda bersabda yang bermaksud “Terdapat tiga perkara yang barangsiapa mendapati tiga perkara ini dalam dirinya, maka dia akan dapat merasa kemanisan iman (halawatul iman)...........
(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Sesungguhnya, ukhuwah Islamiah terbina bukan kerana ada ikatan nasab yang serupa atau keturunan yang sama, tetapi ikatan itu terjalin kerana kasih sayang sesama manusia berlandaskan kepada hubungan islamiah yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Oleh sebab itu, setiap ikatan yang berlandaskan kepada cinta Allah SWT akan mendatangkan kemanisan iman dalam setiap ikatan dan hubungan yang terjalin. Perkara ini dinyatakan dalam surah Al-Hujurat ayat 10, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :
“Orang-orang beriman itu sesungguhnya
bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu
itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.
Menariknya agama Islam adalah kerana ajaran agama itu sendiri yang tidak mengenal siapa penganutnya tetapi boleh merapatkan jalinan hubungan sesama manusia. Sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W ialah cara untuk memanjangkan ukhwah adalah dengan memberi salam.
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud “Kamu sekalian tidak akan masuk syurga sebelum beriman, dan kamu belumlah beriman sebelum saling menyayangi. Mahukah aku tunjukkan yang apabila kamu kerjakan nescaya kamu sekalian akan saling sayang menyayangi ? iaitu sebar luaskanlah salam diantara kamu sekalian ’’.
( Hadis Riwayat Muslim)
Mengapa Nabi mengajar umatnya menyebarkan salam? Salam itu sendiri yang membawa makna ‘salam sejahtera’ merupakan doa untuk memberi kedamaian kepada seseorang yang barangkali berada dalam kondisi yang tidak baik dan sebagainya.
Ini kerana salam itu boleh juga menjadi doa buat orang lain.
Salam juga boleh bertindak memulihkan hubungan yang keruh, dengan salam juga
dapat membina semula semangat dan mahabbah sesama manusia.
Ukhwah menurut ulama adalah satu ikatan yang amat kukuh dan
kuat sesama manusia. Ukhwah tidak hanya terikat kerana pertalian persaudaraan
sahaja tetapi kerana agama Islam, umatnya ibarat seperti bersaudara melangkaui
keturunan, fahaman dan bangsa.
Dalam surah al-Anfal ayat 63, Allah S.W.T berfirman yang
bermaksud “Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman).
Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu
tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan
hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana”.
Dari ayat ini, seseorang mukmin itu sendiri perlu mencari cara dan jalan untuk membina ukhwah sesama manusia dengan berpandukan dari apa yang diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Namun sesungguhnya amat manis dan indah
jika ukhwah yang dilandaskan atas dasar rasa kasih sayang kerana Allah. Waima
jika terluka sekalipun, namun jika ikhlas dalam berhubungan sesama insan, Allah
akan menghadiahkan ketenangan, rahmat dan kebaikan dalam setiap ujian dan
kesabaran dalam berukhwah.
Sesungguhnya ikatan atau ukhuwah sesama insan pastinya akan membawa rahmat dalam setiap sudut kehidupan. Malah juga disebut dalam hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud, sesiapa yang mahu usianya panjang, hendaklah memanjangkan ukhwah sesama manusia.....
Rasulullah SAW pernah juga marah kepada para sahabat baginda iaitu kabilah Aus dan Khazraj yang bermusuh dan memutus hubungan ketika berlaku perselisihan. Baginda memarahi mereka “Apakah dakwah seruan jahiliah yang kamu semua ingin cari?, sedangkan aku ini berada di hadapan kamu semua wahai saudaraku”.........
Baginda mengingatkan mereka akan
permusuhan yang pernah berlaku sebelum ini, tetapi atas rahmat dan kasih sayang
Allah S.W.T kedua kabilah itu bersatu.
Islam melarang permusuhan, perbalahan diantara sesama umat kerana pergaduhan itu antara petanda Islam akan menjadi lemah. Pergaduhan hanya akan menjauhkan manusia dari rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T.
Orang yang menjaga Allah akan mendapat keizzahan (kemuliaan) dariNya dan begitu juga orang yang menjaga sesama manusia akan mendapat kekuatan kepada Islam itu sendiri.
Namun orang yang hanya menjaga Allah tetapi tidak memelihara sesama manusia bererti tidak memelihara agama yang akhirnya hanya akan melemahkan kesatuan, perpaduan dan keutuhan agama Islam itu sendiri…
Allahumma solli ‘ala saidina Muhammad… :”)





Dalam hadis Rasulullah SAW, baginda bersabda yang bermaksud “Terdapat tiga perkara yang barangsiapa mendapati tiga perkara ini dalam dirinya, maka dia akan dapat merasa kemanisan iman (halawatul iman). Pertama, menjadikan Allah dan Rasul paling disayangi dan dicintai berbanding dari keduanya. Kedua, menyayangi seseorang manusia kerana Allah SWT dan ketiga, membenci kekufuran sebagaimana membenci dirinya jika dimasukkan di dalam neraka” (HR Bukhari & Muslim)
ReplyDelete