Ciri-ciri bisikan nafsu ialah ia akan mendorong ke arah kejahatan dalam bentuk yang terkhusus dan terarah. Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi menjelaskan: “Antara perbezaan godaan nafsu ialah ia amat kuat menarik ke arah kejahatan dengan hanya bersifat terarah dan terkhusus’’. Hal ini sepertimana firman Allah S.W.T:
“Sesungguhnya
nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang
telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu
itu).”
(Surah Yusuf
: 53)
Imam al-Tabari menjelaskan: “Sesungguhnya nafsu yang dimaksudkan ialah nafsu hamba yang memerintahkan kepada seluruh apa yang dia inginkan oleh hawanya, meskipun bukan pada sesuatu yang diredhai oleh Allah S.W.T.”
Dalam sebuah
doa, Nabi Muhammad S.A.W telah menggabungkan antara kejahatan nafsu dan
kejahatan syaitan. Baginda SAW mengucapkan:
اللَّهمَّ
فاطرَ السَّمواتِ والأرضِ، عالِمَ الغيبِ والشَّهادةِ، رَبَّ كلِّ شيءٍ
ومَلِيكَهُ،
أشهَدُ
أن لا إلهَ إلَّا أنتَ، أعُوذُ بكَ مِن شرِّ نَفْسي، وشرِّ الشَّيطانِ وشِرْكِهِ
“Ya Allah, Yang Menjadikan langit dan bumi,
Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Tuhan bagi setiap sesuatu dan
pemiliknya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali
Engkau. Aku berlindung pada-Mu dari kejahatan diriku sendiri dan dari kejahatan
syaitan dan teman sekutunya.
(Hadis Riwayat
: Abu Daud)
Syeikh
al-‘Azim Abadi menjelaskan bahawa maksud ‘شر الشيطان’ ialah bisikan was-wasnya serta godaan kesesatannya, sedangkan
maksud syirkah (شرْكة)
pula ialah apa-apa yang mendorong ke arah melakukan syirik dengan Allah S.W.T.
Ia juga boleh dibaca dengan syarakah (شركة) iaitu tali-tali dan perangkap syaitan yang bertujuan memfitnah
dan menggoda manusia.
Menurut al-Junaid al-Baghdadi, nafsu itu apabila ingin mendorong untuk melakukan sesuatu kejahatan, ia akan terus mendorong dan mempengaruhi sehingga berhasil.
Kata beliau: “Nafsu apabila meminta sesuatu kepada kamu, ia akan membuat
hasutan berterusan dan sentiasa mempengaruhi kamu sehingga tercapai kehendaknya
dan berhasil tujuannya. Melainkan apabila ia digagalkan dengan mujahadah
sebenar yang berterusan. Kemudian ia akan terus berusaha untuk mempengaruhi
lagi.”
Namun berlainan dengan syaitan, sekiranya sesuatu kejahatan tidak berjaya dipengaruhinya, dia akan menghasut untuk melakukan kejahatan yang lain pula.
Kata Junaid al-Baghdadi lagi: “Apabila syaitan mengajak kamu melakukan sesuatu penyelewengan tertentu, tetapi kamu melawannya, dia akan mempengaruhi kamu supaya melakukan penyelewengan yang lain pula. Ini kerana semua pelanggaran perintah Allah S.W.T itu sama sahaja baginya. Dia hanya mahu selama-lamanya mengajak kepada penyelewengan apa sahaja. Dan dia tidak mengkhususkan penyelewengan dalam satu perkara dan tidak yang lainnya.”
Perisai Iman
Sifat terpuji yang melambangkan ketinggian budi pekerti Muslim dan ketebalan imannya adalah sifat malu.
الحياء
شعبة من الإيمان
“Malu itu
adalah satu cabang daripada iman.”
(Hadis Riwayat
Bukhari)
Malahan, yang lebih menariknya sifat malu ini adalah satu petanda yang membuktikan iman itu bertapak kukuh dalam sudut jiwa sanubarinya, sebaliknya jika seseorang tidak mempunyai rasa malu bermakna dia kehilangan imannya sebagaimana ditegaskan sendiri oleh Rasulullah S.A.W yang bersabda maksudnya:
“Malu dan
iman itu adalah teman yang seiring jalan. Jika salah satu daripadanya terangkat
(tiada), nescaya terangkat (tiada) juga yang satu lagi.”
(Hadis Riwayat
Al-Hakim)
Antara
perbuatan yang boleh mengundang pertolongan Allah S.W.T dan mengusir bisikan
syaitan ialah berzikir. Rasulullah S.A.W bersabda :
“Perumpamaan
orang yang berzikir kepada Tuhannya dan orang yang tidak berzikir adalah
seperti orang hidup dan orang mati.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Dalam menghadapi nafsu, zikir dan mengingati Allah S.W.T adalah benteng pertama yang mampu menghalang kita daripada terjatuh dalam godaannya. Rasulullah S.A.W bersabda :
“Sesungguhnya
syaitan berjalan dalam diri anak Adam melalui saluran darah.”
(Hadis Riwayat
Bukhari)
Hati yang
sentiasa dipenuhi dengan nama Allah S.W.T akan lebih kuat dan tenang dalam
menangkis godaan duniawi.
Solat juga
menjadi senjata ampuh dalam perjuangan ini. Lima kali sehari kita bersujud
kepadaNya, mengadu dan memohon perlindungan agar dijauhkan daripada bisikan
syaitan dan nafsu yang menggoda.
Selain itu,
ilmu agama adalah cahaya yang membimbing kita dalam kegelapan. Dengan memahami
ajaran Al-Quran dan Hadis, kita akan lebih jelas tentang bahaya mengikuti hawa
nafsu dan akibatnya di dunia serta akhirat.
Berpuasa
juga menjadi latihan rohani yang hebat, bukan sahaja menahan lapar dan dahaga
tetapi juga mengawal diri daripada segala perkara yang boleh merosakkan jiwa.
Salah satu doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk melawan nafsu adalah:
اللَّهُمَّ
آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ
وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا
“Ya Allah,
berilah nafsuku ketakwaan dan sucikanlah ia, Engkau adalah sebaik-baik yang
mensucikannya, Engkau adalah pelindungnya dan tuannya.”
(Hadis Riwayat
Muslim)
Doa ini
mengajarkan kita untuk memohon kepada Allah SWT agar diberi kekuatan dalam
memerangi nafsu. Kerana hakikatnya, tanpa pertolonganNya, kita adalah insan
yang lemah dan mudah terjatuh dalam jerat syaitan.
Kesimpulan
Nafsu dan syaitan merupakan dua musuh utama manusia, namun cara kedua-duanya bertindak adalah berbeza.
Nafsu lazimnya mendesak manusia kepada kejahatan yang tertentu dan
berterusan sehingga keinginan tersebut dipenuhi, manakala syaitan pula sentiasa
mencari pelbagai pintu untuk menyesatkan manusia; jika satu pintu ditutup, dia
akan membuka pintu yang lain.
Oleh itu, seorang Muslim tidak cukup sekadar mengenali bentuk-bentuk maksiat, bahkan perlu memahami sumber yang mendorong kepada maksiat tersebut.
Perisai yang paling ampuh ialah iman yang hidup dalam hati, yang diperkukuhkan melalui zikir, solat, ilmu, mujahadah, puasa dan doa. Apabila hati sentiasa terhubung dengan Allah S.W.T, bisikan syaitan menjadi lemah dan dorongan nafsu dapat dikawal. Benarlah firman Allah S.W.T:
“Sesungguhnya
syaitan itu tidak mempunyai kekuasaan terhadap orang-orang yang beriman dan bertawakal
kepada Tuhan mereka.” (Surah al-Nahl: 99)
Maka medan
peperangan sebenar seorang Mukmin bukanlah di luar dirinya, tetapi di dalam
hatinya. Sesiapa yang berjaya menundukkan nafsunya dan mematahkan tipu daya
syaitan dengan pertolongan Allah S.W.T, dialah orang yang mencapai kemenangan
yang hakiki di dunia dan akhirat.










Syaitan tidak berdaya menggugat orang-orang yang memiliki iman dan ketakwaan yang teguh... Sebaliknya syaitan mudah menguasai orang-orang yang tidak menjaga diri daripada kesyirikan, serta suka mengikuti perangai dan jejak langkahnya.
ReplyDeleteFirman Allah S.W.T dalam surah An-Nahl: 99 & 100
“Sesungguhnya syaitan itu tidak memiliki sebarang kekuasaan terhadap orang-orang yang beriman dan bertakwa kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya kekuasaan syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan ia pemimpin / ikutan mereka, dan orang-orang yang melakukan kesyirikan kepada Allah dengan sebab hasutan mereka”